Saturday, October 26, 2013

GST 6%

 oleh: Norman

PENDAHULUAN 

Artikel ini adalah kemaskini daripada artikel GST [baca dahulu artikel tersebut sebelum menyambung bacaan disini] yang ditulis 5 bulan lepas. Akhirnya yang menjadi sebutan rakyat Malaysia berbulan-bulan selepas pilihan raya umum yang lalu kini hampir menjadi kenyataan. Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia semasa ucapan Belanjawan 2014 pada kadar 6% akan berkuatkuasa pada 1 April 2015. Di dalam artikel yang lepas saya telah menerangkan tentang GST dengan menggunakan cadangan kadar yang dibaca di parlimen pada tahun 2009 iaitu 4%. Oleh sebab kerajaan berhasrat mengenakan GST pada kadar 6% maka dengan itu ada fakta di dalam artikel saya sebelum ini dikira terbatal atau tidak lagi sahih.


GOODS AND SERVICES TAX (GST) DI DALAM BELANJAWAN 2014

Di dalam artikel ini tidak perlu lagi saya terangkan apa beza cukai langsung, cukai tak langsung, cukai pendapatan atau cukai penggunaan dan sebagainya. Secara dasar saya masih menyokong GST kerana ia adalah sistem cukai yang telus, menyeluruh, mengelakkan cukai atas cukai (tax-on-tax) dan mengurangkan pengelakan cukai (tax-evasion) oleh pihak tertentu. Walaubagaimanapun disebabkan GST dikenakan pada kadar 6% dan bukan 4% seperti dicadangkan sebelum saya tidak akan menafikan bahawa GST akan menaikkan harga kebanyakan barangan dan perkhidmatan. Di dalam ucapan belanjawan yang dibentang oleh Perdana Menteri pada hari Jumaat yang lalu, beliau mengumumkan senarai barangan dan perkhidmatan yang akan dikecualikan (exempted) daripada GST iaitu: 


  • Barangan makanan asas termasuk beras, gula, garam, tepung, minyak masak dan sebagainya
  • Utiliti iaitu bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan (untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana)
  • Perkhidmatan kerajaan seperti hospital, pasport, lesen, perkhidmatan sekolah dan lain-lain
  • Perkhidmatan pengangkutan; bas, keretapi, teksi, feri, lebuhraya bertol dan lain-lain
  • Transaksi jual beli dan sewaan rumah serta perkhidmatan kewangan tertentu (contoh: membuka akaun)
Senarai lengkap barangan yang dikecualikan (exempt) atau dicukai pada zero-rated boleh didapati di Lampiran A1 didalam teks ucapan Belanjawan 2014.

Selain barangan dan perkhidmatan di atas semuanya akan dikenakan GST pada kadar standard 6% (standard rate) melainkan barangan dan perkhidmatan yang akan dieksport yang akan dikenakan GST kadar sifar (zero-rated). Sesetengah barangan yang dikenakan Cukai Jualan atau Sales Tax pada kadar 5%-10% sebelum ini pula MUNGKIN akan mengalami sedikit penurunan apabila GST dilaksanakan kerana kadar GST 6% adalah lebih rendah 4% berbanding Sales Tax 10% (dan naik sedikit untuk barangan yang dikenakan Sales Tax 5%). Untuk perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan Cukai Perkhidmatan atau Service Tax pada kadar 6% MUNGKIN tidak akan memberi kesan kepada harga perkhidmatan sebelum ini.


BARANGAN YANG DIKECUALIKAN CUKAI SEBELUM INI DAN AKAN DIKENAKAN CUKAI SELEPAS GST

Untuk pengetahuan kawan-kawan sebelum ini banyak barangan dikecualikan daripada dikenakan Sales Tax. Selepas GST dilaksanakan barangan yang sebelum ini dikecuali daripada dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6%. Sudah tentu barangan yang sebelum ini dikecualikan daripada Sales Tax akan naik harga selepas GST berkuatkuasa. Terlalu banyak barang yang sebelum ini dikecualikan daripada Salex Tax untuk disenaraikan di sini tetapi kawan-kawan boleh merujuk Jadual 1 bermula dari mukasurat 4 sehingga mukasurat 253 di dalam Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No 2) 2012. Di dalam jadual kedua (mukasurat 254-292) pula adalah barangan yang sebelum ini dikenakan Sales Tax pada kadar 5% bermakna selepas GST dilaksanakan harga barangan di jadual 2 akan meningkat sedikit. 

Contoh antara barangan di dalam Jadual 1 yang dikecualikan daripada Sales Tax adalah susu berkrim, teh, kopi, jem, buah-buahan didalam tin, air mineral, sabun, bahan cucian, syampu, barangan dapur, beg sekolah, produk kayu-kayuan, kertas, majalah, suratkhabar, pakaian, karpet, kebanyakan barangan logam, barangan elektronik, telefon bimbit, tablet dan macam-macam lagi. Barangan tersebut yang sebelum ini tidak dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6% dan harga barangan tersebut akan naik. Untuk maklumat lengkap rujuk pautan di perenggan sebelumnya. Tiada siapa boleh menafikan harga barang-barang ini akan naik dan jangan percaya dengan hujahan bahawa banyak harga barang akan turun selepas GST dilaksanakan. Walaubagaimanapun kebanyakan barang-barang asas yang digunakan secara harian dikecualikan daripada dikenakan GST seperti yang dimaklumkan dalam ucapan belanjawan.


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI KOS KENAIKAN GST

Seperti yang saya jangka dalam artikel berkenaan GST yang lepas, kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah untuk menangani atau membantu rakyat untuk menghadapi kos kenaikan harga barangan. Langkah-langkah tersebut adalah:

  1. Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada isi rumah yang menerima BR1M. 
  2. Penurunan kadar cukai pendapatan 1% hingga 3% untuk menambahkan pendapatan boleh guna (disposable income) dan dijangka hampir 300,000 mereka yang membayar cukai sebelum ini tidak lagi perlu atau layak membayar cukai pendapatan; secara ringkas mereka yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM4,000 tidak akan dikenakan cukai pendapatan
  3. Penyusunan semula struktur cukai di mana kadar maksimum dinaikkan melebihi RM100,000 kepada RM400,000 dan kadar maksimum cukai pendapatan pada 26% diturunkan kepada 24%, 24.5% dan 25%.
Selain daripada itu terdapat langkah-langkah lain untuk perniagaan seperti penurunan cukai pendapatan korporat, dan SME dan juga pelepasan cukai untuk menyediakan perniagaan sebelum penguatkuasaan GST pada tahun 2015. Saya tidak mahu menghurai lebih lanjut sama ada langkah-langkah di atas cukup untuk mengurangkan beban GST kepada rakyat kecuali saya rasa ada ruang lagi yang kerajaan boleh gunakan untuk mengurangkan kesan GST dan meratakan lagi beban cukai supaya ia menjadi lebih progresif contohnya:

  • Meluaskan lagi liputan cukai dan menaikkan kadar nilai pendapatan boleh dicukai (chargable income)
  • Tidak perlu menurunkan kadar marginal tertinggi cukai pendapatan (marginal income tax rate) seperti 26% kepada 24%-25%
  • Cukai korporat tidak perlu diturunkan daripada 25% kepada 24%
  • Pengenalan Capital Gains Tax ke atas keuntungan penjualan instrumen pelaburan

CUKAI REGRESIF (REGRESSIVE TAX)

Kita sedia maklum GST adalah cukai yang regresif (regressive tax) yang bermaksud dari segi perbelanjaan kepada jumlah pendapatan isi rumah, golongan berpendapatan rendah akan membayar lebih peratusan daripada pendapatan mereka untuk GST manakala golongan berpendapatan tinggi akan membayar kurang peratusan daripada pendapatan mereka untuk GST. Contohnya:

Situasi A;
Keluarga berpendapatan rendah sebanyak RM1,000 sebulan. Setelah dikira (secara kasar) melalui perbelanjaan mereka cukai yang akan dibayar sebanyak RM60, ini bermakna sebanyak 6% pendapatan mereka digunakan untuk membayar cukai.

Situasi B; 
Keluarga berpendapatan tinggi sebanyak RM10,000 sebulan dan menganggap barangan yang dibeli adalah sama dengan keluarga berpendapatan rendah, cukai yang dibayar sebanyak RM60. Ini bermakna 0.6% pendapatan mereka digunakan untuk membayar cukai.

Dengan itu cukai diatas dinamakan cukai regresif kerana golongan berpendapatan rendah akan lebih terkesan berbanding golongan berpendapatan tinggi kerana jumlah pendapatan mereka rendah. [Contoh di atas adalah contoh semata-mata untuk memberi pemahaman tentang maksud Regressive Tax]. Walaupun golongan berpendapatan tinggi kebiasaannya akan berbelanja lebih dan mereka akan membayar lebih cukai, kita tidak boleh nafikan bebanan GST kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana atas sebab pendapatan mereka yang terhad. 


SALAH SANGKA BERKENAAN GST

GST dikutip daripada setiap rantaian bekalan (supply chain) bermula daripada pengeluar (manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit (retailer) dan pengguna (consumer). 


GST yang dikutip pada setiap rantaian bekalan tapi ia tidak bermakna pengeluar, pengilang, pemborong, peruncit akan membayar cukai. Mereka hanya akan mengutip cukai daripada pembeli mereka dan akhir sekali GST hanya akan ditanggung oleh pengguna. GST yang dikutip juga akan direkod dan peniaga hanya boleh memohon claim input tax jika mempunyai bukti (proses ketelusan tinggi/high transparency). Berbeza dengan Sales Tax di mana cukai dikutip hanya pada satu peringkat iaitu di peringkat pengilang sahaja atau peruncit kepada pengguna sahaja. Walaubagaimanapun Sales Tax terdedah kepada tax on tax di mana di tengah-tengah rantaian bekalan pemborong mengutip cukai daripada peruncit kadar penuh dan peruncit juga mengutip cukai penuh daripada pengguna dan pemborong tadi tidak menghantar cukai yang dikutip kerajaan. Ini adalah disebabkan ketidaktelusan atau kurang ketelusan (less transparent) di dalam sistem percukaian sedia ada iaitu Sales Tax dan sudah tentu akhirnya yang akan terbeban dan terpaksa membayar adalah pengguna seperti kita. Contoh ringkas bagaimana GST dikutip:
  1. Pengilang menjual t-shirt pada harga RM10 dan mengutip cukai daripada pemborong sebanyak 60 sen (GST 6%) menjadikan jumlah yang dibayar oleh pemborong kepada pengilang sebanyak RM10.60. Kemudian pengilang akan menghantar kutipan 60 sen GST tersebut kepada kerajaan (Kastam). Jumlah bersih untuk pengilang setelah ditolak GST adalah RM10.
  2. Pemborong setelah mengambilkira kos t-shirt RM10 (tidak termasuk cukai 60 sen) ingin mengambil untung sebanyak RM10. Pemborong kemudian menjual t-shirt pada harga RM20 kepada peruncit dan mengutip cukai sebanyak RM1.20 (GST 6%). Pemborong akan menerima RM21.20 daripada peruncit dan akan menghantar kutipan GST sebanyak 60 sen kepada kerajaan di mana pemborong akan memohon claim input 60 sen yang asalnya dibayar kepada pengilang. Jadi jumlah bersih untuk pemborong setelah ditolak GST adalah RM20.60.
  3. Peruncit ingin mengambil untung sebanyak RM20 setelah mengira kos RM20 (tidak temasuk cukai RM1.20). Peruncit kemudian menjual t-shirt kepada pengguna dengan harga RM40 termasuk GST 6% iaitu RM2.40. Peruncit akan menerima RM42.40 daripada pengguna. Kemudiannya peruncit akan menghantar kutipan GST sebanyak RM1.20 kepada kerajaan dan memohon claim input sebanyak RM1.20 yang asalnya dibayar kepada pemborong. Jadi jumlah bersih untuk peruncit setelah ditolak GST adalah RM41.20. 
  4. Pengguna membayar sehelai t-shirt yang berharga RM40.00 dengan cukai GST 6% sebanyak RM2.40. Jumlah keseluruhan yang dibayar kepada peruncit adalah RM42.40.
  5. Kira semula GST yang dikutip dari pemborong, peruncit dan pelanggan dan berapa GST yang dihantar kepada kerajaan. RM0.60 + RM0.60 + RM1.20 = RM2.40. Keseluruhan GST yang dikutip tetap RM2.40 iaitu 6% daripada harga akhir (RM40) kepada pengguna dan bukannya cumulative menjadikan ia 18%.
Kesimpulan daripada situasi di atas, pengguna hanya membayar 6% dan bukannya berganda atau cumulative 6% sebanyak 3 kali. Harus diingatkan GST hanya dikenakan kepada harga kos+untung dan bukan hargakos+untung+GST kerana itu akan menjadikan ia cukai ke atas cukai (tax on tax) dan berganda. Dengan GST pemborong dan peruncit yang berdaftar dan dibenarkan mengutip GST boleh memohon input kredit daripada kerajaan untuk mengelakkan bayaran cukai berganda. Hal ini memerlukan pemantauan yang teliti dan rapi untuk mengelakkan peniaga mengambil kesempatan dengan mengenakan GST atas GST.

Berbeza dengan SST atau khususnya Sales Tax di mana pemborong dan peruncit kebiasaannya mengenakan cukai sales tax ke atas kos+untung+sales tax dan kemudiannya pengguna akhirnya terpaksa membayar cukai ke atas cukai tersebut. Oleh yang demikian, GST dikira sebagai lebih efektif dan telus untuk mengelakkan perkara seperti tax-on-tax ini berlaku. Situasi ini dipanggil 'cascading effect'. GST secara prinsipnya akan menghapuskan 'cascading effect' ini dengan membenarkan input tax credit oleh perniagaan yang telah membayar GST kepada pembekal mereka. 

Bukan semua perniagaan boleh mengutip GST kerana syarat-syarat yang dikenakan adalah hanya perniagaan yang mempunyai jumlah hasil tahunan melebihi RM500,000 dan perniagaan yang berdaftar secara sukarela (voluntary basis) sahaja dibenarkan mengutip GST. Walaubagaimanapun boleh kata hampir semua perniagaan akan terkesan dengan GST akibat bekalan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu barangan atau produk contohnya; penjual pisang goreng di tepi jalan sepatutnya tidak perlu mengutip GST dan secara teori pisang goreng yang dijual tidak akan naik harganya. Tetapi disebabkan pisang dikenakan GST maka harga pisang goreng MUNGKIN akan dinaikkan oleh penjual pisang goreng untuk menampung kos kenaikan membeli bahan mentah (pisang) [minyak masak, tepung, gula dikecuali daripada GST].

GST diakui lebih cekap, telus dan luas berbanding Sales Tax dan Service Tax sedia ada. Walaubagaimanapun ia tetap bergantung kepada kecekapan agensi pelaksana seperti Kastam Diraja Malaysia untuk memastikan keberkesanan, kecekapan dan ketelusan GST ini boleh berlaku. Terdapat unsur skeptik atau kurang percaya di kalangan masyarakat terhadap kerajaan dan agensi-agensinya sebelum ini dan ini menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengubah persepsi masyarakat.


PELINDUNGAN KEPADA PENGGUNA

Realitinya peniaga-peniaga cenderung menaikkan harga barangan atau perkhidmatan apabila pengumuman seperti cukai diperkenalkan, subsidi dikurangkan dan sebagainya. Malah ada peniaga yang pasti akan menaikkan harga barangan walaupun hakikatnya GST tidak ada kena mengena dengan mereka. Oleh yang demikian pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Price Control and Anti Profiteering Act) perlu diperluas untuk mengelakkan perniagaan menaikkan harga sewenang-wenangnya tanpa alasan atau justifikasi yang boleh diterima. Ini untuk mengelakkan peniaga menaikkan harga barangan dengan menggunakan GST sebagai alasan (dan bukannya meletakkan harga siling ke atas barangan). Perlindungan kepada pengguna (rakyat) dengan cara di atas penting kerana peniaga yang tamak dengan mengambil keuntungan secara berlebihan akan membebankan pengguna.


PENUTUP

Saya tahu ramai di kalangan anda menentang GST kerana ia akan membebankan mereka dari segi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Saya tidak menulis artikel ini untuk mengubah pendapat atau bantahan anda kepada GST tetapi artikel ini hanya bertujuan untuk memberi ilmu dan menerangkan GST supaya anda semua lebih faham. Rata-rata mereka yang saya tanya tidak dapat menerangkan bagaimana GST berfungsi dan apa tujuan GST dan sebagainya dan artikel ini bertujuan memberi pemahaman berkenaan GST secara ringkas sekiranya anda ditanya berkenaan GST anda boleh menjawab dan berbahas dengan fakta sebenar dan bukan emosi semata-mata. 

Kepada mereka yang menyokong GST juga tidak perlulah menutup fakta dan realiti bahawa harga barang akan naik selepas GST dikuatkuasa. Cukuplah dengan bukti saya di atas berkenaan pengecualian Sales Tax ke atas barangan sebelum ini dan kenaan GST kepada barangan tersebut selepas GST dilaksanakan. Mungkin ada barangan yang akan turun harga selepas GST dikuatkuasa tetapi PASTI ada barangan yang akan naik harga selepas GST dikuatkuasa dan ia bukan kemungkinan lagi. Jangan menutup/menyembunyikan satu kebenaran dan mengemukakan satu kebenaran untuk menyokong pendapat anda. Keluarkan fakta dan biar orang menilai sejauh mana GST ini akan membeban atau membantu mereka. Jika GST tidak akan membebankan rakyat, kerajaan tidak akan memperkenal langkah membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup seperti bantuan tunai one-off RM300 dan juga pelarasan cukai pendapatan. 

Kita semua mengetahui kerajaan yang memerintah sekarang membazir berbilion wang negara saban tahun seperti yang dibentang dalam Laporan Ketua Audit Negara. Ramai di kalangan kita termasuk saya mempersoal moral kerajaan untuk mengutip dan meluaskan lebih banyak kutipan cukai kepada rakyat secara keseluruhan. Apakah inisiatif kerajaan setelah berulang-ulang Laporan Ketua Audit Negara tiap-tiap tahun yang melaporkan kebocoran, ketirisan, pembaziran dan salahguna kuasa wang negara dalam bentuk projek, kontrak, tender dan sebagainya. Sudah tentu ramai yang tidak akan mempersoal pengenalan GST sekiranya kerajaan juga lebih berjimat cermat dan tidak membazir dalam dasar fiskal (perbelanjaan) nya. 

Walaubagaimanapun pembaharuan sistem cukai (tax reform) adalah sangat perlu. Seperti yang saya faham Pakatan Rakyat tidak membantah GST tetapi membantah waktu pelaksanaannya di mana masih ramai rakyat yang tidak membayar cukai pendapatan yang bermakna pendapatan rakyat Malaysia masih rendah atau berkembang secara perlahan dan juga bebanan cukai di Malaysia masih tidak meluas lantas menyebabkan jurang pendapatan antara golongan miskin dan kaya semakin melebar. Anda ada pendapat masing-masing, baik yang menyokong atau yang membantah sama-sama kita faham apa itu GST dan kesannya kepada negara dan juga anda sebagai pengguna. Gunakan akal dan fikiran untuk menyatakan pendapat kita dan jangan guna emosi kerana ia akan mengaburkan penilaian kita. Selamat membantah kepada mereka yang mahu membantah (demonstrasi, forum, debat) dan selamat menyokong kepada mereka yang mahu menyokong (media perdana, tweet berbayar etc) *gurau jangan ambil hati

p/s: Siapa suruh undi Barisan Nasional? Khas untuk 47% pengundi ha ha ha.

Sumber: 

Saturday, October 12, 2013

TPPA Bahagian 1: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)

oleh: Norman

Isu TPPA menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini. TPPA tampaknya sama seperti dasar-dasar kerajaan sebelum ini yang sering mendapat bantahan rakyat. Saya sudah lama berhasrat untuk menulis tentang TPPA tapi hasrat saya ini tertangguh kerana seperti yang kita sudah sedia maklum, kandungan TPPA ini dirahsiakan dari pengetahuan umum. Saya beranggapan bahawa adalah tidak wajar saya bercakap tentang sesuatu perkara yang masih belum jelas dan terbukti. Kebanyakan bantahan terhadap TPPA mengambil sumber-sumber pengisian yang tidak jelas dan boleh dipersoal. Walaubagaimanapun saya membuat kesimpulan, elok sekiranya TPPA ini dibahas dan dihurai dengan fakta dan sumber sedia ada supaya bantahan atau sokongan terhadap TPPA ini tidaklah hanya berlandaskan emosi, politik kepartian dan terikut-ikut semata-mata. 

Tulisan ini dibahagikan kepada dua bahagian yang mana pada bahagian 1 saya akan menghuraikan seringkas yang mungkin tentang perjanjian perdagangan bebas (tujuan, kesan, kelebihan dan kekurangan) yang menjadi asas kepada TPPA, perjanjian-perjanjian bebas sedia ada Malaysia dengan negara-negara lain dan ringkasan tentang apa itu TPPA. Di dalam bahagian 2 saya akan menyentuh dengan lebih mendalam tentang TPPA dengan menggunakan North American Free Trade Agreement (NAFTA) iaitu perjanjian perdagangan bebas antara USA, Mexico dan Canada sebagai kajian kerana NAFTA adalah perjanjian yang hampir sama atau paling terdekat dengan TPPA. Tulisan kedua-dua bahagian ini tidak bersifat memihak kepada mana-mana pihak kerana saya mengambil pendekatan berkecuali sehinggalah kandungan rundingan perjanjian TPPA ini didedahkan kepada umum (yang mana saya percaya mustahil untuk berlaku). Tulisan ini juga bertujuan mendidik orang kebanyakan untuk memahami apa itu perjanjian perdagangan bebas dengan lebih ringkas. 

Perdagangan Bebas - Free Trade

Perdagangan bebas adalah satu polisi di mana kerajaan tidak campurtangan terhadap dagangan eksport dan import barangan dan perkhidmatan. Perdagangan bebas bermaksud kerajaan tidak akan mengenakan tarif seperti cukai import/eksport dan tidak memberi subsidi atau mengenakan kuota eksport/import. Ia juga bermaksud penguatkuasaan atau kawalan yang minima (atau tiada) terhadap perdagangan dengan negara-negara lain. Konsep perdagangan bebas ini bersandarkan teori oleh David Ricardo berkenaan perbandingan kelebihan atau comparative advantage. Comparative Advantage adalah suatu teori ekonomi yang merujuk kepada kebolehan entiti A menghasilkan/mengeluarkan barangan atau perkhidmatan pada kos yang lebih murah berbanding entiti lain. 

Contoh: Petani di Thailand mengeluarkan beras pada kos yang lebih rendah berbanding petani di Malaysia, maka petani di Thailand mempunyai kelebihan secara relatif dan lebih efisyen berbanding petani di Malaysia. Jika pengilang gula di Malaysia mengeluarkan gula dengan kos yang lebih rendah berbanding pengilang gula Thailand, maka pengilang gula di Malaysia pula mempuyai kelebihan dan lebih efisyen berbanding pengilang gula di Thailand. Teori Comparative Advantage ini berpendapat bahawa lebih baik sekiranya Malaysia mengimport beras dari Thailand dan Thailand mengimport gula dari Malaysia kerana ia lebih menguntungkan dan murah daripada Malaysia mengeluarkan beras sendiri dan Thailand mengeluarkan gula sendiri. Perdagangan bebas hanya akan berlaku sekiranya tiada campurtangan kerajaan dari segi kenaan cukai import ataupun pemberian subsidi kepada petani beras dan pengilang gula masing-masing. Sekiranya gula dan beras tersebut dikenakan cukai atau diberi subsidi harga akhir gula dan beras dari Malaysia dan Thailand itu tidak melambangkan kos sebenar dan ia akan menjadi harga artifisial.

Perjanjian Perdagangan Bebas - Free Trade Agreement (FTA)

FTA adalah perjanjian diantara sesebuah negara dengan negara yang lain. FTA boleh berlaku diantara dua buah negara (bilateral) atau melibatkan banyak negara (multi-lateral). FTA bertujuan membuka atau meliberalisasikan perdagangan antara negara-negara terlibat dengan menumpukan kepada hal-hal berikut: 
  1. Perdagangan barangan atau perkhidmatan tanpa tariff termasuk cukai, subsidi dan kuota.
  2. Tiada penguatkuasaan undang-undang atau dasar yang memberi kelebihan hanya kepada pihak tertentu
  3. Akses kepada pasaran dan maklumat pasaran tanpa sekatan
  4. Penghapusan monopoli, duopoli atau oligopoli oleh pihak tertentu.
FTA juga menumpukan kepada perkara berkaitan hakcipta (patent), pelaburan asing, kemudahan perdagangan dan tidak terhad hanya kepada barangan dan perkhidmatan. Sebelum negara terlibat menandatangani FTA, kebiasaannya mereka akan berunding sehingga mencapai kata persetujuan tentang cadangan rangka masa menghapuskan tarif secara beperingkat, penyesuaian dasar (undang-undang tempatan) sedia ada dengan FTA yang dirunding dan sebagainya. FTA merangkumi segenap aspek sosio-ekonomi termasuk sains & teknologi, ICT, pendidikan, kerjasama kewangan, indsutri kecil dan sederhana dan lain-lain. 

Malaysia dan FTA

Selain daripada TPPA yang sedang dirunding Malaysia telahpun menandatangani FTA dengan beberapa buah negara lain. Antaranya dengan negara ASEAN, Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Chile dan Australia. Malaysia juga sudah berada didalam FTA serantau melalui ASEAN-China, Asean Korea, Asean-India. FTA yang sedang dirunding oleh kerajaan Malaysia pula adalah Malaysia-Turkey, Malaysia-European Union, Malaysia-OIC dan Malaysia-D8 dan juga TPPA yang mendapat perhatian lebih masyarakat. Sebelum TPPA, Malaysia pernah berunding dengan Amerika Syarikat di bawah Malaysia-USA FTA yang kemudiannya menemui jalan buntu akibat ketidaksetujuan semasa rundingan dan isu-isu berbangkit berkaitan dengan sokongan US terhadap serangan Israel ke atas Gaza.

Tujuan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menandatangani FTA dengan negara lain adalah untuk:
  • menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi
  • menyediakan platform kepada pengeksport supaya lebih berdaya saing
  • mewujudkan kebolehan inovatif tertentu melalui kerjasama strategik dengan negara lain
  • mencari peluang pasaran eksport baru dan memberi akses kepada barangan tempatan untuk dieksport
Dengan negara-negara diatas, tarif terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan dikurangkan secara berperingkat sehingga ia dihapuskan sama sekali pada tahun yang telah ditetapkan didalam FTA yang telah dipersetujui dalam rundingan antara Malaysia dengan negara terbabit.

Kelebihan FTA
  • Meningkatkan jumlah dagangan (eksport & import) dengan negara terbabit
  • Mengurangkan monopoli dalam sektor tertentu
  • Menjadikan peniaga dan pengeksport berdaya saing
  • Menguntungkan pengguna dengan harga barangan dan perkhidmatan yang kompetitif (murah)
  • Persaingan sihat melalui liberalisasi perdagangan barangan dan perkhidmatan
Kontrovesi FTA
  • Industri tempatan terpaksa bersaing dengan syarikat antarabangsa
  • Tiada lagi polisi perlindungan atau protectionism oleh kerajaan melalui subsidi, cukai import dan kuota
  • Kepekaan terhadap isu alam sekitar

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

TPPA atau pada asal cadangan perjanjiannya hanya melibatkan 4 buah negara iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapore. Dicadangkan pada 2005 dan mulanya dipanggil sebagai Trans-Pacific Strategic Economic Partnership Agreement (TPSEP or P4) merupakan FTA yang bertujuan mempromosi dan memperkasa dagangan dan ekonomi 4 negara tersebut. Sejak itu TPPA ini menarik minat negara Asia Pasifik lain dimana USA, Australia, Peru dan Vietnam menyertai rundingan tersebut pada tahun 2008, kemudiannya negara kita Malaysia menyertai rundingan pada 2010 , Mexico dan Canada pada 2012 dan Jepun adalah yang terbaru menyertai rundingan TPPA pada awal 2013. Terbaru Taiwan dikatakan berminat untuk menyertai rundingan 12 buah negara yang sedang berunding. Sejak 2010 sebanyak 15 siri rundingan telah berlangsung: 


Mengikut perancangan asal, rundingan TPPA dicadang untuk dimuktamad sebelum hujung tahun 2013. Walaubagaimanapun dikatakan rundingan masih lagi berjalan dan masih ada isu berbangkit oleh negara-negara terbabit termasuk Malaysia. Sedikit sebanyak berkenaan FTA dan TPPA sudah saya terangkan secara dasar. Di dalam bahagian berikutnya saya akan menyentuh dengan lebih mendalam tentang TPPA dan isu-isu berbangkit dan juga model NAFTA sebagai contoh TPPA yang sedang dirunding. Fahami apa itu Free Trade Agreement dan kemudiannya kita akan cuba memahami TPPA.

Sumber: 

1. Malaysia Free Trade Agreement: MITI
2. Malaysia-USA FTA: Wikipedia
2. TPPA : Wikipedia

Sunday, October 6, 2013

Membeli Syurga: Harga Rumah

oleh: Norman

Rumahku syurgaku adalah perumpamaan yang sering diungkapkan untuk menggambarkan betapa pentingnya rumah untuk mengekal keharmonian keluarga dan masyarakat. Adalah menjadi impian hampir semua rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sebagai tempat berteduh yang selesa dan selamat untuk keluarga masing-masing. Harga rumah kini menjadi isu nasional yang penting dan menjadi bualan ramai selain daripada kenaikan harga barang asas yang lain seperti harga minyak, makanan dan sebagainya. Kebanyakan bakal pembeli rumah merungut tentang harga rumah yang dikatakan tinggi dan melampau jikapun murah lokasi rumah tersebut dikatakan jauh dari bandar, terpencil dan tidak strategik. 

Sejarah kenaikan harga rumah setiap tahun boleh dirujuk kepada Indeks Harga Rumah Malaysia sejak 1988 hingga 2012: 


Peratusan perubahan harga rumah setahun (1-year % change)  sejak 1988 hingga 2012 menyaksikan berlakunya kenaikan harga rumah (semua jenis) tiap-tiap tahun kecuali penurunan pada tahun 1998 (turun 9.5%) dan 1999 (turun 2.4%) iaitu pada masa berlakunya krisis kewangan Asia Tenggara. Selain daripada tahun tersebut harga rumah meningkat akibat beberapa faktor yang akan saya kupas kemudian. Harga rumah secara purata meningkat mendadak pada tempoh 2010-2012 (kenaikan purata 9.1%) berbanding 2001-2009 (kenaikan purata (3.1%): 


Faktor-faktor Mempengaruhi Harga Rumah:

Ada 3 faktor utama yang mempengaruhi harga rumah di Malaysia yang mana dibawahnya terdapat sub-faktor: 

1. Makroekonomi
  • KDNK - Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat merancakkan aktiviti ekonomi dan menaikkan harga rumah
  • Inflasi - Kadar inflasi memberi kesan kepada harga bahan mentah binaan, kadar sewaan yang dikenakan meningkat, pelabur membeli rumah untuk melindungi nilai aset daripada inflasi
  • Harga Pengeluar (Producer Price Index) - Harga zink, logam, simen, kaca dan sebagainya menentukan kadar pertumbuhan harga rumah
  • Demografi/populasi penduduk - Anak-anak muda memasuki alam pekerjaan, penghijrahan (migration) penduduk luar bandar ke kawasan bandar, pembangunan pesat kawasan tumpuan meningkatkan permintaan hartanah dan rumah.
2. Sistem Kewangan
  • Kadar pinjaman asas (BLR) - BLR pada kadar selesa yang menyokong pertumbuhan harga rumah. BLR yang semakin tinggi memberi kesan negatif kepada harga rumah kerana pembeli rumah terpaksa menanggung bayaran pinjaman yang lebih tinggi
  • Pasaran saham - Bursa Saham FBM KLCI yang mengalami pertumbuhan rancak juga mempengaruhi kenaikan harga rumah.
3. Polisi Kerajaan
  • Real Property Gains Tax - cukai yang dikenakan keatas keuntungan selepas menjual hartanah pada tempoh kurang daripada (contoh 3-5 tahun) yang ditetapkan kerajaan. Pemansuhan dan pengenalan atau kenaikan RPGT mempengaruhi harga rumah
  • Nisbah pinjaman kepada nilai 70% (loan-to-value, LTV ratio) - 70% LTV ratio dikenakan kepada pembeli rumah yang mempunyai lebih daripada 2 pinjaman perumahan iaitu: pembeli rumah ketiga dan seterusnya perlu membayar bayaran muka (downpayment) sebanyak 30% daripada harga rumah dan hanya layak untuk mendapat pinjaman 70%. LTV ini juga mempengaruhi harga rumah di Malaysia.
4. Faktor-faktor lain:
  • Spekulasi hartanah - Pelabur-pelabur rumah yang mencari keuntungan cepat daripada kenaikan harga rumah mendadak dengan membeli dan menjual pada tempoh masa yang pendek.
  • Pemaju perumahan - Skim belian rumah melalui Developer Interest Bearing Scheme (DIBS) di mana pemaju perumahan akan menanggung bayaran faedah atas pinjaman perumahan sehingga rumah itu siap. Pembeli hanya perlu mengeluarkan 'downpayment' dan akan mula membayar pinjaman mereka setelah rumah itu siap. (faedah pinjaman yang ditanggung pemaju sebenarnya sudah difaktorkan ke dalam harga rumah maka harga rumah semakin tinggi)
Grafik rujukan: 

Indeks Bahan Binaan berbanding Indeks Harga Rumah
Kesan Polisi LTV 70% dan RPGT kepada Peratusan Peminjam Rumah dengan lebih daripada 2 Pinjaman

Faktor-faktor yang disenaraikan diatas memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kenaikan dan penurunan harga rumah. Langkah-langkah yang sudah pun diperkenalkan seperti RPGT dan 70% LTV tetapi penguatkuasaan yang lemah dan penetapan dasar berubah-ubah menyebabkan langkah ini kurang berkesan atau langkah-langkah tersebut hanya berkesan sementara sahaja. Langkah memperketat pinjaman perumahan oleh Bank Negara Malaysia pada Julai lepas juga kemungkinan besar akan memberi kesan kepada kenaikan harga rumah yang mana kesannya hanya boleh dinilai selepas setahun dua polisi ini dilaksanakan.




Monopoli Bahan Binaan

Antara faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada kenaikan harga rumah adalah harga bahan binaan. Di Malaysia industri logam dilindungi oleh kerajaan dengan pemberian lesen dan AP kepada pengeluar/pengimport logam kepada syarikat-syarikat tertentu. Polisi perlindungan (protectionism) ini tidak memberi keuntungan kepada pengguna kerana harga logam yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan seperti Megasteel Sdn Bhd & Amsteel Sdn Bhd (anak syarikat Lion Group) lebih tinggi berbanding harga logam yang diimport dari negara luar. Langkah kerajaan melalui Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengenakan duti import pada kadar sehingga 25% hanya memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat pengeluar logam tempatan dan menggalakkan budaya monopoli yang tidak sihat tanpa persaingan. 



RPGT

Sejarah RPGT diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1974 melalui Land Speculation Tax Act 1974 yang kemudiannya dimansuh pada tahun 1975 dan diganti dengan Real Property Gains Tax Act 1976 yang mengenakan cukai antara 0% hingga 30% keatas keuntungan jualan hartanah bergantung kepada tempoh masa pegangan hartanah tersebut. Pada tahun 2007 kerajaan mengecualikan RPGT akibat kelembapan ekonomi tempatan dan antarabangsa kesan daripada krisis kewangan USA. Kemudiannya pada tahun 2009 didalam ucapan belanjawan yang dibentangkan, kerajaan memperkenalkan semula RPGT yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2010. Kadar RPGT dan mengikut tempoh pegangan hartanah yang dikenakan tertera pada jadual berikut: 

Kadar RPGT mengikut kategori

Cadangan Mengawal Harga Rumah:
  1. Menguatkuasa dan menaikkan kadar RPGT untuk mengawal dan mengekang spekulasi pasaran hartanah. 
  2. Meningkatkan kadar loan-to-value ratio kepada pembeli rumah yang mempunyai lebih dari 1 pinjaman sedia ada seperti 70% LTV untuk rumah ketiga, 60% LTV untuk rumah keempat, 50% untuk rumah kelima dan seterusnya.
  3. Menghapuskan dasar pelindungan (protectionism policy) kepada industri pembuatan logam tempatan dengan meliberalisasikan pasaran logam supaya pemaju mendapat akses kepada harga logam mengikut harga pasaran antarabangsa dan kos membina rumah menurun.
  4. Dasar sosial melalui pembinaan rumah mampu milik oleh syarikat dan agensi milik kerajaan persekutuan dan negeri untuk memenuhi permintaan rumah pada harga sederhana dan mampu milik.
  5. Pewujudan bandar satelit seperti Rawang, Bukit Beruntung, Nilai, Serendah dan lain-lain dengan menyediakan pengangkutan awam yang efisyen untuk mereka berulang-alik ke bandar. Juga menyediakan perkhidmatan awam seperti sekolah, hospital, kawasan rekreasi dan sebagainya.
  6. Menghadkan kelayakan pembeli rumah di bawah skim DIBS kepada hanya pembeli rumah yang pertama untuk mengelakkan skim ini digunakan sebagai skim pelaburan.
Penutup

Didalam konsep pasaran bebas dan terbuka kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk membeli dan menjual rumah. Ini termasuk kepada pemaju, pelabur hartanah, spekulator dan lain-lain. Walaubagaimanapun untuk mengimbang kenaikan harga rumah mendadak, sedikit campurtangan melalui polisi kerajaan adalah perlu.  Selain daripada itu, budaya pemilikan rumah perlu dinilai semula melalui pelbagai faktor contohnya kemampuan membeli dan memilki rumah. Adalah lebih baik sekiranya kemampuan kewangan individu dipertingkatkan dahulu sebelum kita berfikir untuk memiliki rumah. Tidak ada salahnya menyewa dahulu untuk tempoh masa yang sesuai dan kemudiannya membeli rumah setelah kedudukan kewangan kita sudah selesa (mungkin setelah berkeluarga). Mudah kita menuding jari kepada pemaju dan kerajaan kerana kenaikan harga rumah dan jarang kita menyalahkan pembeli rumah termasuk pelabur dan spekulator pasaran yang juga berperanan menjadi penyebab kepada kenaikan harga rumah yang mendadak. Kita juga sering lupa impian memiliki rumah ini juga menyumbang kepada kenaikan harga rumah.

Semoga langkah-langkah mengawal kenaikan harga rumah tersebut akan diperkenalkan dan dapat memberi peluang kepada mereka yang mampu untuk memiliki 'syurga' sendiri. Rumah kita syurga kita dan sepatutnya tiada syurga yang akan membebankan penghuninya. Terima kasih kerana membaca.

Sumber rujukan: 

  1. The Malaysian Housing Price Index: Pusat Maklumat Hartanah Negara
  2. Developments in the Housing Market and Implications on Financial Stability: BNM
  3. Bank Negara Regulation on Housing Loan: The Star.
  4. Steel Sector: Mixed views on anti dumping policy , Steel Sector, South East Asia Iron and Steel Institute pg 5-7
  5. RPGT: MIA
p/s: Baca juga tulisan saya: Sejuta Rumah Mampu Milik dan tulisan Dr Dzul: Harga Rumah Naik? Belum Masa Untuk Bertindak Lagi?