Saturday, July 26, 2014

Selangorku

Selain daripada Ramadhan bulan yang mulia ini sudah sampai kemuncak, krisis kepimpinan di Selangor yang melibatkan jawatan Menteri Besar juga sudah berada di tahap kemuncak. Kita sedia maklum Kajang Move yang pada asalnya dinafikan oleh beberapa tokoh pimpinan KEADILAN sebagai usaha untuk menukar Menteri Besar di Selangor akhirnya diakui memang untuk menukar Menteri Besar. 

Alasannya banyak; masalah jalan berlubang, masalah sampah tidak berkutip, catuan air di seluruh negeri, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikatakan mentadbir Selangor tanpa merujuk kepada kepimpinan parti dan Pakatan Rakyat, TSKI bertindak mentadbir secara "one man show" dan bukan team player dan bermacam-macam lagi termasuk pembinaan Langat 2 yang dipersetujui bersama-sama dengan pengambilalihan aset air Selangor dan juga jaringan lebuhraya yang diluluskan mesyuarat EXCO pada tahun 2012.

Kita kena akui sememangnya alasan-alasan yang disebut di atas berasas dan bukan tuduhan kosong. Masalah jalan negeri dan bandaran yang berlubang pernah ditegur didalam Laporan Ketua Audit Negara walaupun dana untuk membaiki jalan telahpun disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. 

Sebenarnya teguran dana penyelengaraan jalan negeri ini bukan sahaja dibuat kepada negeri Selangor malah juga negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Pulau Pinang dan lain-lain. Walaubagaimanapun sebagai kerajaan negeri yang cekap seharusnya prestasi kerajaan dibawah pimpinan Pakatan Rakyat ini lebih baik daripada kerajaan di bawah Barisan Nasional.

Kekecewaan rakyat Selangor juga memuncak apabila terpaksa menghadapi catuan bekalan air akibat cuaca yang kering menyebabkan paras air empangan-empangan utama di Selangor yang menyalurkan bekalan air mentah kepada loji rawatan air berada pada paras kritikal.

Selama sebulan lebih kerajaan negeri Selangor menjadi belasahan media dan juga menteri kabinet yang menulis artikel berjela panjangnya menyalahkan Pakatan Rakyat akan tetapi mereka ini lupa bahawa berlaku juga krisis air di Taiping, beberapa daerah di Negeri Sembilan dan Johor. 

Contohnya di Daerah Mersing, Syarikat Air Johor (SAJ) mengenakan catuan bekalan air sejak bulan Mac hingga bulan ini (Julai) tetapi tidak langsung mendapat perhatian media apatah lagi Menteri Publisiti dan Penerangan Media Sosial. Hanya apabila raya semakin hampir, SAJ mula menarik semula catuan air itupun HANYA sementara.

Bukanlah kita tidak faham isu kekurangan bekalan air mentah akibat kemarau berpanjangan, tetapi sikap hipokrit sesetengah media dan menteri sangat menjelikkan. Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada nampak. Begitulah ibaratnya media yang dikawal UMNO dan juga menteri-menteri publisiti murah UMNO.

Ditambah pula dengan berita bahawa kerajaan negeri secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan projek membina lebuhraya bertingkat KIDEX yang kita sudah sedia maklum dianugerahkan secara rundingan terus OLEH kerajaan persekutuan kepada peguam UMNO Hafarizam Harun dan isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki di mana pembinaan lebuhraya ini bukan sahaja melanggar janji Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat untuk memansuhkan tol malah melanggar prinsip Pakatan Rakyat yang menolak penganugerahan projek kepada kroni dan juga tanpa tender terbuka.

Saya sebenarnya ada rasa sedikit keliru apabila saya tidak dengar bunyi bising daripada mana-mana pimpinan dalam Pakatan Rakyat apabila kerajaan Pulau Pinang mengumumkan projek pembinaan tiga lebuhraya mega dan terowong bawah laut yang bernilai berbillion ringgit yang juga akan mengenakan kutipan tol kepada pengguna. 


Adakah pembinaan lebuhraya dan terowong ini tidak melanggar prinsip Pakatan Rakyat yang mahukan Malaysia bebas tol? Projek kerajaan negeri Pulau Pinang ini menganugerahkan konsesi tol 30 tahun kepada syarikat konsesi dan juga dibiayai dengan pindah milik tanah (land swap) yang bernilai billion ringgit. Di mana didalam Manifesto Rakyat mengatakan Pulau Pinang dibenarkan wujud lebuhraya bertol dan di Selangor tidak? 

Saya juga tertanya-tanya adakah pembinaan lebuhraya mega dan terowong bawah laut ini dibincangkan di antara pimpinan Pakatan Rakyat Pusat dan Negeri? Sepertimana KIDEX ditentang oleh rakyat Selangor, projek mega Pulau Pinang ini juga ditentang NGO dan majoriti rakyat. Adakah layanan double standard diamalkan terhadap YAB Lim Guan Eng dan TSKI?

Selain daripada itu YAB LGE juga meminta bantuan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) untuk menjadi orang tengah dalam isu bekalan air mentah dari Perak. TSKI juga meminta bantuan kerajaan persekutuan untuk membantu dalam pengstruktuan semula industri dan aset air di Selangor tetapi yang dikeji hanyalah TSKI. 

Saya juga tidak pasti samada keputusan LGE meminta bantuan kerajaan persekutuan itu mendapat restu pimpinan Pakatan Rakyat atau tidak. Hanya mereka yang didalam sahaja boleh menjawab persoalan ini. 

Isu air bukan isu remeh di Selangor. Malah salah satu alasan supaya Menteri Besar Selangor diganti adalah tarif air yang bakal naik di Selangor sekiranya projek Langat 2 diteruskan. Dikatakan bahawa tarif air bakal naik semasa atau hampir dengan PRU14. 

Sejujurnya saya tidak tahu apa alternatif selain Langat 2 untuk mengatasi masalah bekalan air di Selangor. Saya tahu kerajaan Selangor juga berusaha mencari alternatif lain seperti HORAS tetapi apakah alternatif lain yang dicadangkan oleh pimpinan KEADILAN dan Pakatan yang lain?

Adakah rela masalah bekalan air berlarutan dan catuan air berpanjangan asalkan kerajaan persekutuan tidak dapat apa yang mereka mahu? Sampai bila pula Pakatan Rakyat bercadang membekukan kenaikan tarif air di Selangor? Saya harap pimpinan tidak lupa YAB LGE telahpun menaikkan tarif air di Pulau Pinang untuk memastikan pengguna tidak membazir air. 

Mengapa Selangor tidak boleh menaikkan tarif air? Adakah kita semua sedar bahawa pembekuan tarif air pada tahun 2008 semasa mula-mula Pakatan Rakyat mengambilalih Selangor dari Barisan Nasional adalah untuk menghalang Syabas mengaut keuntungan berlebihan. Tarif air boleh dan harus naik asalkan kuantum kenaikan itu tidak terlalu tinggi dan tidak kerap sama seperti di Pulau Pinang.

Isu pengambilalihan aset air di Selangor juga antara isu panas yang menjadi alasan mengapa MB Selangor perlu ditukar. Saya tidak berniat mengulas panjang struktur pengambilalihan ini yang diulas oleh YB Rafizi di blog beliau kali ini. Mungkin selepas raya nanti saya akan tulis satu artikel yang menyentuh hal teknikal pengambilalihan aset dan ekuiti syarikat air di Selangor ini.

Pengambilalihan aset daripada syarikat swasta juga adalah rancangan Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat. Saya hairan mengapa Pakatan berjanji mengambil alih konsesi lebuhraya yang bernilai puluhan billion ringgit yang juga akan menguntungkan kroni tetapi apabila kerajaan negeri Selangor ingin mengambilalih konsesi air di Selangor (ekuiti bukan aset) ia dikatakan sebagai menguntungkan kroni seperti Rozali Syabas?

Isu-isu lain seperti Bible Bahasa Melayu, JAIS dan sebagainya juga adalah antara kegagalan TSKI. Bagaimana MB baru yang akan mengambilalih pentadbiran Selangor menangani isu ini masih menjadi misteri. Saya sangat berminat untuk melihat bagaimana MB baru mengimbangi tuntutan rakyat dengan titah Sultan Selangor. 

Secara jujurnya saya nampak jika TSKI kekal sebagai MB, krisis kepimpinan ini akan berlanjutan tanpa henti. Saya sudah nampak keperluan penukaran MB sejak Kajang Move dilaksanakan untuk meredakan serangan dalaman dan ketidakpuashatian beberapa pihak didalam parti. 

Rakyat Selangor pula terpaksa menerima hakikat demokrasi di negara kita adalah demokrasi perwakilan atau representative democracy yang memberi kuasa kepada wakil rakyat untuk membentuk kerajaan dan melantik MB. Sekiranya Malaysia mengamalkan demokrasi terus atau direct democracy sudah pasti referendum atau pilihanraya baru akan dijalankan untuk memilih MB secara terus. 

Saya akan terus menyokong Pakatan Rakyat kerana tidak nampak masa depan Selangor di bawah BN. Tetapi saya tidak pasti bagaimana pendapat orang lain. Ini pendapat saya, MB patut ditukar dengan tertib dan terhormat. Bukan dengan serangan ataupun menjatuhkan maruah sesiapa. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Disclaimer: Saya tidak ada isu dengan YAB Lim Guan Eng. Hanya menunjukkan layanan berbeza oleh sesetengah pihak kepada dua tokoh negeri di bawah Pakatan Rakyat. 

No comments:

Post a Comment