Wednesday, November 26, 2014

Belanjawan Selangor Defisit Setiap Tahun Sejak 2008?

Ramai yang kecoh terutamanya Ahli Dewan Negeri, pemimpin dan penyokong BN apabila Azmin Ali, Menteri Besar Selangor membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM450 juta untuk Belanjawan Selangor 2015 baru-baru ini.

Di dalam sesi media selepas pembentangan belanjawan tersebut Azmin Ali menjawab beberapa soalan media berkenaan bagaimana beliau akan menanggung defisit iaitu beliau yakin hasil sebenar yang akan kerajaan negeri pada tahun 2015 akan lebih tinggi berbanding hasil yang dianggar kesan daripada kerancakan projek pembangunan di Selangor tahun depan.

Beliau juga berkata bahawa beliau tidak akan menyentuh simpanan atau rizab negeri untuk mendanai perbelanjaan kerajaan negeri tahun hadapan.

Selain daripada itu yang menarik perhatian adalah apabila beliau menyentuh tentang belanjawan berimbang dan defisit yang dikatakan sebenarnya Selangor telah mengalami belanjawan defisit setiap tahun sejak 2008 di bawah pengurusan Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sebelum ini (lihat video)

Azmin Ali juga memberi jaminan bahawa beliau tidak akan memohon belanjawan tambahan (supplementary budget) tahun hadapan seperti mana yang selalu diamalkan Khalid Ibrahim sebelum ini.


Saya pernah menulis tahun lepas selepas Khalid Ibrahim membentangkan belanjawan tambahan apabila ada suara-suara yang menzahirkan ketidakpuashatian dan mempertikai kesahihan belanjawan berimbang yang dibentang Khalid Ibrahim setiap tahun di sini.

Sebagai respon kepada sidang media Azmin Ali tentang belanjawan yang dibentang, Khalid Ibrahim menjawab fakta Azmin Ali di sini dan kemudiannya Azmin Ali pula menjawab semula (lihat video) di mana kedua-duanya meminta masing-masing mengemukakan fakta yang betul.

Secara ringkas Khalid Ibrahim meminta Azmin Ali menyemak penyata kewangan yang dikemuka dan disemak Jabatan Audit Negeri bagi pihak Ketua Audit Negara manakala Azmin Ali pula bersedia membuktikan bahawa Khalid Ibrahim sememangnya mengamalkan belanjawan defisit setiap tahun.

Pertama mari buat semakan pantas dengan Penyata Kewangan Negeri Selangor di dalam Laporan Ketua Audit Negara:


Menurut Penyata Prestasi Kewangan Negeri Selangor (klik link tahun) berakhir tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013 pada tahun-tahun tersebut kerajaan negeri mencatat RM119 juta surplus pada tahun 2010, RM180 juta surplus pada tahun 2011, RM251 juta surplus pada tahun 2012 dan RM121 juta defisit pada tahun 2013. 

Pada tahun 2008 kerajaan negeri mencatatkan surplus dan 2009 mencatatkan defisit boleh semak arkib Laporan Ketua Audit Negara (in-flight wifi tak berapa stabil untuk muat turun arkib lama).

Penyata kewangan di atas adalah penyata kewangan semasa setiap tahun di mana ia mencatatkan kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun tersebut tanpa mengambil kira baki daripada rezab tahun-tahun sebelumnya dan di sebelah hasil dan perbelanjaan sebenar terdapat anggaran perbelanjaan yang dibentang di Dewan Negeri setiap tahun.

Amat penting untuk kita membezakan anggaran hasil/perbelanjaan dan anggaran sebenar kerana kebiasaannya anggaran dilakukan secara konservatif di mana Perbendaharaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip lebih rendah (understate) daripada hasil sebenar yang bakal dikutip.

Di dalam video di atas Azmin Ali berkata beliau bersedia mengemukakan bukti bahawa Khalid Ibrahim mengamalkan belanjawan defisit setiap tahun dan penyata kewangan negeri membuktikan bahawa hanya pada tahun 2009 dan 2013 sahaja kerajaan negeri mencatat defisit di mana pada tahun 2009 Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dan pada tahun 2013 pula walaupun anggaran defisitnya setinggi RM790 juta, kerajaan negeri akhirnya mencatat defisit hanya sejumlah RM121 juta.

Rasanya Azmin Ali boleh menyemak dengan Pegawai Kewangan dan Bendahari Negeri untuk mengesahkan penyata kewangan di atas kerana merekalah yang menyediakan penyata kewangan tersebut dan juga telah disahkan oleh Ketua Audit Negara.

Sebenarnya bukanlah surplus, defisit atau berimbang yang sepatutnya menjadi keutamaan kerana belanjawan negeri setinggi mana pun defisitnya tidak perlu berhutang dengan menerbitkan bon sepertimana kerajaan persekutuan. 

Kerajaan negeri boleh menggunakan rizab sedia ada jika hasil tidak cukup untuk menampung perbelanjaan yang telah dirancang dan tidak perlu berhutang dengan siapa-siapa kecuali kerajaan persekutuan yang membiayai projek-projek pembangunan tertentu di bawah Rancangan Malaysia

Fokus belanjawan negeri harus ditumpukan kepada pelaksanaan yang membantu rakyat dan juga pembangunan negeri.

Kerana Menteri Besar sekarang masih sibuk membandingkan belanjawan yang dibentang beliau dengan belanjawan yang dibentang Menteri Besar sebelumnya jadi timbullah isu surplus, defisit, berimbang dan sebagainya.

Saya yakin, kerajaan negeri paling kurang akan mencatat belanjawan defisit yang lebih kecil daripada defisit RM450 juta yang dianggar atau surplus seperti mana yang selalu dicatat di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Akhirnya yang penting bukan anggaran tetapi hasil dan perbelanjaan sebenar serta faedahnya kepada rakyat Selangor dan pembangunan di Selangor. 

p/s: Sebelum dikata dibayar sesiapa, saya tak mencari makan dengan menjadi hamba politik. Lebih berminat dengan fakta dan angka sebenar yang sahih.

No comments:

Post a Comment