Friday, May 3, 2013

Finale: Membiayai Manifesto Rakyat

Didalam artikel sebelum ini saya menunjukkan beberapa janji utama didalam Manifesto Rakyat dan jumlah perbelanjaan yang akan ditanggung untuk melaksanakan janji-janji tersebut. Walaubagaimanapun ada diantara mereka yang agak skeptik dan risau tentang bagaimana kerajaan akan menanggung sejumlah wang yang agak besar untuk membiayai janji-janji di dalam Manifesto Rakyat. Secara rumusannya saudara Rafizi Ramli telah menerangkan dengan jelas bagaimana Pakatan Rakyat akan membiayai program ekonomi dan janji mengurangkan beban rakyat ini: 

Seperti biasa saya akan cuba menerangkan kepada kawan-kawan dengan angka dan data daripada perbendaharaan negara tentang bagaimana sebenarnya untuk membiayai program ekonomi dan janji didalam Manifesto Rakyat ini. Adakah perbelanjaan kerajaan akan meningkat mendadak lalu defisit fiskal(kewangan) negara akan meningkat secara mengejut seperti dakwaan bekas Menteri Kewangan Ke-II Ahmad Husni? Adakah Petronas selaku penyumbang kewangan terbesar kerajaan akan dipaksa menanggung bebanan program dan janji Pakatan Rakyat?

Permulaannya mari kita lihat apakah komponen atau janji utama didalam Manifesto Rakyat dan juga jumlah perbelanjaan yang akan ditanggung sekiranya janji ini dilaksanakan:
      1. Menghapuskan tol secara berperingkat: RM6bil
      2. Menurunkan harga kereta (hapus duti eksais): RM2bil
      3. Pendidikan percuma & hapuskan PTPTN: RM6bil
      4. Perumahan Rakyat: RM5bil
      5. Elaun RM500 sebulan untuk guru: RM2.4bil
      6. Caruman suri rumah: RM3bil
      7. Bonus warga emas: RM3bil
      8. Lain-lain program ekonomi (termasuk turunkan harga minyak): RM18.35bil
Jumlah keseluruhan janji dan program ekonomi di dalam Manifesto Rakyat adalah RM45.75bil. Jumlah ini adalah tidak lebih 20% daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan persekutuan sebanyak RM250bil. 

Pakatan Rakyat jika diberi mandat untuk mentadbir negara berjanji akan menampal segala kebocoran dan ketirisan kewangan negara, mengekang rasuah dan penyelewengan serta mengurus kewangan negara dengan lebih berkesan. Untuk menjalankan perkara-perkara tersebut ianya mungkin akan mengambil sedikit masa sepanjang tempoh penggal pentadbiran Pakatan Rakyat nanti. Walaubagaimanapun ia bukanlah suatu yang mustahil untuk mencari sumber pembiayaan janji dan program ekonomi Manifesto Rakyat. Ia tidak akan melibatkan penambahan sumbangan oleh Petronas kepada kerajaan dan ia juga tidak akan melibatkan penambahan cukai kepada rakyat apatah lagi ia tidak akan dibiayai dengan menerbitkan hutang baru melalui perbendaharaan negara. 

BN menuduh janji Pakatan Rakyat didalam Manifesto Rakyat adalah tidak realistik dan membebankan. Tuduhan negara akan bankrap jika Manifesto Rakyat dilaksanakan umpama menuding jari didepan cermin apabila BN semasa mentadbir tiap-tiap tahun berbelanja melebihi daripada peruntukan yang ditetapkan. Laporan audit setiap tahun melaporkan kerajaan persekutuan berbelanja lebih daripada jumlah yamg diperuntukkan lalu memaksa Menteri Kewangan (merangkap PM) memohon belanjawan tambahan di parlimen: 

RM20bil jumlah terlebih belanja pada 2011.
RM20bil yang terlebih belanja ini hampir separuh jumlah belanja melaksanakan janji dan program didalam Manifesto Rakyat. Mengapa BN menuduh negara akan bankrap sedangkan BN sendiri berbelanja secara tidak cermat dan sewenang-wenangnya? Ke mana RM20bil ini pergi? Di dalam Twitter saya ada menyenaraikan pembaziran kerajaan persekutuan dan negeri di bawah BN. Anda boleh merujuk kompilasi tweet saya di Audit MelakaAudit JohorAudit Sabah dan Audit Sarawak. Lihat dan nilai berapa billion wang negara bocor, tiris dan dibazirkan oleh BN. Setakat 4 negeri BN yang dinilai melalui laporan audit, berbillion hilang dan tidak hairanlah mengapa kerajaan sering berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan. 



Seterusnya dibawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak, peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri meningkat saban tahun. Untuk tahun 2013 sebanyak RM14.6bil diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri sahaja. Seperti yang kita sudah maklum pelbagai jenis agensi, majlis, suruhanjaya dan jabatan terletak dibawah JPM seperti JAKIM, MAMPU, Pemandu, Permata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan sebagainya. Ini menjadikan JPM salah sebuah kementerian yang paling 'bloated' atau terlebih besar. Program seperti GTP, ETP, NKRA, NKEA yang dijalankan oleh agensi Pemandu dan MAMPU menelan belanja yang banyak dan tidak sepatutnya: 





Di atas adalah contoh pelbagai jenis perbelanjaan dibawah JPM termasuk Felda(kenapa JPM?), PR1MA, PERMATA (Rosmah) malah perbelanjaan menyelenggara KLIA juga dimasukkan dibawah peruntukan JPM. Pakatan Rakyat boleh menghentikan aktiviti dan peruntukan kepada agensi yang tidak perlu lalu menyalurkan kepada janji dan program didalam Manifesto Rakyat. Perbelanjaan dibawah JPM seperti Pemandu tidak memberi kesan langsung kepada rakyat malah kerajaan terpaksa menanggung bayaran kepada perunding (consultant) yang memberi idea kepada makmal yang ditubuhkan Pemandu.

Rafizi Ramli menyatakan kaedah membiayai janji dan program Manifesto Rakyat melalui: 
      1. Penjimatan perbelanjaan kerajaan
      2. Menyusun keutamaan perbelanjaan
      3. Menambah pendapatan kerajaan
1. Penjimatan terhadap projek-projek yang membazir seperti yang saya tunjukkan melalui laporan ketua audit negara akan menjimatkan sebanyak 10% daripada perbelanjaan kerajaan yang berjumlah RM250bil. Maka dengan itu sebanyak RM25bil tersedia untuk menampung perbelanjaan janji dan program Manifesto Rakyat. 

2. Penyusunan semula keutamaan perbelanjaan seperti menghentikan perbelanjaan di bawah JPM yang tidak perlu yang akan menjimatkan lebih kurang RM5bil. Pakatan Rakyat juga akan memastikan tiada perbelanjaan yang akan melebihi jumlah yang telah diperuntukkan dan ini akan menjimatkan sebanyak RM20bil serta merta seperti jumlah wang terlebih belanja oleh BN pada tahun 2011. 

3. Perkara ketiga dan yang perlu kita tekankan adalah menambah pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai yang lebih tinggi TETAPI bukan dengan menaikkan kadar cukai pendapatan atau mengenakan GST kepada rakyat. Kutipan cukai akan bertambah apabila ekonomi negara berkembang pada kadar optimum dengan segala potensinya digunakan. Pakatan Rakyat mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 7% setiap tahun lalu ia akan menambahkan pendapatan rakyat dan lebih ramai rakyat yang boleh membayar cukai dan  syarikat akan menjana lebih keuntungan lalu hasil kerajaan akan meningkat. Dibawah BN kutipan hasil cukai meningkat seperti gambar rajah dibawah yang diambil dari laporan hasil negara: 

Cukai pendapatan individu dan syarikat berkembang pada kadar 9% dan 7% masing-masing. Jika ekonomi negara berkembang mengikut potensi sebenar lebih banyak cukai pendapatan yang boleh dikutip dan Pakatan Rakyat menjangka sebanyak RM4bil tambahan akan dikutip lalu menambah kantung perbendaharaan negara. Lihat juga angka cukai petroleum yang dibayar Petronas yang menurun, ini menandakan bahawa kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan terhadap Petronas secara berperingkat. 

Jumlah keseluruhan yang dijimat/dijana melalui langkah-langkah Pakatan Rakyat diatas adalah sebanyak RM54bil berbanding kos janji dan program Manifesto Rakyat sebanyak RM45.75bil. Berdasarkan angka dan data yang saya tunjukkan di atas adakah anda yakin Pakatan Rakyat akan mampu melaksanakan janji-janji mereka? Masih percayakah anda bahawa negara akan bankrap sekiranya Manifesto Rakyat dilaksanakan?

Untuk penerangan lebih lanjut dan perbandingan dengan angka dan data kerajaan persekutuan anda boleh merujuk artikel saya sebelum ini:
Sudah kita maklum BN dengan tidak malunya meniru beberapa janji Manifesto Rakyat malah dengan bangganya menyatakan ini idea asal mereka sendiri. Dengan itu terbukti negara tidak akan bankrap sekiranya janji-janji Manifesto Rakyat dilaksanakan. Mari kita menilai keikhlasan dan kejujuran kedua-dua pihak serta siapakah yang menjanjikan pengurangan bebanan rakyat bersama-sama pertumbuhan ekonomi pesat ataupun yang menjanjikan janji-janji projek mega yang membazir dan tidak memberi kesan langsung kepada rakyat.

Kepada kawan-kawan yang membaca siri tulisan saya sebelum ini dan artikel ini saya memohon jika kawan-kawan semua setuju dengan apa yang Pakatan Rakyat bawa dan saya tuliskan, kongsikan lah artikel-artikel ini bersama-sama semua keluarga dan rakan-rakan yang lain. Ini peluang kita untuk mengubah struktur ekonomi negara, membantu menaikkan sosio-ekonomi rakyat dan juga menghapuskan pembaziran, ketirisan dan kebocoran akibat rasuah dan penyelewengan BN selama ini. 

"Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"

No comments:

Post a Comment