Wednesday, May 1, 2013

PRU13: Undi Calon Atau Parti?


Oleh: Hazrul Nizam 


Majoriti penganalis politik termasuk yang terlatih secara professional, yang bergebang di warung dan yang ’berperang’ di media sosial setuju PRU kali ini bakal menjadi edisi  yang paling sengit dalam sejarah negara. Kemungkinan berlaku pertukaran gabungan pembentuk kerajaan buat kali pertama sejak negara kita merdeka adalah sangat tinggi. Sebagai seorang pengundi yang bakal mengundi buat kali ketiga, ini tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding ketika mengundi buat kali pertama dan kedua.


Undi anda untuk siapa? Dalam suasana demokrasi yang berfungsi, sudah tentu kita akan mengundi calon yang paling layak, tanpa mengira parti. Sejauh mana relevannya konsep mengundi calon yang paling layak dalam suasana pseudo-demokrasi seperti di Malaysia? Adakah ada ruang untuk calon yang layak tetapi berada dalam parti yang ‘salah’ dalam PRU ke-13 ini?

Saya terasa ingin membangkitkan persoalan ini selepas membaca satu tulisan di portal The Malaysian Insider tentang kenapa beliau (penulis) akan mengundi Dato’ Saifuddin Abdullah di kerusi parlimen Temerloh. Kebetulan pula saya juga seorang pengundi di kerusi yang sama. Saya sendiri tiada masalah dengan Saifuddin daripada segi politik. Beliau popular, pintar berhujah, bersikap terbuka dalam banyak perkara dan menghormati aspirasi anak-anak muda. Dalam suasana politik yang ideal, kemungkinan besar saya akan mengundi ahli politik seperti Saifuddin, tanpa mengira parti yang diwakili beliau. Saya teringat kata-kata Wan Saiful Wan Jan daripada kumpulan pemikir IDEAS, kalau pengundi hanya mengundi parti dan bukan calon, tidak perlulah kita meletak calon. Cukup dengan meletakkan simbol parti. Dalam persekitaran demokrasi matang dan ideal, kenyataan ini ada kebenarannya.

Malangnya, Malaysia tidak menawarkan suasana politik yang ideal. Jika saya seorang pengundi di Amerika Syarikat, mungkin saya akan mengundi berdasarkan kelayakan individu, bukan parti yang diwakili calon. Contohnya, sebagai seorang yang cenderung ke arah ide-ide libertarianisme tetapi kurang gemar dengan Parti Republikan, saya masih boleh mengundi Ron Paul. (*Contoh ini dipermudahkan untuk tujuan keringkasan). Sewaktu beliau di Kongres (sekarang sudah bersara), Ron Paul memang terkenal dengan keberanian mengundi berdasarkan prinsip libertarian beliau walaupun bertentangan dengan kehendak parti. Malah, beliau antara beberapa orang sahaja ahli Kongres yang berani menentang bantuan kewangan tahunan Amerika Syarikat kepada Israel.


Bolehkah Saifuddin mengundi berdasarkan prinsip beliau di Dewan Rakyat? Kita tahu jawapan kepada soalan ini. Walaupun beliau ahli politik yang baik, bila tiba waktu pengundian di Dewan Rakyat, beliau akan mengundi sama seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin, Hishammuddin Hussein dan lain-lain wakil BN (jika mereka menang). Buktinya mudah, selama sepenggal beliau di Dewan Rakyat, tidak ada perubahan besar yang dapat diketengahkan oleh beliau kerana sistem politik yang mengikat tangan beliau. Jangan kita lupa akan nasib Datuk Shahrir Samad (BN) yang pernah mengundi berlawanan dengan kehendak parti di Dewan Rakyat pada tahun 2006. Akibatnya, beliau dikenakan amaran oleh Ketua Whip BN dan terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). 

Tulisan ini, walaupun banyak berkenaan Saifuddin atas dasar saya akan mengundi di Temerloh, juga relevan untuk beberapa calon yang berkelayakan daripada BN. Untuk PRU kali ini saya akan mengundi untuk perubahan. Saya tidak berminat untuk, er, ’memilih Malaysia’ seperti yang disarankan di media massa. Saya sudah muak dengan kepincangan berterusan dalam pentadbiran negara dan pencabulan ke atas institusi-institusi yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan melindungi rakyat daripada kerakusan kerajaan.


Setelah lebih 50 tahun berkuasa, BN telah leka dan terlalu selesa dengan kuasa sehingga negara dan kerajaan dianggap sinonim dengan parti. Kritikan terhadap kerajaan dan parti dianggap penderhakaan kepada negara. Tidak ada cara lain untuk mengubah BN melainkan dengan memberi kejutan dan menghalau mereka dari tampuk kuasa. Bagi para pengundi bukan tegar PR tetapi pro-perubahan seperti saya, strategi mengundi yang terbaik adalah mengundi berdasarkan parti dan bukannya calon.

Ringkasnya, walaupun ada calon-calon BN yang benar-benar berkebolehan seperti Saifuddin dan mungkin juga Khairy Jamaluddin, Nur Jazlan Mohamad dan beberapa yang lain, mengundi mereka bermakna bersetuju dengan ketempangan pentadbiran yang sedia ada. Memang benar, mereka bukan calon BN yang tipikal. Malangnya mereka tetap calon BN. Hakikatnya, dalam persekitaran politik Malaysia tiada beza antara mengundi Zulkifli Noordin di Shah Alam dan mengundi Saifuddin Abdullah di Temerloh. Kedua-dua calon berada dalam bot yang sama, mengibarkan bendera yang sama dan berkhidmat untuk ketua yang sama. Dalam PRU sepenting edisi kali ini, demi melaksanakan perubahan, saya tidak mampu untuk membazirkan undi saya untuk calon yang layak dalam parti yang ‘salah’. 

Selamat mengundi!

Nukilan Hazrul Nizam, rakyat Malaysia dan ahli ekonomi yang rajin berkicau di twitter. Ikuti pandangan beliau di  twitter 


No comments:

Post a Comment