Monday, October 27, 2014

Rasionalisasi Subsidi 2.0


oleh: Norman

MUKADIMAH

Harga minyak naik lagi atau ayat menteri harga minyak tidak naik cuma subsidi sahaja yang diturunkan. Kalau mahu jadi pedantic ayat yang lebih tepat adalah harga petrol dan diesel di stesen minyak seluruh Malaysia naik 20 sen seliter akibat penurunan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter oleh kerajaan. Kalau mahu jadi bodoh kita akan cakap "Kita kena hormati pemimpin, negara dan bersyukur." seperti di kenyataan menteri di sebelah.

Tahun lepas lebih kurang 13 bulan yang lalu harga petrol dan diesel juga dinaikkan 20 sen. Di dalam tulisan tahun lepas saya ada menyatakan bahawa kenaikan segala harga dan tarif yang dikawal kerajaan atas nama rasionalisasi subsidi akan berterusan sehingga sudah hampir dengan tahun pilihanraya. Kenaikan harga dan tarif ini tidak akan melibatkan kos politik yang banyak kepada Barisan Nasional kerana kebiasaannya rakyat Malaysia hanya akan marah-marah dan bising-bising untuk sementara waktu sahaja. 

Apabila semakin hampir dengan pilihanraya umum, Barisan Nasional akan berhenti menaikkan harga barang kawalan dan tarif-tarif kawalan untuk mengelakkan dikeji dan dicaci rakyat seterusnya mengelakkan daripada tidak diundi oleh rakyat.

Berbalik kepada persoalan pengurangan subsidi petrol dan diesel, pada tulisan yang lalu saya juga menyatakan bahawa subsidi petrol dan diesel adalah subsidi yang tidak mampan (sustainable) dan sampai masanya subsidi bahan api seperti ini harus dihentikan dan harganya perlu ditentukan oleh pasaran. 

HARGA MINYAK SEMASA

Penanda aras harga minyak global yang digunakan kerajaan iaitu Brent Crude Oil berada pada purata harga $110 setong pada masa harga runcit petrol dan diesel dinaikkan tahun lepas 2 September 2013 dan berada pada trend mendatar sehingga bulan Jun tahun ini dan kemudiannya menurun secara konsisten sejak Julai hingga sekarang dengan harga purata $96 setong.

Harga Minyak Mentah Brent
Harga MOPS95 (Penanda Aras Harga RON95 di Singapura)

AUTOMATIC PRICING MECHANISM (APM)

Harga runcit (harga di pam) petrol dan diesel di Malaysia ditetapkan oleh mekanisma yang dipanggil Automatic Pricing Mechanism (APM). APM dikira untuk menentukan perbezaan antara harga sebenar dan harga petrol dan diesel di stesen minyak dan jumlah perbezaan ini merupakan bayaran kepada syarikat-syarikat pengedar minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan lain-lain. 

Pengiraan APM mengambil kira kos MOPS Unleaded 95 iaitu harga RON95 sebenar yang diambil dari pasaran Platts di Singapura dan harga MOPS 95 ini berubah-ubah setiap hari mengikut harga minyak pasaran global seperti Brent Crude, dan kos lain seperti kos operasi yang melibatkan kos pemasaran dan kos pengangkutan petrol dan diesel dari kilang minyak (refinery) ke stesen minyak, komisen stesyen minyak dan keuntungan syarikat minyak yang mana kos-kos tersebut adalah tetap dan tidak berubah dan ditetapkan oleh kerajaan. 


Menurut Timbalan Menteri Kewangan setelah harga runcit petrol dan diesel dinaikkan 20 sen masing-masing kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 28 sen seliter untuk RON95 dan 31 sen seliter untuk diesel seperti dinyatakan di Twitter beliau: 

Untuk maklumat lanjut berkenaan APM bolehlah dirujuk maklumat di laman web KPDNKK: http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkk-theme/images/pdf/statistik/petroleum.pdf atau jadual di bawah: 


* Cukai Jualan Petrol dan Diesel dikecualikan oleh kerajaan iaitu 58.62 sen dan 40 sen seliter masing-masing.

SUBSIDI BAHAN API

Walaupun subsidi petrol dan diesel telah diturunkan, kerajaan dikatakan masih menanggung subsidi sebanyak RM21 billion yang sebenarnya bukanlah hanya subsidi untuk petrol dan diesel sahaja tetapi merangkumi subsidi gas memasak LPG, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucer buku dan juga bantuan tunai persekolahan seperti yang dicatat di dalam Laporan Ekonomi dan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan bagi Perkhidmatan Am Perbendaharaan di bawah: 



Sumber: Anggaran Perbelanjaan Persekutuan
Setelah menolak perbelanjaan BR1M 3.0 yang dibayar kepada 6.5 juta isi rumah dan individu bujang yang berjumlah RM4.5 billion, perbelanjaan Baucer Buku dan Bantuan Tunai Persekolahan (yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM325 juta dan RM540 juta masing-masing perbelanjaan sebenar subsidi petrol, diesel DAN juga gas memasak LPG adalah lebih kurang RM17 billion bukanlah RM22 billion seperti yang selalu diwar-warkan menteri.

Selain daripada subsidi di atas, terdapat juga subsidi gas yang ditanggung terus oleh Petronas melalui harga jualan gas yang lebih rendah daripada harga pasaran kepada Tenaga Nasional Berhad, syarikat-syarikat penjanakuasa bebas (IPP) dan sektor bukan kuasa yang melibatkan jumlah hasil yang dilepaskan (revenue foregone) oleh Petronas sebanyak RM24.9 billion: 
Sumber: Laporan Tahunan Petronas 2013

RASIONALISASI SUBSIDI

Setelah menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter, kerajaan pada pembentangan Bajet 2015 yang lepas mengumumkan subsidi petrol dan diesel akan distruktur semula yang mana ia akan melibatkan pemberian subsidi hanya kepada mereka yang layak sahaja iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Manakala golongan yang berpendapatan tinggi tidak akan menerima subsidi petrol dan diesel dan akan membayar belian petrol dan diesel pada harga pasaran. Sistem ini juga dikatakan akan menggunapakai MyKad atau kad petrol sebagai pengesahan kelayakan pembelian petrol dan diesel bersubsidi.

Walaupun sistem subsidi ini dikatakan masih dikaji, beberapa orang menteri telah pun memberi hint tentang bagaimana sistem subsidi baru ini akan berfungsi; dikatakan dibawah sistem subsidi yang baru mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 akan menerima subsidi penuh (harga sekarang RM2.30/liter dan RM2.20/liter untuk petrol dan diesel), manakala mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000 akan mendapat sebahagian subsidi dan mereka yang berpendapatan RM10,000 ke atas tidak layak mendapat subsidi seperti yang diterangkan Menteri Kewangan II. Dikhabarkan juga bahawa sistem subsidi ini akan bermula pada 1 Jun 2015 yang mana harga RON95 dan Diesel sekarang akan kekal sehingga pada tarikh yang berkenaan.

Oleh sebab ia masih di dalam peringkat kajian, tiada sebarang butiran yang jelas berkenaan pelaksanaan sistem subsidi berperingkat ini. Walaubagaimanapun mengambil kira apa yang dikatakan Menteri Kewangan II, jika benar ia dilaksanakan mengikut jumlah pendapatan boleh disimpulkan lebih daripada 65% isi rumah akan tergolong di dalam kumpulan yang akan menerima subsidi penuh, 24% akan menerima subsidi separa dan lebih kurang hanya 10% sahaja yang akan membayar harga petrol dan diesel pada harga pasaran (tiada subsidi: 
Sumber: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2012

Jika sistem subsidi baru ini akan diberikan mengikut gaji boleh dikatakan lebih daripada separuh penerima gaji di Malaysia akan menerima subsidi penuh kerana median gaji pada tahun 2013 hanyalah RM1,500 sebulan. 
Sumber: Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah Pekerja 2013

Jadi apakah makna pemberian subsidi mengikut kumpulan pendapatan ini sekiranya lebih daripada separuh penerima gaji malah 90% isi rumah akan menerima subsidi petrol dan diesel di bawah sistem subsidi baru yang akan dilaksanakan?

Selain daripada gaji dan pendapatan rakyat Malaysia yang masih agak rendah yang melayakkan majoriti rakyat Malaysia menerima subsidi petrol dan diesel, sistem subsidi baru ini juga mempunyai kelemahan yang jelas dan nyata seperti: 
  1. Ketirisan pemberian subsidi akibat salahguna kuasa MyKad atau kad subsidi; golongan yang menerima subsidi akan membenarkan pengguna kad mereka oleh mereka yang tidak layak menerima subsidi dengan bayaran upah.
  2. Kekeliruan sistem baru di stesen minyak melibatkan harga-harga petrol dan diesel yang berlainan mengikut kumpulan yang akan menyusahkan pengusaha stesen minyak dan juga pelanggan.
  3. Perbezaan dua atau tiga harga mengikut kumpulan layak yang akan membuka ruang penjualan petrol dan diesel murah kepada mereka yang tidak layak menerima subsidi (arbitrage)
  4. Pertambahan kos kepada kerajaan (bahagian penguatkuasaan) untuk memantau ketirisan subsidi di atas.
  5. Kontrak kepada syarikat swasta yang akan menguruskan sistem subsidi yang juga melibatkan perbelanjaan baru kepada kerajaan.
Jika sistem subsidi ini dilaksanakan, ditakuti bukan dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi malah akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan oleh sebab-sebab kelemahan di atas. Objektif utama menyasarkan subsidi hanya kepada golongan yang layak juga akan tersasar.

Jika kerajaan serius untuk menangani bil subsidi bahan api yang meningkat saban tahun, kerajaan sepatutnya mengapungkan harga petrol dan diesel mengikut harga pasaran. Harga runcit petrol dan diesel di stesen minyak mesti seragam dan tidak berbeza-beza mengikut kumpulan pendapatan.

Untuk mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan boleh memperkenalkan program rebat tunai sepertimana yang pernah dilaksanakan pada tahun 2008 dahulu. Kerajaan boleh memberi rebat tunai tahunan atau bulanan mengikut kumpulan pendapatan (perlu dikaji lebih mendalam) contohnya:
  • Kumpulan berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima rebat tunai berjumlah RM900 setahun
  • Kumpulan berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 akan menerima rebat tunai berjumlah RM600 setahun
  • Kumpulan berpendapatan RM10,000 ke atas tidak layak mendapat rebat tunai.
Mungkin juga kerajaan boleh mengehadkan pemberian rebat tunai kepada 2 kenderaan sahaja untuk satu keluarga. Cadangan pemberian rebat tunai mengikut kapasiti enjin seperti pada tahun 2008 juga boleh dipertimbangkan tetapi haruslah diingatkan bahawa terdapat juga kereta mewah yang mempunyai kapasiti enjin di bawah 2,000 cc.

Pemberian tunai adalah jauh lebih baik berbanding multi-tier subsidy yang dicadangkan kerajaan kerana ia tidak melibatkan pengenalan sistem baru kepada pengusaha stesen minyak, pengeluaran atau penggantian MyKad atau kad petrol yang melibatkan perbelanjaan tambahan dan juga bayaran kepada syarikat yang mendapat kontrak menguruskan sistem subsidi baru. 

Kos pemberian tunai adalah lebih rendah daripada kos sistem subsidi baru sepertimana kos pemberian BR1M yang tidak melebihi RM5 billion setahun walaupun jumlah pemberiannya ditingkatkan setiap tahun. Dijangka kos pemberian rebat tunai hanyalah pada sekitar RM7-8 billion setiap tahun sekiranya ia benar-benar dilaksanakan secara telus dengan kerjasama pihak LHDN sebagai agensi yang akan mengesahkan pendapatan kumpulan-kumpulan yang layak menerima rebat tunai. 

Untuk menambah pendapatan boleh guna dan mengurangkan beban rakyat kerajaan juga patut menghapuskan duti eksais kenderaan yang dikenakan yang menyebabkan kenderaan yang dijual di Malaysia sangat tinggi berbanding harga pasaran di negara jiran. Duti eksais yang dikutip pada tahun ini dijangka sebanyak RM8 billion di mana jika duti eksais dihapuskan harga kenderaan (utamanya import-CBU) boleh turun 10%- 30% mengikut model tertentu:

Sumber: Anggaran Hasil Persekutuan 2015


Ini akan mengurangkan bebanan bayaran ansuran bulanan pinjaman kenderaan (kepada pembeli kereta baru sahaja) seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. Dengan penghapusan duti eksais, kerajaan bukan menggalakkan pembelian atau pengunaan kereta kerana harga minyak yang diapungkan pada harga pasaran akan juga mempengaruhi keputusan untuk membeli kereta.

Penghapusan duti eksais kerajaan tidak akan mempengaruhi kewangan fiskal kerajaan kerana apabila subsidi petrol dan diesel dihapuskan, perbelanjaan kerajaan juga akan berkurang kerana kerajaan tidak lagi perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk subsidi petrol dan diesel berbelas-belas billion ringgit setiap tahun. Kehilangan pendapatan daripada pemansuhan duti eksais akan diimbang dengan pengurangan perbelanjaan kerajaan akibat penghapusan subsidi 'bogel' bahan api.

Walaupun ianya agak mustahil untuk berlaku kerana kita semua tahu duti eksais dikenakan oleh kerajaan bukan hanya untuk meraih pendapatan, ia juga digunakan untuk melindungi industri automotif tempatan Proton dan Perodua, saya masih berpendapat penghapusan duti eksais kenderaan bermotor adalah polisi yang baik. Jika harga petrol dan diesel dijual mengikut harga pasaran, seharusnya juga harga kenderaan yang dijual di Malaysia mengikut harga pasaran.

PENUTUP

Harga minyak antarabangsa dijangka akan terus menurun untuk tempoh setahun dua yang akan datang akibat daripada permintaan yang rendah, pengeluaran minyak yang berlebihan daripada OPEC (pengeluaran di Libya selepas krisis) dan juga pengeluaran di USA yang semakin meningkat dan tertinggi dalam sejarah pengeluaran minyak di sana dan juga US Dollar yang semakin mengukuh kesan daripada jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve.

Kerajaan sepatutnya mengambil peluang pada masa harga minyak antarabangsa yang semakin menurun sekarang untuk mengapungkan harga runcit petrol dan diesel pada harga pasaran seterusnya menghapuskan subsidi tersebut. Jika kerajaan mengapungkan harga petrol dan diesel pada harga pasaran sekarang, harga runcit petrol dan diesel akan berkisar sekitar RM2.10-RM2.30 seliter seperti harga sedia ada.

Kebergantungan terhadap subsidi bahan api yang tidak produktif memang sepatutnya dikurang dan dihapuskan. Kerajaan sepatutnya berfikir untung jangka masa panjang di mana subsidi petrol dan diesel mengikut sistem kumpulan pendapatan, kuota dan sebagainya juga adalah subsidi yang tidak mampan (sustainable). 

Kenaikan harga petrol dan diesel suka atau tidak akan mendapat kritikan (kejian) rakyat setiap kali ianya berlaku. Oleh sebab yang demikian dicadangkan pemberian rebat tunai untuk mengurangkan kesan kenaikan harga petrol dan diesel dan juga kesan domino ke atas harga barang yang lain. 

Pada masa yang sama kerajaan harus juga menambahbaik sistem pengangkutan awam di seluruh negara (bukan hanya di kawasan bandar terutama KL sahaja). Peluasan jaringan pengangkutan awam amat perlu bukan sahaja melalui MRT dan LRT malah sistem bas (yang lebih reliable).

Kerajaan tidak wajar mengambil langkah ke belakang dengan memperkenal sistem subsidi petrol dan diesel mengikut kumpulan pendapatan. Keutamaan kroni-kroni melalui syarikat-syarikat tertentu tidak patut diutamakan atas nama rasionalisasi subsidi. Jika rakyat tidak lagi mendapat faedah subsidi, tidak perlulah mensubsidi syarikat-syarikat kroni untuk mengkayakan mereka.

p/s: Sokong penghapusan subsidi bukan bermakna sokong BN. 


2 comments:

  1. Ulasan yang baik, cuma ingin bertanya, bukan kah duty eksais itu melibatkan semua jenis kenderaan tidak kira import cbu/ckd atau pon kereta tempatan? Hanya duty import yang tidak dikenakan kpd kereta ckd atau lokal, tetapi duty eksais melibatkan semua jenis kenderaan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. secara am nya memang duti eksais dikenakan ke atas semua jenis kenderaan tak kira tempatan, dipasang di Malaysia atau import sepenuhnya. tapi pengiraan duti eksais ke atas jenis-jenis kenderaan ini bukan straight forward macam pengiraan cukai jualan dan duti import. sebab tu secara puratanya harga kenderaan selepas duti eksais dihapuskan mungkin turun sekitar 10% sahaja untuk kereta tempatan dan CKD. dan mungkin boleh jatuh setinggi 30% untuk kereta import sepenuhnya CBU.

      selain cukai-cukai, margin keuntungan syarikat pengeluar/pengimport kenderaan juga antara faktor harga kereta mahal terutamanya untuk bayaran commission kepada salesmen/dealers etc.

      Delete