oleh: Norman
Harga minyak mentah di pasaran antarabangsa sejak harga RON95 dan Diesel di Malaysia dinaikkan kerajaan pada 2 Oktober bulan lepas sudah turun sekurang-kurangnya US$15 setong dari $92 setong hingga $77 setong semalam.
Ramai yang tertanya-tanya mengapa kerajaan tidak menurunkan harga runcit RON95 dan diesel di stesen-stesen minyak di kala harga minyak mentah menjunam di pasaran antarabangsa.
Disebabkan petrol dan diesel di Malaysia telah disubsidi sejak tahun 1999, maka harga bahan api ini tidak terpengaruh dengan naik turun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa.
Sumber: Statistik Petroleum KPDNKK |
Mekanisme pengiraan subsidi petrol dan diesel sudah pun saya terangkan di dalam tulisan sebelum ini yang ditetapkan melalui Automatic Pricing Mechanism (APM) di mana pengiraan subsidi untuk setiap liter petrol dan diesel ditentukan oleh beberapa faktor seperti harga penanda aras produk RON95 dan diesel iaitu Mean of Platts Singapore (MOPS95) dan Gasoil Singapore, kos operasi yang terdiri daripada kos pemasaran dan pengangkutan produk, margin keuntungan kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak dan cukai jualan (yang dikecualikan) seperti yang tertera di bawah:
Sumber: Laman Web KPDNKK |
Harga RON95 dan Diesel terpengaruh dengan harga penanda aras produk iaitu MOPS95 dan Gasoil yang berubah setiap hari manakala kos APM tidak berubah kerana ia ditetapkan oleh kerajaan.
Sejak pertengahan bulan Oktober harga MOPS95 (atau Singapore MOGAS 95 Unleaded) dan Gasoil Singapore juga menurun secara mendadak mengikut harga minyak mentah pasaran antarabangsa.
Untuk RON95 harga sebenar atau harga APM berlegar sekitar RM2.20 hingga RM2.30 seliter seperti pengiraannya dibawah:
Sumber: Platts - CME Group |
- Harga setong produk MOPS95 adalah US$92.17 bermakna harga seliter adalah $0.58.
- Harga seliter MOPS95 dalam ringgit adalah RM1.93 (tukaran US Dollar kepada Ringgit Malaysia mengikut kadar pasaran digunapakai Bank Negara Malaysia).
- Harga MOPS95 setiap liter RM1.93 ditambah dengan kos tetap APM RM0.32 menjadikan harga pasaran RON95 yang sebenarnya adalah RM2.25/liter.
- Ini bermakna hari ini RON95 tidak lagi disubsidi oleh kerajaan malah kerajaan sebenarnya mengutip 5 sen (RM2.30 tolak RM2.25) bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna.
Sejak pertengahan Oktober kerajaan sebenarnya tidak lagi mensubsidi RON95, di mana harga MOPS95 kekal rendah walaupun berubah-ubah.
Walaubagaimanapun diesel masih lagi disubsidi lebih kurang 10 sen ke 15 sen seperti pengiraanya dibawah:
- Harga Gasoil (Diesel) setong adalah $96.40 bermakna harga seliter Gasoil adalah $0.606.
- Harga seliter Gasoil dalam Ringgit Malaysia adalah RM2.02.
- Harga Diesel seliter ditambah dengan kos APM sejumlah RM0.23 menjadikan harga pasaran diesel yang sebenarnya adalam RM2.24/liter.
- Ini bermakna hari ini kerajaan masih mensubsidi diesel sebanyak 4 sen (RM2.20 harga di stesen minyak kurang daripada harga pasaran) bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna.
Oleh sebab RON95 tidak lagi disubsidi malah kerajaan mengutip hasil daripada lebihan harga di stesen minyak tolak harga sebenar, saya berpendapat ini adalah masanya yang paling sesuai untuk kerajaan menghapuskan subsidi petrol RON95 dan mengapungkan harga mengikut harga pasaran.
Faedahnya kepada pengguna adalah mereka boleh menikmati harga pasaran yang lebih rendah daripada harga RM2.30 yang ditetapkan kerajaan.
Manakala faedahnya kepada kerajaan adalah kerajaan tidak lagi perlu menanggung subsidi petrol RON95 selagi harga minyak mentah dan MOPS95 kekal rendah di mana ia dijangka akan kekal rendah untuk tempoh 2 tahun yang akan datang.
Kerajaan boleh mengekalkan penetapan kos APM untuk sementara waktu dalam tempoh percubaan sebelum betul-betul membiarkan kuasa pasaran menetapkan harga petrol di mana syarikat minyak akan menentukan kos operasi, margin keuntungan syarikat dan stesen minyak tanpa perlu ditetapkan kerajaan.
Harga petrol RON95 akan berubah-ubah setiap hari mengikut harga MOPS95 dan ya ada risiko harga RON95 akan meningkat pada masa akan datang sekiranya harga minyak mentah di pasaran antarabangsa meningkat walaubagaimanapun kerajaan boleh membantu mengurangkan beban pengguna sekiranya harga di pasaran naik terlampau tinggi dengan memberi rebat tunai kepada mereka yang layak seperti yang saya ulas di tulisan sebelum ini.
Bagi diesel pula, secara idealnya memang sepatutnya ia juga diapungkan mengikut harga pasaran dan dihapuskan subsidi, akan tetapi mungkin kerajaan boleh mempertimbang memberi subsidi diesel yang lebih kurang 10 sen seliter buat sementara waktu sehingga harga penanda aras Gasoil turun pada paras di mana kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi diesel.
Ini kerana harga diesel mempengaruhi kos-kos seperti harga makanan dan barangan asas yang lain.
Selain daripada itu kerajaan juga boleh memperkenalkan produk diesel yang lebih mesra alam dimana kandungan sulfurnya rendah seperti Diesel Euro 5 yang diperkenalkan di beberapa buah stesen minyak di sekitar Johor.
Harga diesel yang lebih bersih daripada diesel sekarang lebih tinggi tetapi faedahnya adalah kepada pengurangan pencemaran alam sekitar dan prestasi dan ketahanan enjin yang lebih baik.
Peluang menghapuskan subsidi petrol dan diesel perlu diambil oleh kerajaan jika kerajaan serius untuk mengamalkan pengurusan kewangan atau disiplin fiskal yang mampan.
Selain daripada mengurangkan bebanan kewangan kerajaan, rakyat Malaysia yang menjadi pengguna bahan api boleh disediakan untuk membiasakan diri dengan harga pasaran sebenar dan bukan lagi harga artifisial ditetapkan kerajaan.
Jika harga minyak diapungkan mengikut harga pasaran kerajaan juga tidak perlu memperkenalkan skim subsidi bersasar yang baru mengikut kuota, mykad dan pendapatan seperti yang diwar-warkan sebelum ini kerana ia akan melibatkan kos yang baru malah boleh menyebabkan penyalahgunaan kuota, penipuan pendapatan bagi mereka yang bekerja sendiri dan lain-lain.
Jika kerajaan tetap berkeras mahu melaksanakan skim subsidi bersasar ini maka janganlah hairan jika rakyat menyalah anggap bahawa skim subsidi ini adalah satu lagi projek untuk mengkayakan kroni:
Pembida Skim Subsidi Bersasar |
Harga minyak mentah dijangka akan terus menerima tekanan ke bawah atas beberapa faktor seperti lebihan produksi atau penghasilan minyak, permintaan yang menurun secara relatif dan US Dollar yang semakin mengukuh kesan daripada ekonomi US yang semakin pulih.
Di samping itu ahli OPEC seperti Arab Saudi dan Kuwait tetap berkeras tidak mahu mengurangkan produksi minyak mentah untuk melonjakkan harga atas sebab-sebab tertentu jadi secara fundamentalnya tiada faktor yang kukuh harga minyak akan naik dalam waktu yang terdekat walaupun ia tidak mustahil tetapi kebarangkaliannya rendah.
Selaku pedagang komoditi seperti minyak, saya mengjangkakan harga minyak mentah akan terus menurun dan mungkin akan stabil pada harga $65 setong bagi Brent Crude.
Saya menyeru kepada kerajaan marilah mengamalkan pengurusan ekonomi yang baik, hentikan polisi-polisi mengarut seperti skim subsidi bersasar, apungkan harga petrol dan diesel mengikut harga pasaran dan jika betul-betul ingin membantu mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana berilah rebat tunai kerana pemberian tunai atau cash transfer adalah lebih berkesan dan lebih menjimatkan daripada skim subsidi bersasar.
*BONUS HARGA RON97
Sejak RON95 diperkenalkan pada tahun 2009, mulai 2010 RON97 tidak lagi disubsidi oleh kerajaan.
Walaubagaimanapun harga RON97 tidaklah diapungkan mengikut harga pasaran secara terus tetapi harganya dikawal secara managed-float mengikut harga pasaran yang kebiasaannya harga RON97 akan berubah pada awal bulan.
Akan tetapi kali terakhir harga RON97 diturunkan adalah pada awal september yang lalu iaitu turun sebanyak 10 sen daripada RM2.85/liter kepada RM2.75/liter walaupun harga pasaran minyak mentah antarabangsa turun mendadak dalam tempoh tersebut.
Jika dilihat harga RON97 sebenarnya dengan mengambilkira lebih kurang kos APM tetap seperti RON95 iaitu RM0.32:
- Harga setong MOPS97 adalah $93.68 bermakna harga seliter MOPS97 adalah $0.59.
- Harga MOPS97 seliter dalam ringgit adalah RM1.97 ditambah dengan kos APM RM0.32 menjadikan harga sebenar RON97 iaitu RM2.29/liter.
Adakah anda terkejut? Ya harga RON97 dan harga RON95 sebenarnya tidak banyak berbeza, perbezaannya (spread) hanya beberapa sen sahaja setiap liter.
Malah harga RON97 sebenar sekarang lebih rendah daripada harga RON95 yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.30 seliter.
Ini bermakna kerajaan mengutip 45 sen cukai bagi setiap liter RON97 yang dibeli pengguna.
Sebagai pengguna RON97 dan mengetahui harga sebenar RON97, saya rasa kerajaan patut mengurangkan harga RON97 sekurang-kurangnya 10 sen atau lebih baik 20 sen.
Bukanlah pengguna RON97 tidak mahu atau mampu membayar lebih tetapi kerajaan sendiri yang mengatakan bahawa RON97 akan ditentukan mengikut harga pasaran jadi lebih molek harga RON97 diturunkan untuk menggambarkan keadaan sebenar harga minyak antarabangsa.
No comments:
Post a Comment