Thursday, August 29, 2013

Capital Gains Tax (CGT)

oleh: Norman

Artikel ini adalah kesinambungan daripada artikel yang saya tulis Mei lalu berkenaan Goods and Services Tax (GST). Seperti yang dijangka pasca pilihanraya umum, kerajaan akan mengumum beberapa langkah untuk mengurangkan defisit perbelanjaan dan hutang kerajaan. Langkah utama kerajaan yang seringkali dibangkitkan adalah pelaksanaan GST dan rasionalisasi (pemotongan) subsidi. GST seperti yang diterangkan di dalam artikel saya sebelum ini adalah langkah pembaharuan cukai (tax reform) yang akan menutup lompang (loopholes) Sales and Service Tax sebelum ini. 

GST DIBENTANG DALAM BELANJAWAN 2014?

Terbaru GST dikatakan akan dicadang oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2014 pada Oktober yang akan datang. Sebentar tadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata "GST a must not an option" dan kenyataan ini menguatkan lagi ramalan bahawa GST akan dibentang pada Oktober ini dan akan dilaksana seawal tahun hadapan. Didalam artikel GST yang lalu saya secara peribadi tidak menentang pelaksanaan GST dan sehingga hari ini saya masih kekal menyokong pelaksanaan GST kerana bil-bil kerajaan untuk BR1M, BB1M, subsidi minyak dan sebagainya bukanlah percuma dan akhirnya perlu ditanggung dan dibayar juga oleh kita semua.

Kerajaan seperti yang kita sedia maklum cenderung untuk menambah hasil daripada memotong perbelanjaan. Perbelanjaan mengurus (operating expenditure) yang menelan belanja  ratusan billion ringgit tidak mungkin akan dikurangkan kerajaan kerana ia melibatkan perbelanjaan gaji kakitangan awam, belian dan selengaraan aset, bayaran faedah hutang kerajaan dan sebagainya. Itu tidak lagi termasuk berbillion wang negara yang tiris dan bocor akibat rasuah, terlebih belanja dan belian aset berkali-kali ganda harga dari harga pasaran. Jalan mudah yang diambil untuk mengurangkan defisit dan menambah wang kepada perbendaharaan negara adalah dengan menambah hasil iaitu mengenakan cukai samada dengan menggantikan cukai lama seperti SST ditukar kepada GST atau memperkenalkan bentuk cukai yang baru. 

PERBELANJAAN MENGURUS KERAJAAN YANG TINGGI SETIAP TAHUN

GST adalah cukai tak langsung yang akan menggantikan sistem cukai sedia ada SST. GST akan menambahbaik dan menampal segala lompang (loopholes) didalam SST. GST juga akan lebih menyeluruh kerana ia melibatkan kutipan cukai dari setiap rantaian bekalan barang dan  perkhidmatan. GST sepertimana SST akan dibayar oleh semua orang yang membeli barang dan perkhidmatan dan tiada seorang pun akan dikecualikan daripada dikenakan GST. Walaubagaimanapun kerajaan mungkin akan memberi pengecualian terhadap beberapa jenis barangan dan perkhidmatan seperti makanan asas, pengangkutan awam dan perkhidmatan kesihatan. Setiap golongan miskin atau kaya akan membayar GST pada kadar yang sama yang akan ditetapkan kerajaan kemudian.

TAX REFORM

Penambahbaikan sistem cukai adalah satu kemestian selain untuk menambah wang kepada kantung kerajaan ia juga untuk mengelakkan segelintir golongan melarikan diri daripada dikenakan cukai (tax evasion). Dalam keadaan defisit semakin melebar dan hutang awam semakin meningkat kerajaan seolah-olah pantas menghukum golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan memperkenalkan GST yang berkadar rata. Realitinya kita tahu golongan kaya dan berpendapatan tinggi tidak akan terkesan dengan pelaksanaan GST manakala golongan berpendapatan rendah pula menerima bantuan kewangan seperti BR1M untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup. Yang akan tersepit dan semakin sempit poketnya adalah golongan berpendapatan sederhana yang kita tahu satu kumpulan besar didalam susun lapis kategori pendapatan rakyat Malaysia. 

APA ITU CAPITAL GAINS TAXES (CGT)? 

Saya mencadangkan disamping kerajaan ingin melaksanakan GST atas dasar 'tax reform', kerajaan juga harus memperkenal Capital Gains Taxes (CGT). Capital Gains Taxes adalah satu bentuk cukai yang termasuk dibawah kategori cukai langsung (direct tax).  Cukai pendapatan (income tax) ke atas gaji bulanan kita, cukai korporat dan cukai dividen juga termasuk di bawah kategori direct tax. CGT bermaksud cukai yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya. Buat masa sekarang kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Real Property Gain Tax (RPGT). 

MENGAPA CGT PATUT DILAKSANAKAN? 

CGT juga patut dikenakan ke atas keuntungan transaksi jualan saham. Keuntungan daripada dagangan di Bursa Malaysia yang melibatkan billion ringgit tidak dikenakan cukai atas sebab kerisauan kerajaan pelabur akan lari dan tidak ingin melabur di Malaysia. Tahukan anda transaksi melibatkan penyenaraian syarikat di Bursa Saham contohnya Astro tidak dikenakan cukai? Hartawan Ananda Krishnan yang mendapat keuntungan billion ringgit atas penjualan saham Astro kepada umum (IPO) tidak dikenakan cukai sesen pun kerana CGT tidak dilaksanakan. Penggabungan Sapura Crest dan Kencana Petroleum juga menguntungkan individu tertentu malah tidak dikenakan cukai ke atas keuntungan mereka disebalik penggabungan dua entiti minyak dan gas tersebut. Berapakah jumlah cukai yang berpotensi dikutip oleh kerajaan sekiranya CGT dilaksanakan? 




Jurang pendapatan dan golongan kaya dan miskin semakin melebar dan bebanan cukai juga tidak seimbang apabila semua rakyat dikenakan GST tetapi jutawan dan syarikat korporat bebas tidak dikenakan cukai ke atas keuntungan transaksi saham. Dengan CGT ketidakseimbangan bebanan cukai akan diseimbangkan dan isu jurang pendapatan juga boleh dirapatkan. CGT tidak berniat menghukum golongan kaya sebaliknya ia untuk memberi pembaharuan dan menjadikan bebanan cukai itu lebih adil dan saksama.

KESAN CGT

CGT tidak akan langsung memberi kesan kepada majoriti individu dan perniagaan di Malaysia seperti industri kecil dan sederhana (IKS). CGT akan mengelakkan pelaburan jangka pendek dan menggalakkan pelaburan jangka panjang dan mengurangkan dagangan spekulasi oleh pedagang di Bursa Saham. CGT sudah pasti akan menambah hasil kutipan kerajaan sama seperti tujuan GST.

KESIMPULAN

Selain daripada GST kerajaan seharusnya mempertimbangkan pelaksanaan CGT. CGT berpotensi menyentuh isu jurang pendapatan, menambah hasil kerajaan dan menyeimbangkan bebanan cukai rakyat Malaysia. Billionair mendapat keuntungan puluh billion ringgit tidak dikenakan cukai tetapi golongan pertengahan tiap-tiap bulan dikenakan cukai pendapatan ke atas gaji mereka. Sudah tiba masa kerajaan bersikap lebih adil dan bertanggungjawab selain perlu mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan dan menghapuskan rasuah. Golongan kaya harus menyumbang dan bukan dilindungi oleh kerajaan kerana jika rakyat berpendapatan sederhana boleh membayar cukai, mengapa mereka tidak?

p/s: Artikel oleh pakar ekonomi Norhisham Hussein berkenaan CGT: http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/marc14/Article/#ixzz2c9EKQsxo






1 comment: