Saturday, November 2, 2013

Isu: Harga Gula Naik

oleh: Norman

Pada pembentangan Bajet 2014 yang lalu kerajaan mengumumkan pemotongan subsidi gula serta merta yang berkuatkuasa pada 26 Oktber 2014 iaitu sehari selepas bajet dibentangkan. Pemansuhan subsidi tersebut meningkatkan harga gula runcit sebanyak 34 sen sekilogram:

Sumber Teks Bajet 2014 m/s48
Alasan yang diberi kerajaan menarik subsidi gula diterangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan seperti di atas; untuk mengelakkan penyakit berkaitan. Selain daripada itu Perdana Menteri juga berkata pengurangan penggunaan gula akan meningkatkan kualiti seks pasangan dan Timbalan Perdana Menteri pula seolah memberi amaran bahawa pengunaan gula berlebihan akan menjadikan kita menerima nasib seperti bekas Menteri Kedah yang baru-baru ini meninggal dunia akibat penyakit jantung dan juga kaki arwah dipotong kerana menghidap kencing manis. 

Mari merujuk kepada beberapa angka dan fakta tentang penggunaan gula oleh rakyat Malaysia:
Seterusnya mari kita merujuk angka pesakit diabetes di Malaysia:
Kaitan antara penggunaan gula dan penyakit diabetes mungkin boleh dibahas dan dikaji lagi tapi jika anda berminat boleh rujuk kajian di sini: Diabetes Melittus and Sugar Consumption; an ecological study: Muhammad Talha Khan.

Kita tak boleh menafikan penggunaan gula yang berlebihan adalah antara faktor mengapa gejala obesiti meningkat dan seterusnya menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit berkaitan jantung, buah pinggang dan sebagainya. Selain daripada itu gaya hidup yang kurang sihat seperti kurang bersenam juga menyebabkan kepada pelbagai jenis yang juga berkaitan dengan penyakit-penyakit tersebut. Berkenaan kualiti seks mungkin perlu kajian lebih lanjut. Saya belum berkahwin tapi saya faham jika anda tidak sihat dengan pelbagai penyakit sudah tentulah kualiti seks dengan pasangan akan menurun. 

Berbalik kepada persoalan asal iaitu penghapusan subsidi gula yang menyebabkan kenaikan harga gula runcit sebanyak 34 sen kepada RM2.84 sen sekilogram. Aneh apabila kerajaan tidak langsung menyentuh tentang harga gula mentah antarabangsa sepertimana alasan harga minyak mentah antarabangsa meningkat apabila harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan. Rujuk harga gula (Sugar no. 11) yang menjadi penanda aras harga gula mentah antarabangsa:
Harga Gula Mentah Sejak Awal 2012: Investing.com


Daripada setinggi US$0.26 menurun hingga US$0.18 setiap pound (lbs) setakat 1 November 2013. Jadi mengapa kerajaan menaikkan harga gula sedangkan harga gula mentah di pasaran menurun? Rujuk keratan berita dari Bernama di sini: 

Sumber: Bernama, 3 Februari 2012
Menurut laporan berita di atas kerajaan telah menandatangani kontrak jangka panjang (long term contract, LTC) untuk tempoh 3 tahun (2012-2014) pada harga US$0.26/lbs. Ini bermakna sebanyak mana harga gula antarabangsa berubah, kerajaan tetap akan membeli gula pada harga tersebut. Pembelian seperti ini dipanggil forward buying. Forward buying kebiasaannya digunakan untuk membeli sesuatu dalam jangka masa yang panjang untuk mengelakkan kenaikan harga mendadak. Forward buying melindungi pembeli daripada perlu membayar dengan lebih banyak sekiranya harga barang berkenaan meningkat pada masa hadapan. Walaubagaimanapun forward buying akan merugikan sekiranya harga pada masa hadapan turun kerana disebabkan perjanjian antara pembeli dan penjual sudah ditetapkan pada harga tetap, pembeli terpaksa membayar lebih daripada harga semasa yang sudah menurun.

Dalam konteks gula yang dibeli kerajaan, kita menanggung kerugian sejak 2012 kerana harga gula menurun sehingga US$0.18 sedangkan kerajaan telah menandatangani belian gula pada harga US$0.26 setiap pound. Maka dengan itu subsidi gula naik sepanjang 2012-2013 kerana gula yang sepatutnya boleh dibeli dengan harga murah dibeli pada harga mahal mengikut perjanjian yang dibuat dengan pembekal gula mentah. Adakah kerajaan tidak mengkaji atau menganalisis pasaran sebelum membuat perjanjian belian gula tersebut? 

Penganalisis pasaran komoditi meramalkan harga komoditi termasuk gula akan menurun akibat permintaan semakin mengurang dan lebihan bekalan (oversupply) yang tinggi. Malah Food and Agriculture Organization di bawah United Nations juga sudah meramalkan penurunan harga gula antarabangsa kesan daripada pelbagai faktor dari geo-politik, penghasilan gula oleh negara pengeluar, dagangan antarabangsa dan sebagainya. Kajian harga gula boleh dirujuk di sini: OECD-FAO Agricultural Outlook 2012-2020.

Berapakah subsidi yang terpaksa ditanggung akibat kelemahan pengurusan dan kajian oleh kerajaan sebelum menandatangani perjanjian pembelian gula? Anda boleh merujuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan di Perbendaharan Malaysia

Subsidi Gula 2010: Tiada, 2011: RM400 juta
Subsidi Gula: 2011: RM400 juta, 2012: RM200 juta


Subsidi Gula: 2012: RM200 juta, 2013: RM551 juta
Jadi kerajaan terpaksa menaikkan harga gula kerana tanggungan subsidi yang tinggi sedangkan kita boleh membeli gula pada harga yang lebih rendah. Akhirnya rakyat juga terpaksa membayar gula dengan lebih mahal kerana kelemahan pengurusan oleh kerajaan. 

Selain daripada itu monopoli atau duopoli sektor gula oleh Tradewinds Plantation Berhad (CSR dan Gula Padang Terap Sdn Bhd) dan MSM Holdings Bhd (dimiliki Felda) juga tidak menguntungkan rakyat langsung kerana lesen mengimport dan mengeluar gula yang terhad menjadikan tiada persaingan yang kompetitif antara mereka. Sekiranya pasaran gula dibuka saya yakin harga gula akan kompetitif dan rakyat boleh membeli gula pada harga yang lebih rendah daripada sekarang. 

Kerajaan perlu membuat kajian dan analisa terperinci sebelum membuat keputusan membeli gula pada harga tetap melalui forward buying contracts. Pelbagai rujukan, ramalan pasaran dan statistik mesti dirujuk kerana harga komoditi bukanlah akan sentiasa naik. Kitaran pasaran menunjukkan harga gula berada pada trend menurun untuk jangka masa yang panjang sebelum meningkat semula. Jika kajian dijalankan dengan terperinci dan kerajaan membuat keputusan yang betul, kerajaan tidak perlu menanggung subsidi gula dan rakyat pula dapat membeli gula pada harga yang lebih rendah. 

p/s: Kurangkan pengambilan gula dan banyakkan bersenam. 

Sumber: 
  • Najib dan Muhyiddin berkenaan kenaikan harga gula: The Malaysian Insider
  • Harga Gula naik kerana kerajaan import mahal: Tony Pua: Sinar Harian
  • Forward buying: Investopedia
  • Sumber-sumber lain sila klik di link di perenggan di atas.



No comments:

Post a Comment