Thursday, March 6, 2014

Ekonomi: Inflasi

Oleh: Norman

Pengenalan

Inflasi seperti yang kita faham secara umumnya adalah kenaikan harga barang. Inflasi menyebabkan kuasa membeli pengguna berkurang akibat dari kenaikan harga barang. RM10 pada masa akan tidak dapat membeli jumlah barang yang sama dengan RM10 pada hari ini atau pada zaman 90-an bila ibu-bapa kita membeli-belah di supermarket, RM50 sudah cukup untuk memenuhkan troli dengan barangan dapur dan rumah tetapi pada hari ini RM50 pun belum tentu dapat memenuhkan bakul di supermarket. Jika anda faham contoh di atas maka anda sudah pun memahami konsep inflasi secara umumnya.

Kategori Inflasi
Di dalam tulisan ini saya akan menyentuh dengan lebih mendalam tentang inflasi. Inflasi diukur atau dikira mengikut kumpulan harga tertentu. Contoh yang lebih dekat dengan kita sebagai pengguna adalah Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI). CPI mengukur perubahan harga dalam kumpulan-kumpulan barangan dan perkhidmatan tertentu seperti harga makanan, utiliti, pengangkutan, pendidikan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengguna biasa seperti kita.  

Selain daripada CPI terdapat juga Indeks Harga Pengeluar (Producer Price Index, PPI) yang mengukur perubahan harga input (contoh: bahan mentah) untuk pengeluar yang menghasilkan barangan. PPI ini berkait rapat dan memberi kesan kepada CPI kerana perubahan harga input untuk menghasilkan barangan akan mengubah harga akhir barangan yang dijual kepada pengguna. PPI juga dipanggil sebagai Indeks Harga Runcit (Wholesale Price Index, WPI) di sesetengah negara seperti India. 

Inflasi juga diukur sebagai penurun KDNK (GDP deflator) yang mengukur perubahan semua harga barang dan perkhidmatan di dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara tanpa mengira apa jenis barangan dan perkhidmatan yang digunakan pengguna atau pengeluar. GDP deflator berperanan menurunkan jumlah KDNK nominal (GDP nominal) yang disukat pada harga semasa untuk memberikan angka KDNK sebenar yang disukat pada harga malar (tahun asas=2010). Mengapa KDNK dikira pada harga tahun 2010 (harga malar)? Kerana sukatan aktiviti ekonomi sebenar perlu membuang faktor inflasi atau kenaikan harga barang untuk melambangkan nilai sebenar aktiviti ekonomi pada tahun tersebut.

Indeks Harga Pengguna (IHP) / Consumer Price Index (CPI)
Kembali kepada Consumer Price Indeks atau CPI yang lebih memberi kesan kepada kita sebagai pengguna. Jabatan Perangkaan negara menyukat CPI berpandukan kumpulan harga barang berikut: *Sumber: Jab Perangkaan
  1. Makanan dan minuman bukan beralkohol.
  2. Minuman beralkohol dan tembakau.
  3. Pakaian dan kasut.
  4. Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan bahan api lain.
  5. Hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah.
  6. Kesihatan.
  7. Pengangkutan.
  8. Komunikasi.
  9. Perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan.
  10. Pendidikan.
  11. Restoran dan hotel.
  12. Pelbagai barang dan perkhidmatan lain.
Setiap kategori barangan dan perkhidmatan di atas memberi kesan yang berbeza kepada indeks di dalam CPI. Peratusan kategori barangan dan perkhidmatan di atas melambangkan corak atau pola perubahan perbelanjaan pengguna. Setiap kategori juga memberi wajaran/pemberat berbeza kepada CPI seperti dibawah: 

Kategori Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol (wajaran: 30.3%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas  dan Bahan Api Lain (wajaran: 22.6) mempunyai wajaran atau pemberat terbesar di dalam CPI bermakna perubahan harga di dalam kategori tersebut memberi kesan lebih besar kepada CPI berbanding kategori lain. Contohnya jika harga makanan banyak naik dan harga petrol juga naik maka CPI akan meningkat dengan lebih cepat.

Jabatan Perangkaan Negara juga mengeluarkan peratusan perubahan harga mengikut indeks bagi kumpulan-kumpulan di atas secara individu contohnya perubahan indeks Makanan, Minuman Bukan Alkohol dan indeks Bukan Makanan seperti di bawah: 



Indeks Harga Pengguna atau CPI sering dipengaruhi kejutan harga daripada kumpulan makanan seperti harga sayur segar dan makanan laut segar yang naik mengejut akibat cuaca. CPI juga dipengaruhi oleh kumpulan bahan api seperti petrol, diesel dan LPG. Kerana perubahan harga pada kumpulan tersebut seringkali mendadak, terdapat cara pengiraan kadar inflasi dengan mengecualikan kumpulan makanan dan bahan api dari pengiraan kadar inflasi. Indeks Harga Pengguna atau CPI tanpa mengambil kira perubahan harga makanan dan bahan api dipanggil Inflasi Teras atau Core Inflation. 

CPI dibandingkan dari bulan ke bulan (Month on Month, MoM) untuk membandingkan perubahan harga pada bulan ini daripada bulan lepas contohnya CPI pada Januari 2014 dibandingkan dengan CPI pada Disember 2013. CPI juga dibandingkan dari tahun ke tahun (Year on Year, YoY) untuk membandingkan perubahan harga pada tahun ini daripada tahun lepas bulan yang sama contohnya CPI pada Januari 2014 dikira daripada Januari 2013. Kebiasaanya yang diberi perhatian untuk mengukur perubahan harga adalah pengiraan CPI YoY atau tahun ke tahun kerana pengiraan CPI MoM atau bulan ke bulan tidak menolak faktor kejutan permintaan dan bekalan pada jangka masa pendek.

Jabatan Perangkaan Negara juga mengeluarkan Indeks Harga Pengguna untuk kawasan bandar dan luar bandar sebagai rujukan perubahan harga mengikut kawasan. Terdapat juga Indeks Harga Pengguna untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebagai rujukan inflasi mengikut kumpulan pendapatan.

Penyebab Inflasi
Penyebab inflasi masih menjadi perdebatan antara ahli-ahli ekonomi mengikut teori ekonomi masing-masing. Sekolah Ekonomi Keynesian berteori bahawa penyebab inflasi adalah akibat bekalan dan permintaan barangan dan perkhidmatan pada suatu masa manakala pada pendapat Monetarist, inflasi adalah disebabkan oleh perubahan pada bekalan wang (money supply) pada suatu masa. Dibawah saya senaraikan penyebab inflasi secara umum:

1. Kenaikan Bekalan Wang (Money Supply)

  • Wang dalam edaran meningkat akibat pertumbuhan aktiviti ekonomi negara
  • Bekalan wang yang meningkat untuk barang dan perkhidmatan yang sama meningkatkan harga barang dan perkhidmatan tersebut

2. Pengurangan Permintaan Wang (Money Demand) 

  • Pengurangan permintaan wang akibat kelembapan aktiviti ekonomi.
  • Wang dalam edaran meningkat akibat kekurangan permintaan wang.
  • Lebihan wang dalam edaran menyebabkan inflasi.
3. Inflasi Tolakan Kos (Cost Push Inflation)
  • Peningkatan kos pengeluaran seperti kenaikan harga input untuk menghasilkan barang
  • Contohnya kenaikan kos buruh; gaji pekerja meningkat, kenaikan kos bahan mentah dan sebagainya.
  • Kenaikan kos input ini menyebabkan pengeluar menaikkan harga barang dan melepaskan kos kepada pengguna/pembeli untuk mengekalkan margin keuntungan yang sama.

4. Inflasi Tarikan Permintaan (Demand Pull Inflation)

  • Permintaan terhadap barangan dan permintaan oleh semua sektor seperti kerajaan, swasta, isi rumah dan pembeli luar negara.
  • Permintaan yang tinggi melebihi kemampuan membekalkan barangan dan perkhidmatan tersebut menyebabkan kenaikan harga.
  • Terlalu banyak permintaan untuk barangan dan perkhidmatan menyebabkan persaingan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan tersebut, maka inflasi terjadi.

Keperluan Inflasi
Inflasi seringkali dianggap sebagai suatu yang tidak elok pada pandangan umum kerana kenaikan harga barang akan menyempitkan poket kita. Walaubagaimanapun kita harus faham bahawa inflasi adalah suatu keperluan kerana ia melambangkan pertumbuhan aktiviti ekonomi negara kita. Yang lebih berbahaya kepada ekonomi negara adalah deflasi (deflation) yang melambangkan penurunan aktiviti ekonomi, permintaan yang semakin mengurang yang akan menyebabkan krisis ekonomi seperti di Jepun sejak awal tahun 90-an di mana tiada lagi inflasi berlaku dan Jepun mengalami deflasi sejak dari itu. 

Inflasi adalah berguna asalkan ianya rendah dan terkawal. Inflasi juga meningkatkan aktiviti ekonomi kerana pendapat bahawa harga akan meningkat pada masa akan datang menyebabkan pengguna membeli barangan sekarang berbanding deflasi yang akan menangguhkan pembelian kerana menganggap harga akan semakin jatuh pada masa akan datang. 

Masalah Inflasi

Inflasi yang berlebihan (hyperinflation) berlaku akibat bekalan wang yang terlalu berlebihan seperti yang berlaku di Zimbabwe apabila kerajaan mencetak wang kertas secara berlebihan tetapi penghasilan barangan tetap sama, kuasa membeli pengguna berkurang dan wang yang diedarkan semakin kurang nilainya akibat inflasi yang berlebihan. Contoh pada gambar di sebelah apabila berlaku hiperinflasi, wang kertas semakin tidak bernilai dan peningkatan denominasi wang kertas pada kadar yang tidak terkawal. 100 billion Zimbabwe Dollar bersamaan 5 sen US sahaja pada suatu masa. Tambang bas untuk rakyat Zimbabwe ke tempat kerja dikatakan pernah mencecah ZWD 1 trillion iaitu 50 sen US. 

Inflasi yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyorokan barangan (hoarding) oleh peniaga yang ingin mengambil untung dengan menjual barangan yang disorok pada masa akan datang dengan harga yang lebih tinggi. Inflasi yang tinggi menandakan ketidakcekapan pengurusan ekonomi bukan sahaja oleh kerajaan termasuk juga ketidakcekapan pasaran untuk memenuhi permintaan dan menyediakan bekalan.

Inflasi Semasa di Malaysia
Perubahan Indeks Harga Pengguna Tahun ke Tahun Malaysia
Akibat daripada pemansuhan subsidi gula, pengurangan subsidi petrol, diesel, kenaikan tarif elektrik di antara akhir tahun lepas hingga awal tahun ini, trend harga pengguna mula mencatatkan kenaikan yang agak mendadak. Pada bulan Januari 2014, CPI mencatatkan kenaikan sebanyak 3.4% berbanding Januari 2013. Secara teorinya pemansuhan subsidi akan menaikkan harga secara one-off sahaja dan bukannya berterusan tetapi ada kesan berantai akibat pengurangan subsidi petrol, diesel dan elektrik yang akan meningkatkan kos pengeluaran seterusnya meningkatkan harga barang. Peniaga pula akan melepaskan kos kepada pengguna untuk mengekalkan margin keuntungan dan pengguna akan terbeban akibat kenaikan harga semua jenis barangan.

Trend CPI dijangka meningkat sepanjang 2014 akibat daripada rasionalisasi subsidi yang dijalankan kerajaan selain daripada aktiviti ekonomi yang semakin meningkat kesan daripada pemulihan ekonomi negara luar seperti US dan Eropah. 

Rumusan
Ramai diantara kita mempertikaikan angka inflasi seperti Indeks Harga Pengguna yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara kerana contohnya, harga barangan naik lebih tinggi dari kadar CPI 3.4% pada bulan Januari 2014. Benar, memang banyak barangan yang naik lebih banyak daripada perubahan peratusan Indeks Harga Pengguna tetapi harus kita ingat bahawa pengiraan CPI ini adalah pengiraan kumpulan barangan yang banyak (512 barangan) yang dikira secara purata seluruh negara termasuk kawasan luar bandar. Jadi peratusan perubahan yang tampak rendah ini melambangkan purata perubahan harga dan bukan perubahan harga yang spesifik mengikut sesuatu tempat.

Saya tidak menyangkal bahawa banyak lagi yang perlu diusahakan kerajaan untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup seperti membuka pasaran dengan menghapuskan permit khas, menghapuskan monopoli dan sebagainya. Ketidakcekapan dan campurtangan berlebihan kerajaan dalam menentukan harga pasaran menyebabkan ketidakcekapan pasaran dan mengganggu pola permintaan dan bekalan barangan yang akan menyebabkan inflasi berlebihan. 

Hari ini kita belajar berkenaan inflasi secara mendalam. Jika ada yang tanya apa yang kamu faham tentang inflasi maka boleh lah kita menerangkan tentang Indeks Harga Pengguna, kebaikan dan keburukan inflasi dan sebagainya. Semoga apa yang ditulis dan diterangkan diatas bermanfaat buat semua. 

Nota Teknikal: 

1. Data Indeks Harga Pengguna mengikut Siri Masa: Jabatan Perangkaan
2. Inflation: Wikipedia
3. Hyperinflation in Zimbabwe: Wikipedia
4. Lost Decade (Japan): Wikipedia

No comments:

Post a Comment