Sunday, February 23, 2014

BR1M 3.0

oleh: Norman

BR1M 3.0

BR1M 3.0 sudah mula diagihkan sejak minggu lepas kepada 7.9 juta penerima yang layak. Berbanding dengan BR1M 2.0, terdapat peningkatan jumlah penerima sebanyak 1.8 juta di mana jumlah penerima BR1M 2.0 adalah sebanyak 6.1 juta isi rumah & individu bujang. Ini adalah disebabkan BR1M 3.0 yang diluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 (RM3,000-RM3,999) yang menerima sejumlah RM450. BR1M kali ini melibatkan belanja sejumlah RM4.5 bilion iaitu pertambahan belanja sebanyak RM1.5bil berbanding BR1M 2.0 yang melibatkan belanja sejumlah RM3bil. Pertambahan belanja ini disebabkan oleh pertambahan jumlah bayaran kepada isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 yang menerima RM650 dan individu bujang berpendapatan kurang RM2,000 yang menerima RM300. BR1M 3.0 juga melibatkan tambahan belanja RM50 sebagai caruman i-BR1M iaitu skim insurans/takaful berkelompok kematian dan kemalangan kepada penerima BR1M.

Seperti yang dijanjikan BN, BR1M akan meningkat setiap tahun sehingga RM1,200 dalam masa 5 tahun. Dalam masa yang sama subsidi bersifat universal seperti subsidi petrol, diesel dan lain-lain akan dikurangkan sejajar dengan kenaikan bayaran BR1M. Usaha ini dikatakan untuk menjadikan pemberian subsidi kepada rakyat ini lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan dan untuk mengelakkan golongan berpendapatan tinggi menikmati subsidi daripada kerajaan. Usaha ini saya anggap sebagai bagus dan bertanggungjawab kerana sememangnya subsidi harus disasarkan kepada golongan yang memerlukan dan subsidi tidak harus bersifat universal kerana subsidi 'bogel' (naked subsidy) seperti subsidi petrol & diesel sebahagian besarnya dinikmati golongan berpendapatan tinggi yang berkereta mewah serta enjin berkuasa tinggi. 

PEMBERIAN TUNAI VS SUBSIDI

Di dalam konteks pemberian/pemindahan tunai (cash transfer) terus kepada rakyat berbanding subsidi dalam bentuk kawalan harga (barangan asas; makanan) dan subsidi perbezaan harga (petrol, diesel, gas LPG), pemberian tunai mempunyai beberapa kelebihan:
  1. Kos pemberian tunai adalah lebih rendah dan boleh dikawal berbanding subsidi universal yang kos nya tinggi dan sukar untuk dikawal.
  2. Pemberian tunai boleh dibuat terus kepada golongan sasar seperti golongan berpendapatan rendah.
  3. Kebebasan kepada penerima pemberian tunai untuk berbelanja wang tunai yang diterima. *akan disentuh kemudian berbanding subsidi harga barangan (petrol, diesel, gula dll).
Saya cenderung menyokong pemberian tunai berbanding subsidi yang lain atas sebab-sebab di atas. Selain daripada itu, terdapat banyak contoh dari negara membangun lain di mana pemberian tunai terus ini berkesan dalam menghapuskan kemiskinan tegar, menaikkan taraf hidup sesebuah keluarga termasuk pendidikan anak-anak dan kesihatan keluarga dan juga merapatkan jurang pendapatan. Antara contoh kertas kajian pemberian tunai di negara luar:
Berbanding BR1M kebanyakan program pemberian tunai di negara-negara contoh di atas adalah bersifat bersyarat (conditional cash transfer). BR1M adalah program pemberian tunai tidak bersyarat di mana syarat-syarat memohonnya longgar dan tiada objektif jelas selain daripada membantu mengurangkan kos sara hidup. Program pemberian tunai bersyarat di negara luar lazimnya mensyaratkan pemohon memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan sebelum diberi tunai. Contoh syarat adalah seperti pemohon perlu memastikan anak-anak mendaftar di sekolah, perlu menghadiri pemeriksaan kesihatan berkala dan sebagainya. Syarat-syarat ini adalah untuk memastikan objektif meningkatkan taraf hidup keluarga penerima tunai ini tercapai. 

MITOS BR1M

Sumber: The Malaysian Insider 16 Februari 2014
Mitos bahawa BR1M akan membankrapkan negara bukan sahaja dicanang oleh penyokong Pakatan Rakyat malah ada penyokong BN juga berpendapat sedemikian. Berbanding subsidi bahan api (petrol, diesel & LPG) yang melibatkan perbelanjaan lebih RM20bil setiap tahun, BR1M hanya memerlukan sekitar RM5bil. Yang akan membankrapkan Malaysia bukanlah BR1M tetapi subsidi universal yang sukar untuk dikawal oleh kerajaan seperti subsidi minyak sekarang.

Saya berpendapat cakap-cakap bahawa penerima program tunai akan menjadi malas (beri ikan vs ajar memancing ikan) kerana mendapat duit percuma adalah bersifat cetek kerana kebiasaannya wang tunai yang diterima bukanlah dalam jumlah yang banyak sehingga menyebabkan mereka menjadi malas. Kajian program tunai di negara lain seperti yang dilampirkan di atas membuktikan sebaliknya malah produktiviti penerima tunai juga meningkat kerana mereka mendapat insentif untuk bekerja lebih rajin. 



PENDAPATAN ISI RUMAH RAKYAT MALAYSIA

Kerajaan tidak sepatutnya berbangga dengan pembayaran BR1M kerana lebih daripada 50% atau lebih tepat 55.2% isi rumah di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM4,000 setiap bulan:
Sumber: Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah m/s 15
Mereka inilah yang akan menerima BR1M selagi mereka masih berada di lingkungan pendapatan isi rumah yang sama pada masa yang akan datang. Slogan ke arah negara berpendapatan tinggi tampak masih samar-samar apabila masih ramai rakyat yang terperangkap di dalam pendapatan rendah dan menengah. BR1M bukanlah jalan keluar daripada permasalahan ini. 

BR1M DAN POLITIK

BR1M bersifat politikal apabila kerajaan mendabik dada mengatakan BR1M adalah disebabkan hasil pengurusan cekap kerajaan BN. BR1M bukanlah berpunca daripada pendapatan atau hasil baru kerajaan. Ia adalah hasil daripada pengagihan semula (re-distribution) subsidi kerajaan. Harga petrol dan diesel yang dinaikkan September yang lalu melibatkan penjimatan RM3.3bil, tarif elektrik yang dinaikkan berkuatkuasa Januari bulan lepas pula menjimatkan RM4bil dan juga penghapusan subsidi gula yang menjimatkan RM550 juta. Untuk tahun lepas dan tahun ini sahaja pengstrukturan subsidi sudah melibatkan penjimatan sebanyak lebih kurang RM7.8bil dan penjimatan ini disalurkan kepada perbelanjaan lain seperti BR1M 3.0 yang melibatkan perbelanjaan sejumlah RM4.5bil sahaja. Malah masih berbaki penjimatan hasil daripada rasionalisasi subsidi tahun lepas dan tahun ini. Tidak timbul bahawa BR1M adalah hasil kecekapan pengurusan ekonomi BN dan sebagainya. 

Walaubagaimanapun saya memuji usaha memasukkan BR1M terus ke dalam akaun bank penerima kerana tidak seperti BR1M yang lepas, pengagihan tunai/baucer BR1M dijadikan modal politik BN yang mengadakan majlis penyerahan BR1M yang disampaikan ketua-ketua bahagian UMNO seolah-olah wang BR1M ini datang daripada poket UMNO. Apabila BR1M dikreditkan terus ke dalam akaun penerima, program berbaur politik dapat dikurangkan.

Ada juga mereka yang berkata bahawa penyokong pembangkang tidak layak menerima BR1M kerana ini adalah polisi BN. Ini kenyataan bodoh kerana bukan penyokong kerajaan sahaja yang membayar cukai. Membayar cukai adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia termasuklah penyokong pembangkang yang juga tidak terkecuali daripada membayar cukai. Jadi adalah hak sesiapa sahaja yang layak untuk menerima BR1M tidak kira mereka penyokong siapa pun. 

PEMBAYAR CUKAI

Tidak kurang juga mereka yang merendah-rendahkan penerima BR1M kononnya mereka pembayar cukai dan penerima BR1M tidak membayar cukai. Ini juga pernyataan bersifat cetek kerana hampir semua rakyat Malaysia adalah pembayar cukai. Cukai bukanlah semata-mata cukai pendapatan sahaja. Terdapat pelbagai jenis cukai lain seperti cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, cukai eksport-import, cukai jalan dan lain-lain:
Sumber: Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2014 m/s4

Pada tahun 2013 sebanyak RM37bil cukai tidak langsung (selain cukai pendapatan) dikutip oleh kerajaan. Cukai ini termasuklah cukai yang dikutip dari rakyat apabila membeli kereta (cukai jualan 10%, duti eksais sehingga 105%), makan di restoran (cukai perkhidmatan 6%), membeli barangan (cukai jualan 10%) dan sebagainya. Kutipan cukai perkhidmatan (6%) pada tahun lepas sebanyak RM6.1bil sudah lebih daripada mencukupi untuk menampung perbelanjaan BR1M yang berjumlah RM4.5bil. Jadi ungkapan seperti jangan membazirkan duit pembayar cukai adalah tidak betul kerana kita semua adalah pembayar cukai sama ada secara langsung atau tidak langsung. Setiap dari kita adalah penyumbang kepada hasil negara. Kerajaan hanya diamanahkan untuk menguruskan wang rakyat dan wang negara.



RUMUSAN



BR1M tidak mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan. Kerajaan menganggarkan akan membelanjakan RM22.3bil untuk subsidi bahan api dan juga BR1M berbanding sebanyak RM20bil tahun. Jadi saya meramalkan kerajaan akan menaikkan harga petrol, diesel dan LPG (mengurangkan subsidi) seiring dengan kenaikan jumlah bayaran BR1M sehingga menjadi RM1,200 pada tahun 2018. 
Sumber: Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan


Mereka yang bukan penyokong kerajaan pula tidaklah patut mengeji BR1M kerana program seumpama ini bukanlah program yang tidak berfaedah. BR1M secara teori dan kesannya adalah bagus dan berfaedah dan sememangnya ada banyak yang boleh diperbaiki dari segi pelaksanaannya. Malah kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat juga memberi wang tunai kepada golongan tertentu seperti warga emas, hadiah anak masuk universiti di Selangor dan pemberian wang tunai bagi Program Anak Emas di Pulau Pinang.

Kita juga tidaklah harus terlalu risau dengan apa yang dibelanjakan oleh penerima BR1M. Jika mereka memilih untuk membelanjakan sekaligus, membeli barangan kehendak (handphone contohnya) atau belanja makan keluarga dan kawan-kawan itu adalah hak mereka. Terpulang kepada mereka untuk berbelanja mengikut keperluan dan kehendak mereka. Apabila mereka berbelanja ia juga memberi nilai tambah kepada ekonomi (perbelanjaan penggunaan swasta=private consumption) selain daripada dapat menggembirakan diri sendiri dan juga orang lain. 

p/s: Jangan kepala butohkan orang lain.

1 comment: