Sunday, September 15, 2013

Emas

oleh: Norman



Sejarah Emas

Simbol kekayaan, kemewahan dan kemakmuran di zaman peradaban Mesir kuno berlandaskan emas. Kisah Qarun yang dikatakan memiliki gudang-gudang harta dalam bentuk emas yang terlalu banyak sehinggakan kunci kepada gudang-gudang emas ini terpaksa ditarik oleh 40 ekor unta pada sesuatu masa. Sejak zaman awal peradaban manusia emas (dan perak) digunakan sebagai medium pertukaran atau wang untuk membayar gaji, membeli dan menjual untuk memudahkan pertukaran yang sebelum itu ditukar tanpa melalui medium iaitu barang ditukar dengan barang (sistem barter). Emas juga adalah simbolik kepada kemenangan atau pencapaian seperti pingat emas yang dihadiahkan kepada pemenang dalam acara sukan, hadiah Nobel, Academy Awards (Oscar) dan sebagainya. Begitulah emas, logam kuning yang berharga yang kini masih menjadi simbol kekayaan, kemegahan, kemenangan dan kemakmuran.

Wang Fiat (Wang Kertas)

Wang kertas pada zaman dinasti awal kerajaan China
Pada awal permulaan penggunaan emas sebagai medium pertukaran atau wang, emas ditempa kepada jongkong dan siling untuk ia mudah dibawa dan dipindah. Penggunaan emas didalam sistem kewangan ini dipanggil piawaian emas (gold standard). Evolusi pemikiran manusia yang mahu segala benda dimudahkan melahirkan pula wang kertas (wang fiat) sebagai medium pertukaran dan kertas yang sah (legal tender) untuk digunakan dalam urusan transaksi seharian. Wang kertas pada suatu masa dulu ditambat nilainya kepada emas bermakna wang kertas yang dimiliki boleh ditukarkan kepada emas. Sejarah penggunaan wang kertas yang ditambat nilainya kepada emas membawa kita ke kurun ke 10 dinasti Song di China di mana penemuan penggunaan wang kertas terawal dalam sejarah peradaban manusia. Di tempat-tempat lain penggunaan wang kertas bermula seawal kurun ke-16 seperti di Eropah dan kurun ke-18 di benua Amerika. 

Sistem Bretton Woods

Mount Washington Hotel, New Hampshire mesyuarat pengenalan sistem Bretton Woods diadakan
Sekitar awal kurun ke-20 hampir keseluruhan negara di dunia sudah mempunyai matawang sendiri yang dikawal oleh kerajaan masing-masing dan matawang ini masih ditambat nilainya dengan emas. Walaubagaimanapun kos akibat perang dunia pertama yang tinggi merencat pembinaan semula ekonomi sesetengah negara malah ditekan lagi dengan simpanan emas kerajaan yang sedikit dan menjadikan nilaian matawang negara tersebut rendah berbanding negara yang mempunyai simpanan emas yang besar. Gold Standard juga dikatakan menjadi punca mengapa kegawatan ekonomi yang dinamakan The Great Depression pada tahun 1929 berlanjutan selama sedekad. Di bibit-bibit penghujung perang dunia ke-2 pada tahun 1944 negara-negara besar dunia bersetuju mewujudkan suatu sistem pertukaran wang tetap yang dinamakan sistem Bretton Woods. Sistem Bretton Woods masih menggunakan Gold Standard sebagai amalan dengan nilai US Dollar ditambat kepada emas iaitu 1 troy ounce (bersamaan ~31 gram) = US$35. Matawang negara lain pula ditambat kepada US Dollar dan secara tidak langsung ditambat juga dengan emas. Sistem pertukaran wang tetap (fixed exchange rate) seluruh dunia ini diamalkan diantara negara-negara industri besar dunia untuk mengawal ketidakseimbangan ekonomi akibat perang dunia ke-2. Dibawah sistem Bretton Woods juga diwujudkan Tabung Kewangan Antarabangsa ( International Monetary Fund, IMF ) dan International Bank for Reconstruction and Development (IBRD) yang mana kemudiannya menjadi sebahagian daripada Bank Dunia (World Bank). 

Free Float Exchange Rate


Presiden USA 1969-1974, Richard Nixon
Pada awal dekad 70-an ekonomi USA berada dalam keadaan tertekan akibat ekonomi Eropah dan Jepun yang semakin berkembang, perang Vietnam yang berlanjutan dan kadar pengangguran serta inflasi yang tinggi menyebabkan simpanan emas USA semakin berkurang. Nilai US Dollar juga menurun berbanding matawang utama seperti Deutsche Mark (matawang Germany), Pound Sterling dan Yen. Pada masa itu banyak negara lain seperti Germany, Switzerland dan Perancis sudah meninggalkan sistem Bretton Woods dan tidak lagi menambat matawang mereka kepada US Dollar. Presiden USA pada masa itu Richard Nixon atas nasihat penasihat ekonomi beliau menamatkan sistem Bretton Woods serta merta dan membatalkan tambatan US Dollar kepada emas dan sehingga kini US Dollar tidak lagi ditambat atau disandar kepada apa-apa lalu wujudlah sistem tukaran matawang apungan bebas (free float exchange rate system) seperti yang diamalkan sekarang. Kerajaan USA dibenarkan mencetak dan mengawal bekalan wang (money supply) mengikut keadaan ekonomi dan keperluan semasa tanpa perlu terikat kepada tambatan US dollar dengan emas.

Harga Emas

Selepas sistem Bretton Woods dibatalkan, harga emas juga kini diapungkan dan bebas ditentukan mengikut permintaan dan bekalan (supply and demand). Harga emas dunia kebanyakannya dinilaikan dalam US Dollar dan juga matawang utama yang lain seperti Euro, Yen, Pound Sterling dan sebagainya. Kini emas didagangkan di pasaran bebas seluruh dunia samada di pasaran pertukaran komoditi (commodities exchange), kedai-kedai barang kemas dan juga dalam bentuk jongkong, plat atau syiling emas oleh syarikat penempa emas. Pada tahun 1970 harga emas berada pada paras US$30/ounce(oz) sekarang ianya berada pada paras US$1,300 dan mencecah setinggi US$1,900/oz pada tahun 2011.  



Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Harga Emas

Selain daripada faktor supply dan demand harga emas juga dipengaruhi beberapa faktor yang lain malah harga emas juga tidak bebas daripada dispekulasi oleh pedagang-pedagang seluruh dunia. Faktor-faktor yang mempengaruhi harga emas adalah:

1. Bekalan dan permintaan:

  • Emas adalah logam yang jarang atau sukar dijumpai.
  • Permintaan emas melebihi pengeluaran emas seluruh dunia
  • Setiap tahun hanya 2,500 tan emas dikeluarkan
  • Emas tidak boleh dihapuskan dan dikitar semula bermakna emas pada zaman sekarang berkemungkinan dikitar semula dari emas pada zaman dahulu
2. Ekonomi dan geo-politik:
  • Harga emas juga dipengaruhi perkembangan ekonomi dunia apabila ekonomi dunia berkembang pesat emas akan jatuh dan sebaliknya
  • Perang atau ketidakstabilan politik menyebabkan harga emas meningkat akibat sentimen bahawa emas sebagai simpanan semasa krisis.
  • Semasa kegawatan ekonomi wang fiat dianggap tidak bernilai atau berharga (atau menurun nilainya)
3. Bekalan wang (money supply) dan inflasi:
  • Kerajaan akan mencetak wang fiat dan menambahkan bekalan wang dengan menurunkan kadar faedah semasa ekonomi gawat
  • Kadar faedah yang rendah akan meningkatkan wang dalam edaran (money in circulation) dan menyebabkan inflasi meningkat.
  • Emas dianggap sebagai pelindung kepada inflasi berbanding wang fiat.
Faktor-faktor diatas menyumbang kepada kenaikan dan penurunan harga emas. Kenaikan harga emas paling mendadak bermula dari tahun 2001 akibat polisi ultra-cheap money dengan penurunan kadar faedah (interest rate) kepada 0%-0.25% oleh Federal Reserve (bank negara US). Pada harga serendah US$200 pada tahun 2001 meningkat sehingga setinggi US$1,900 pada tahun 2011 iaitu peningkatan hampir 1000%. Krisis kewangan USA juga menjadi punca harga emas meningkat pada dekad yang lepas. 

Cara-Cara Melabur di Dalam Pelaburan Emas

Emas juga menjadi suatu medium pelaburan atau alternatif simpanan kepada kebanyakan orang. Selain pembelian dalam bentuk barang kemas, emas juga boleh dilabur dalam bentuk akaun simpanan emas, jongkong, syiling & plat emas dan sebagainya. Pelaburan emas di Malaysia kebiasaannya adalah dalam bentuk berikut dan contoh-contohnya: 

1. Pelaburan beli-jual emas fizikal: seperti Public Gold, Kijang Emas (Bank Negara) dan juga penempa emas yang lain. Pelaburan emas seperti ini hanya akan membawa keuntungan apabila pelabur membeli pada harga rendah dan menjual pada harga yang lebih tinggi. Pelabur juga boleh rugi sekiranya emas dijual lebih rendah pada harga yang dibeli. Harga emas fizikal juga mengikut pergerakan harga emas dunia.

Plat Emas Public Gold


Syiling Kijang Emas BNM

Buku Simpanan Maybank Gold Investment Account
2. Akaun Simpanan Emas: seperti Maybank Gold Investment Account,  CIMB Gold Investment Account, Public Bank Gold Investment, Kuwait Finance House Gold-i. Pelabur dibenarkan membeli emas pada berat serendah 1 gram (mengikut syarat yang ditetapkan bank) dan pihak bank akan menyimpan emas bagi pihak pelabur. Pelabur akan menyimpan buku/sijil sebagai rekod simpanan pelaburan emas. Transaksi boleh dijalankan pada waktu urusan bank dijalan seperti biasa dan pelabur boleh menambah (membeli) atau menjual pada bila-bila masa. Pelaburan didalam akaun simpanan emas juga hanya akan memberi keuntungan apabila kaedah buy low sell high atau beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi digunakan. Seperti pelaburan fizikal, pelaburan ini juga merugikan sekiranya emas dijual pada harga lebih rendah daripada harga dibeli. Harga emas akaun simpanan emas ini ditentukan oleh bank setelah mengambilkira kos simpanan dan juga dipengaruhi harga emas dunia yang berubah setiap hari.

3. Barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin: Pelaburan barang kemas adalah pelaburan paling popular dikalangan masyarakat. Selain digunakan sebagai medium pelaburan barang kemas juga dipakai, diguna sebagai hantaran dan tanda ikatan pertunangan & pernikahan dan sebagainya. Harga emas dalam barang kemas ditetapkan kedai-kedai yang menjual emas seperti Habib Jewel, Poh Kong dan kedai-kedai emas lain mengikut harga kos menempa emas kepada barang kemas, harga berlian dan kos lain-lain. Harga barang kemas juga tidak terlalu dipengaruhi harga emas dunia kerana kedai-kedai emas jarang menurunkan harga emas kepada terlalu rendah kerana kos dan margin keuntungan yang terpaksa dikekalkan.

Selain daripada pelaburan emas yang menjadi trend dan kebiasaan diatas terdapat juga cara melabur emas yang lain untuk pelabur professional seperti pelaburan didalam syarikat pengeluar emas di bursa saham dan juga perdagangan emas di commodities exchange. Pelabur-pelabur emas biasa tidak digalakkan melabur emas seperti cara tersebut kerana ia melibatkan risiko yang tinggi dan modal yang besar. Pelaburan tersebut juga bergantung sepenuhnya kepada harga emas global yang berubah setiap saat.

Skim Pelaburan Emas

Akibat kenaikan harga emas mendadak pada awal tahun 2001 semakin banyak juga skim pelaburan yang tidak sah dijalankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kebanyakan skim pelaburan emas ini adalah skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan luar biasa dan tidak masuk akal seperti dividen bulanan 20-30%. Masyarakat perlu berhati-hati dan mengelak daripada terlibat dalam pelaburan di dalam skim seperti ini. Pelaburan emas hanya akan mendatangkan keuntungan sekiranya emas itu dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga yang dibeli dan tiada cara lain untuk mendapat keuntungan. Emas tidak akan memberi dividen bulanan atau tahunan seperti yang dijanjikan skim-skim pelaburan emas. Bank Negara pernah menerbitkan panduan pelaburan emas: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=109&pg=824&ac=46&bb=file. Bank Negara juga menyenaraikan senarai syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan yang tidak sah: http://www.bnm.gov.my/documents/2013/220713_FCA_bm.pdf.

Penutup

Pelabur yang baru ingin berjinak didalam pelaburan emas perlu mengambilkira pelbagai faktor sebelum melabur. Tanggapan bahawa harga emas tidak akan jatuh dan akan sentiasa naik adalah tidak benar sama sekali. Harga emas juga boleh jatuh pada bila-bila masa sama seperti pelaburan lain. Malah sejak mencecah setinggi US$1,900/oz pada tahun 2011 harga emas semakin menurun dan sekarang berada pada paras US$1,300/oz. Keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih sudah pasti akan menekan harga emas pada masa yang akan datang. Naik dan turun dalam harga emas sama seperti naik turunnya harga saham di dagangan bursa saham. Emas adalah salah satu pelaburan alternatif yang baik untuk portfolio pelaburan anda tetapi risiko itu tetap ada dan pelaburan harus dipelbagaikan untuk mengurangkan risiko di samping mendapat keuntungan optimum.

Sumber: 

No comments:

Post a Comment