Monday, May 6, 2013

Orang Cina & Politik, Mangsa atau Pemangsa?

Isu ini ditulis untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia setelah melihat isu perkauman dengan serangan ke atas kaum cina dibincangkan dengan hangat di media sosial.

Pada PRU 1999, pada era reformasi, BN hampir tumbang, Najib Razak sendiri bergantung pada talian hayat dengan undi pos yang datang pada saat-saat akhir dan menyelamatkan karier politik beliau. Akan tetapi, BN yang nazak pada ketika itu diselamatkan oleh parti komponen BN, MCA yang sudah pasti parti 100% orang cina. Orang melayu ketika itu, dicetuskan dengan isu pemecatan Anwar Ibrahim dan ditambah dengan kegawatan ekonomi, sudah mula sedar dan amat marah dengan rasuah dan penindasan pemerintah menolak BN dan negeri yang majoritinya melayu seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah banyak kerusi Parlimen hilang ke tangan PAS terutamanya pada ketika itu.

Akan tetapi, pada masa ini, orang cina masih bodoh dan buta politik. Mereka belum menerima pencerahan kerana mereka ditakut dan dimomokkan oleh kerajaan BN ketika itu yang diketuai Mahathir dengan kisah tragedi 13 Mei, mitos pembangkang akan hancurkan ekonomi, huru-hara dan banyak lagi.

Menyedari kekalahan teruk BN akibat undi tidak percaya orang melayu, persempadanan semula (gerrymandering) diadakan, selain kawasan urban dijadikan terlalu besar jumlah pengundinya dan jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar, nisbahnya adalah amat tidak adil, 1 kawasan parlimen bandar bersamaan dengan 3 atau 4 kawasan parlimen luar bandar.  Juga di sebalik ini, kawasan melayu pembangkang dimasukkan ke kawasan di mana ada banyak pengundi cina dengan harapan dan anggapan mereka ini akan terus kekal menyokong MCA. Kawasan parlimen di Sabah & Sarawak juga ditambah. BN menang dengan amat selesa pada PRU 2004 (juga faktor perpecahan BA dan imej baik Pak Lah). Dengan kemenangan besar ini, BN juga menjadi terlalu selesa. Complacent.



Ledakan teknologi maklumat pada zaman seterusnya membawa kepada pencerahan minda. Isu politik, ekonomi mula diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Begitu juga dengan kaum cina yang mula celik dan bijak politik, sedar akan hak mereka sebagai rakyat Malaysia, mula menolak parti yang mengamalkan rasuah dan penindasan, natijahnya pada 2008, PRU pada masa itu memeranjatkan BN dan juga Pakatan Pembangkang pada masa itu dalam apa yang dipanggil 'tsunami politik'. Kerusi-kerusi hasil persempadanan semula dimenangi oleh parti lawan BN. Rakyat mula bangkit. Majoriti mudah ditidakkan. Beberapa negeri tumbang ke tangan pembangkang. BN mula goyang, tetapi mereka masih di takuk lama dalam pemikiran.  Orang besar BN dan juga Mahathir menyalahkan kebencian rakyat kepada Pak Lah yang dianggap tidak kompeten. Mereka tidak menerima hakikat bahawa rakyat mula cerdik dan bangkit.

Auntie Bersih  turun menyertai Bersih 2.0


Tidak dapat berdepan dengan realiti ini, NGO mesra BN seperti PERKASA menyerang dan menjadikan DAP, parti yang menang banyak kerusi pada 2008 dan berjaya mentadbir  Pulau Pinang sebagai sasaran dengan berbagai tohmahan (yang kadangkala lucu dan dangkal) seperti agenda Kristianisasi, agenda melucutkan hak orang melayu, raja-raja dan banyak lagi. Kemuncaknya, sebelum PRU 13, video kononnya mereka ini didukungi Gereja Israel dikeluarkan dan disebarkan ke media sosial bagi menakutkan pengundi melayu. 

Pada PRU13, orang cina menolak sepenuhnya politik kotor, parti rasuah dan mendukungi hasrat Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya. Mereka mengundi apa saja parti dalam komponen PR tak kira DAP, PAS ataupun PKR. Tiada lagi jurang kaum. Ini dapat dilihat dengan bukan saja calon DAP menang besar di sana-sini, akan tetapi, calon melayu dari PKR dan PAS dan DAP sendiri dilihat menewaskan calon MCA yang sudah pasti diwakili orang cina. Pada masa ini, yang buat persempadanan semula pasti akan terdetik 'senjata sudah makan tuan'. Dari mangsa, mereka sudah menjadi pemangsa kepada 'tuan' nya. 

Hasrat Pakatan Rakyat ke Putrajaya terbantut. Mereka tewas, walaupun berjaya menaikkan lagi jumlah kerusi di Parlimen dan DUN. Undi popular juga meningkat dan mereka menewaskan BN dengan 350 ribu undi. Akan tetapi, kali ini yang menyelamatkan mereka adalah gerrymandering dan deposit tetap mereka iaitu Sabah dan Sarawak. 

Najib Razak serta-merta dalam ucaptama kemenangan Barisan Nasional terus menyalahkan orang cina sebagai perkauman kerana menyokong calon cina DAP dan menggelarkan ini 'tsunami cina'. Ini kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dipertikai dengan mudah jika dilihat pada kemenangan Rafizi Ramli dari PKR yang menewaskan calon MCA dan banyak lagi calon-calon lain. Hasil dari kenyataan pemimpin negara dan parti yang tidak bertanggungjawab ini (ironinya, juga seorang yang mempromosikan retorik 1Malaysia), dapat dilihat segelintir penyokong BN yang tidak rasional dan waras dari golongan melayu mula mencemuh kaum cina hanya kerana mereka ini bersatu hati menolak BN dan menyokong PR yang memperjuangkan penentangan terhadap rasuah dan penyelewengan. Melayu jenis ini dibodohkan dengan fikiran bahawa orang cina menentang orang melayu bila menolak BN. Lucu. Juga bodoh.

Melayu yang sokong PR terutamanya dari PAS pula, diapikan dan diajak oleh penyokong BN agar bersatu dengan mereka, demi melayu (dan islam kononnya).

Itu bukan perkara pokok. Melayu memang perlu dan sepatutnya bersatu, bersatu untuk menentang rasuah, kezaliman, penindasan, pembodohan. Tapi perkara ini langsung tidak pernah disebut penyokong BN. Kenapa hanya sebut perjuangan dan nasib islam dan melayu? Bukankah rasuah itu kebatilan? Cukup islamkah seseorang itu bila membiarkan sahaja gejala kotor ini berlaku? Sibuk perjuangkan bangsa melayu, dalam kubur nanti adakah malaikat akan tanya bangsa kamu?

Ingatlah, cina ada yang baik, ada yang jahat. Melayu ada yang baik, ada yang jahat. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Yang kita tentang adalah rasuah, penyelewengan. Bukan jenis bangsa seseorang. Besar mana darjat kamu, lahir dari bangsa apa pun, semua adalah makhluk Tuhan yang hanya menumpang di dunia yang sementara.


Nukilan : Mohd Najib Abd Rahman (@oskortos)

1 comment: