Sunday, August 11, 2013

Fitch Rating dan Penarafan Negatif kepada Unjuran Kredit Malaysia?

oleh: Norman

Baru-baru ini berita melaporkan sebuah agensi penarafan iaitu Fitch Rating menurunkan taraf unjuran kredit Malaysia kepada negatif. Berita penurunan unjuran kredit ini memberi kesan besar terhadap pasaran saham dan bon di dalam negara. Sebelum kita pergi lebih lanjut kepada kesan-kesan penurunan unjuran kredit oleh Fitch Rating elok juga saya terangkan apa itu unjuran kredit dan juga agensi penarafan.

PENARAFAN KREDIT (CREDIT RATING) & AGENSI PENARAFAN (RATING AGENCY)

Penarafan kredit atau credit rating adalah penilaian ke atas kemampuan penghutang membayar semula hutang tersebut. Credit rating dijalankan ke atas negara dan juga syarikat yang menerbitkan sekuriti hutang seperti bon dan sukuk (hutang) untuk membiayai perbelanjaan operasi sesebuah negara atau syarikat tersebut. Credit rating ini dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit atau Credit Rating Agency seperti Standard & Poor's, Moody's, Fitch Ratings dan banyak lagi credit rating agencies yang lain. 

Credit rating diberi kepada hutang sesebuah negara adalah dengan memberi markah contohnya dengan markah AAA, AA+, BBB+, B- dan seterusnya. Semakin rendah credit rating yang diberi bermakna semakin berisiko tinggi untuk pelabur melabur (membeli bon) di negara tersebut. Credit rating yang rendah bermakna kerajaan tersebut berisiko tinggi untuk default atau tidak membayar hutang (bon) yang diterbitkan. Selain daripada itu credit rating agency juga meramal atau memberi pandangan mereka tentang keadaan risiko hutang sesebuah negara samada positif, negatif atau stabil. Credit rating agency menetapkan credit rating sesebuah negara dengan mengambil kira keadaan politik negara samada stabil atau tidak. keadaaan fiskal kewangan negara termasuk bajet defisit, hutang negara dan sebagainya dan juga kajian tentang keadaan ekonomi, dagangan (eksport-import) dan lain-lain.

FITCH RATING MELIHAT UNJURAN KREDIT MALAYSIA LEMAH

Pada Julai lepas Fitch Ratings telah melaporkan bahawa unjuran kredit (credit rating) Malaysia dilihat sebagai lemah. Fitch Rating menurunkan ramalan (outlook) credt rating Malaysia daripada stabil kepada negatif. Fitch berpendapat pengurusan kewangan Malaysia adalah lemah selepas PRU13 pada bulan Mei yang lalu. Pengurusan kewangan awam yang lemah termasuk defisit perbelanjaan negara yang melebar kepada 4.7% pada 2012 daripada 3.8% pada 2011, hutang awam (public debt) yang mencecah 53.3% kepada KDNK (GDP) pada 2012 meningkat berbanding 51.6% pada 2011 dan juga kemungkinan kegagalan kerajaan menepati sasaran pengurangan defisit kepada 3% pada tahun 2015. Fitch menganggap kewangan awam Malaysia terdedah kepada sebarang kejutan ekonomi seperti kemelesetan dan kelembapan ekonomi domestik dan global. 


Nisbah Hutang Awam Kepada KDNK: Laporan Ketua Audit Negara
Nisbah Defisit Perbelanjaan Kepada KDNK: MOF


Selain daripada itu Fitch juga melihat jaminan hutang luar jangka (contingent liabilities) yang semakin meningkat oleh Kerajaan Malaysia kepada hutang-hutang syarikat dan agensi berkaitan kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan sebagainya adalah tidak mampan. Kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak oleh Petronas juga membuatkan Fitch memberi unjuran negatif kepada Malaysia. Termasuk juga janji-janji pilihanraya oleh Barisan Nasional yang akan menambah beban kewangan negara tidak dicampur dengan subsidi yang tinggi menyempitkan lagi ruang untuk mengurangkan defisit perbelanjaan dan hutang negara.


Hutang Agensi dan Syarikat Kerajaan yang Dijamin: Laporan Ketua Audit Negara


Kebelakangan ini Malaysia juga menyaksikan penurunan imbangan dagangan (trade balance) disebabkan penurunan nilai eksport dan kenaikan import. Keadaan ini menekan kedudukan akaun semasa (current account) negara dan berisiko menjadikan akaun semasa ini defisit dan akan menurunkan nilai Ringgit Malaysia berbanding matawang asing. Kelembapan ekonomi global menekan nilai dagangan yang semakin menyusut lalu merencat pertumbuhan ekonomi negara dari segi KDNK (GDP).


Kedudukan Akaun Semasa Negara: Jab Statistik

Kedudukan Imbangan Dagangan Malaysia: Jab Statistik


BAHAYA RISIKO UNJURAN TARAF KREDIT DITURUNKAN

Fitch Ratings yang menilai unjuran kredit daripada stabil kepada lemah membuka ruang kepada penurunan unjuran kredit hutang jangka pendek dan panjang kepada unjuran bawah daripada A- (unjuran sekarang). Apabila sesebuah credit rating agency menurunkan credit rating terhadap sesebuah negara ia akan memberi kesan terhadap nilai matawang ringgit Malaysia, pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon. Kesan 'downgrade' ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit didalam pasaran. Bursa Saham akan jatuh mendadak, ringgit Malaysia jatuh berbanding matawang asing dan kos membayar faedah (interest) keatas bon meningkat kerana penyusutan nilai bon. Kesan-kesan awal sudah mula dirasai semenjak Fitch melihat unjuran kredit Malaysia sebagai negatif Julai lalu. 

Apabila bon (hutang) kerajaan Malaysia mengalami penyusutan akibat daripada penjualan bon di pasaran, kadar faedah yang perlu dibayar akan meningkat. Ini akan menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntuk lebih banyak wang untuk membayar faedah dan kurang wang untuk perbelanjaan pembangunan & sosial yang penting untuk rakyat Malaysia. Ringgit Malaysia yang semakin menurun akan semakin menekan kewangan negara akibat kuasa membeli ringgit yang berkurang. Setakat tahun ini, Ringgit Malaysia telah susut sebanyak 6% berbanding US Dollar dan susut kepada paras terendah sejak 3 tahun yang lepas kepada Singapore Dollar.

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN TERHADAP PENGURUSAN FISKAL

Apa yang merisaukan kita adalah Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan seolah-olah mengabaikan apa yang dinilai oleh Fitch Ratings. Retorik dan janji mereformasi pengurusan fiskal dan kewangan negara tidak memberi keyakinan dan jaminan ianya akan berlaku. Ditambah dengan janji menaikkan BR1M, pembaziran dengan projek-projek mega yang lewat siap dan segala macam salahlaku urustadbir kewangan menghakis lagi keyakinan pelabur dan paling penting rakyat terhadap keadaan ekonomi negara. Setakat ini belum ada langkah-langkah yang diambil kerajaan yang tampak meyakinkan.


Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan
Kita sebagai rakyat biasa tidak patut mengabaikan atau tidak mengendahkan hal penurunan unjuran kredit Malaysia kerana pada suatu masa ekonomi Malaysia meleset atau merudum ia lambat laun tetap akan kembali menggigit rakyat biasa seperti kita semua. Ambil tahulah apa yang berlaku di sekeliling kita, apa prestasi pengurusan kewangan oleh kerajaan dan kesan-kesan yang akan mempengaruhi makroekonomi (GDP, eksport import etc) dan juga mikroekonomi (pinjaman rumah, harga bahan asas etc).  

Sumber: 




No comments:

Post a Comment