Wednesday, December 3, 2014

Ringgit Jatuh dan Kemelesetan Ekonomi?


oleh: Norman


Sejak dua tiga hari kebelakangan ini ramai yang risau dengan kejatuhan matawang Ringgit Malaysia (RM) yang dikatakan mendadak dan paling teruk sejak krisis matawang Asia tahun 1998. 

Menurut sesetengah orang, berita kejatuhan RM dilaporkan di media negara jiran seperti Brunei dan Singapura dan tidak dilaporkan di Malaysia. 

Walaubagaimanapun sebenarnya media tempatan ada juga melaporkan kejatuhan RM dua tiga hari yang lepas seperti di Berita Harian, New Straits Time dan juga The Star.

Ramai yang menjangkakan kononnya ekonomi Malaysia akan terjerumus ke dalam kegawatan seawal tahun depan akibat daripada kelemahan RM berbanding matawang asing yang lain terutamanya US Dollar (USD).

Berita kejatuhan RM seiring dengan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa di mana Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak akan terkesan dengan penurunan harga minyak kerana pendapatan daripada hasil eksport minyak ke luar negara dan juga pendapatan melalui dividen, cukai dan royalti daripada syarikat minyak negara Petronas akan merosot seterusnya meningkatkan risiko sasaran defisit 3% berbanding KDNK tidak akan tercapai.

Akibat daripada sasaran defisit fiskal yang mungkin tersasar itu, pelabur mula menarik keluar modal pelaburan (portfolio) daripada pasaran modal Malaysia seperti pasaran saham dan bon dan mengalihkan modal mereka kepada pasaran negara yang risikonya lebih rendah secara relatif berbanding Malaysia seperti Amerika Syarikat (US). 

Pengumuman Petronas yang mahu memotong perbelanjaan modal atau capital expenditure (CAPEX) tahun depan juga menyebabkan pelabur-pelabur menarik keluar wang mereka dari pasaran tempatan kerana jika Petronas memotong CAPEX mereka, pendapatan syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) akan terjejas dan harga saham berkaitan akan jatuh.

Perkara ini sudah pun berlaku apabila pada Isnin yang lepas 1 Disember indeks Bursa Saham Malaysia FBM KLCI jatuh lebih 40 mata atau 2.5% didorong kejatuhan harga kaunter mewah (blue chips) dan kaunter berkaitan minyak dan gas serta syarikat subsidiari Petronas seperti Petronas Dagangan, Petronas Chemical dan Petronas Gas. 

Pelabur-pelabur asing mula menarik keluar pelaburan portfolio (saham, bon, matawang) dari Malaysia contohnya seperti yang dilaporkan MIDF Research menyebakan RM jatuh pada paras terendah sejak 2009 BERBANDING US Dollar:
USD mengukuh berbanding MYR sejak awal Julai
Negara-negara pengeluar minyak yang lain seperti Canada, Mexico dan Norway juga matawang mereka mengalami penurunan mendadak sejak 6 bulan yang lepas bila harga minyak mentah mula jatuh pada bulan Julai: 
Harga Minyak Mentah Brent yang turun bermula Julai 




Sejak bulan Julai sehingga hari ini Mexican Peso mengalami kejatuhan sebanyak 9.9%, Norweign Krone jatuh 14.75%, Russian Rouble jatuh 55% dan Canadian Dollar jatuh 5.6%.

Mereka adalah negara pengeluar minyak yang besar di pasaran antarabangsa dan ekonomi negara-negara tersebut bergantung kepada hasil petroleum melalui eksport. 

Matawang Russia iaitu Rouble jatuh lebih teruk akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh US dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindakbalas ke atas Russia yang menyebabkan krisis geopolitik di Ukraine berlarutan sampai sekarang.

Selain daripada matawang negara pengeksport minyak, matawang negara membangun juga mengalami penurunan yang ketara sejak awal tahun 2014.

Ini kerana ekonomi US yang semakin pulih di mana pelabur-pelabur mula meninggalkan pasaran negara membangun (emerging markets) dan mengalihkan modal mereka ke sana.

Matawang negara membangun seperti Brazilian Real, Indonesian Rupiah, Indian Rupee, Philippine Peso dan Thai Baht juga menurun berbanding US Dollar sejak awal tahun dan juga ketara sejak pertengahan tahun ini seperti carta dibawah:






Memang ada faktor matawang tersebut jatuh selain USD yang semakin menguat seperti ekonomi Brazil yang tidak menentu, krisis politik tidak berkesudahan di Thailand, bencana alam di Filipina dan sebagainya.

Tetapi penurunan matawang negara-negara membangun di atas selari dengan penurunan RM yang juga dikategorikan sebagai emerging markets yang terkesan dengan aliran modal keluar (capital outflows) oleh pelabur-pelabur.

Jadi berita seolah-olah hanya matawang Malaysia sahaja yang mengalami kejatuhan adalah tidak tepat.

Ringgit seperti mana matawang emerging markets yang lain terdedah kepada risiko penarikan keluar modal, iklim ekonomi global dan juga pencapaian ekonomi semasa domestik.

Ramai yang mengeluh apabila RM jatuh mereka terpaksa menangguhkan percutian ke luar negara dan sebagainya.

Yang sebenarnya RM jatuh mendadak secara relatifnya hanya berbanding USD dan jika dibandingkan dengan matawang seperti Euro, Pound, Yen dan Aussie Dollar, RM tidaklah mengalami penurunan ketara malah mengukuh berbanding kesemuanya sejak awal tahun.





Ini kerana bank pusat seperti European Central Bank (ECB), Bank of Japan (BOJ), Bank of England (BOE) dan Reserve Bank of Australia (RBA) mengamalkan polisi monetari yang longgar (loose monetary policy).

Antara sebab mengapa bank-bank pusat tersebut mengamalkan polisi monetari yang longgar adalah kerana untuk mengelakkan daripada ekonomi mereka terjerumus kepada deflasi atau nyah inflasi (disinflation) seperti di Jepun dan Eropah, untuk merancakkan semula ekonomi yang belum pulih daripada krisis ekonomi global seperti di UK dan untuk mengurangkan kesan harga komoditi yang menurun yang melembapkan ekonomi seperti di Australia. 

Jadi pergilah bercuti di negara-negara tersebut, jika anda risau tentang RM yang lemah berbanding USD. Eropah dan Jepun lebih menarik berbanding US dan saya pasti ramai yang akan setuju dengan saya.

Tetapi selain kerisauan anda tidak dapat bercuti atau perlu menangguhkan percutian perlu juga diketahui matawang yang lemah berpotensi meningkatkan kadar inflasi tempatan dan juga harga barangan import akan semakin mahal.

Ini boleh menyebabkan sedikit penurunan permintaan domestik atau perbelanjaan (consumption) kerana barangan dan perkhidmatan tempatan dan juga yang diimport semakin mahal seterusnya menyumbang kepada kelembapan ekonomi.

Menteri-menteri tertentu selalu cuba meyakinkan kita bahawa kejatuhan RM akan memberi kesan positif kepada eksport negara kita tetapi kesan penurunan RM kepada eksport hanya terhad kepada barangan atau produk yang sensitif kepada harga (price sensitive) seperti komoditi termasuk minyak mentah, minyak kelapa sawit, produk minyak sudah ditapis dan lain-lain.

Eksport seperti barangan elektrik dan elektronik contohnya tidak terkesan dengan penurunan nilai RM kerana barangan seperti itu mempunyai input daripada luar di mana untuk sesuatu barangan akhir (end-product) dihasilkan, sebahagian komponen perlu diimport daripada luar.

Jadi disebabkan penurunan nilai RM yang menyebabkan harga barangan import dari luar negara semakin mahal, barangan elektrik dan elektronik tidak menjadi murah walaupun RM turun.

Setakat ini RM yang jatuh tidaklah dikategorikan sebagai terlalu berlebihan sehingga akan menyebabkan krisis kewangan dan ekonomi pada akhir 90-an yang dahulu.

Harga minyak yang jatuh mendadak walaupun akan mengurangkan pendapatan kerajaan akan diimbangkan dengan penjimatan daripada subsidi petrol dan diesel yang dianggar berpuluh billion setiap tahun seperti selalu dicanang-canang menteri berkenaan.

Saya tidaklah membuat kesimpulan bahawa semua tentang ekonomi Malaysia baik belaka, sudah tentu ada cabaran-cabaran yang akan dihadapi Malaysia di tahun yang mendatang.

Pengunaan swasta (private consumption) dijangka akan menurun disebabkan pelaksanaan GST tahun hadapan, sektor perdagangan eksport dan import juga tidak terlalu stabil dengan ekonomi China yang dijangka perlahan dan ekonomi Eropah dan Jepun yang masih tunggang langgang.

Petunjuk ekonomi bukan semuanya memberangsangkan seperti setahun dua kebelakangan ini ditambah dengan perbelanjaan awam (public/government expenditure) yang semakin perlahan saban tahun, kadar pertumbuhan ekonomi semestinya akan juga perlahan.

Selain itu isu seperti ketidaksaksamaan pendapatan dan kekayaan (income and wealth inequality) juga menjadi salah satu cabaran ekonomi negara kita.

Termasuk juga hutang seisi rumah yang tinggi, kekurangan atau tiada simpanan rakyat Malaysia seperti yang dilaporkan Malaysia Human Development Report 2013.

Ringgit yang lemah tidak akan menjadi faktor utama kelembapan ekonomi Malaysia seperti yang digembar-gembur ramai orang.

Walaubagaimanapun masih banyak cabaran ekonomi Malaysia yang lain seperti yang diterangkan diatas tetapi kelemahan Ringgit Malaysia bukanlah salah satu yang utama buat masa ini.

Tiada yang unik Ringgit Malaysia jatuh apabila matawang negara emerging markets dan pengeksport minyak yang lain juga turut jatuh. 

*Bacaan Bonus: Singapore Dollar dan RInggit Malaysia

Banyak yang terkejut dengan kelemahan RM berbanding Singapore Dollar (SGD) baru-baru ini yang dikatakan semakin menurun. 

Sebenarnya jika dibandingkan sejak setahun yang lepas kadar tukaran RM tidak berubah berbanding SGD walaupun pada pertengahan tahun sehingga bulan Oktober RM mengukuh tetapi kemudiannya kembali melemah dan kembali kepada paras asal pada bulan Januari 2014 iaitu RM2.62 untuk setiap SGD1.

SGD/MYR pada awal tahun sama dengan paras hari ini
Untuk pengetahuan semua bank negara Singapura atau Monetary Authorities of Singapore (MAS) tidak mengamalkan dasar monetari seperti kebanyakan bank-bank pusat negara lain dengan mengawal kadar faedah (interest rate).

Oleh sebab Singapura adalah negara ekonomi yang terbuka (open economy) dan sangat bergantung kepada dagangan luar, MAS mengawal tukaran matawang asing mengikut bakul matawang-matawang rakan dagangan utama Singapura termasuk US, Eropah dan Malaysia.

Ini bermakna apabila SGD bergerak naik atau jatuh dengan matawang lain, ia hanyalah kerana ia dibenarkan oleh MAS menurut julat dagangan (trading band) tertentu.

Contohnya untuk mengawal kestabilan harga barangan yang diimport dari Malaysia, MAS akan membenarkan SGD untuk mengukuh berbanding MYR dengan menjalan operasi monetari secara terus di dalam pasaran atau meningkatkan had trading band SGD/MYR.

Untuk bacaan lanjut berkaitan dasar monetari yang diamalkan Singapura oleh MAS, boleh lah merujuk di laman web di sini.

Anda juga sepatutnya tahu SGD juga jatuh mendadak berbanding USD sejak 6 bulan yang lepas sama seperti matawang emerging markets jadi tidaklah berapa kuat sangat sebenarnya SGD ni.



Ya SGD jika dibandingkan pada suatu masa dulu pernah bersamaan dengan RM. SGD1 = RM1 sehinggalah pada tahun 1973 apabila Singapura mula dibanjiri dengan modal-modal pelabur asing dan meninggalkan RM di belakang. 



p/s: Susah nak salahkan BN atau UMNO bila Ringgit jatuh, Banyak lagi benda lain kita boleh salahkan UMNO. Rasuah, penyelewengan dan salahgunakuasa contohnya.

3 comments:

  1. Yang saya tahu Ringgit Brunei masih lagi ikat nilai dengan SGD... RB 1 = SGD 1... Kalau boleh Norman G explain situasi kejatuhan harga petroleum ekonomi Brunei sebab matawang Brunei bergantung sepenuhnya matawang Singapore... Arab Saudi masih kekalkan 1 USD = SR 3.75... Kalau boleh Norman explain negara petroleum yang pegging currency seperti Ringgit Brunei, Saudi Riyal, Qatari Riyal dan Bahraini Dinar...

    Dari Zharfan Zamkhuri (twitter @ZharfanZamkhuri)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Brunei Dollar (BND) memang dah lama ditambat/pegged dengan SGD. kesan negatif kejatuhan harga minyak ke atas ekonomi Brunei lebih kurang dengan Malaysia tapi disebab BND ditambat dengan SGD, bila SGD jatuh berbanding USD, BND pun akan jatuh. hasil minyak Brunei dijual dalam USD jadi lebih banyak sebab BND lemah & USD kuat. tak dapat cover kesan negatif kejatuhan harga minyak tapi dapat kurangkan.

      Negara negara Gulf Coooperation Council (GCC) memang semua tambat matawang dengan USD. Saudi Riyal (SAR), UAE Dirham (AED), Qatari Riyal (QAR) etc semua tambat dengan USD. bila harga minyak jatuh memang negara GCC terkesan dan sebab matawang ditambat, matawang tak jatuh dan tak dapat kurangkan kesan harga minyak turun.

      tapi sebab matawang GCC ditambat dengan USD, bila USD kuat SAR, AED, QAR, KWD semua jadi kuat jugak. kesan positifnya barangan import semua turun, inflasi ikut turun. GCC ada foreign reserves yang beratus billion untuk tampung defisit sebab hasil minyak menurun. sementara tunggu harga minyak stabil dan naik balik GCC guna reserves untuk belanja fiskal/bajet.

      Delete
  2. Bole tak Norman G terangkan kesan kejatuhan matawang ini terhadap pasaran insurance

    ReplyDelete