Saturday, March 2, 2013

BR1M

Bantuan Rakyat 1Malaysia


Oleh : Norman Masdar 

Sejajar dengan idea gagasan 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia iaitu bantuan tunai terus sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kasar kurang daripada RM3,000 tahun lepas. Belum sampai setahun BR1M diagih, kerajaan mengumumkan BR1M 2.0 dengan kadar bayaran sama kepada seisi rumah dan RM250 kepada individu bujang yang layak. Belum habis pembayaran BR1M 2.0 diagihkan, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bayaran BR1M 3.0 yang akan digandakan sekali ganda kepada RM1,000 jika parti pemerintah diberi mandat besar di pilihanraya akan datang.

Ada yang mengatakan ini gula-gula pilihanraya, ada juga yang mengatakan ini tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan hasil kebijaksanaan urustadbir ekonomi kerajaan dan sebagainya. Persepsi terhadap BR1M ini bergantung kepada orientasi politik individu masing-masing. Yang membangkang akan mengatakan BR1M adalah program membeli undi dan tidak memberi kesan secara berpanjangan terhadap ekonomi seisi rumah. Yang menyokong pula menganggap bebanan ekonomi dikurangkan dengan bantuan tunai seperti ini.

Seperti digembar gembur media massa, BR1M merupakan satu program yang berjaya. Namun demikian, tanda aras ukuran kejayaan itu masih lagi samar-samar kerana sasaran kerajaan untuk Malaysia mencapai status Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 menjadi tandatanya tatkala masih ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan tunai seperti ini. Adakah benar program transformasi ekonomi seperti ini membantu meningkatkan pendapatan seisi rumah dalam jangka masa panjang? Apakah program seperti ini program yang mampan di masa akan datang?

Mengambilkira janji TPM yang mengumumkan bayaran BR1M yang akan digandakan kepada RM1,000 jika parti pemerintah diberi mandat di pilihanraya akan datang saya mengunjurkan jumlah bayaran juga akan bertambah tanpa mengambilkira faktor pertumbuhan pemohon BR1M 3.0. Ini bermakna kos  BR1M3.0 meningkat kepada RM6bil berbanding RM3bil untuk BR1M2.0. Daripada keseluruhan belanjawan tahunan kerajaan sebanyak lebih kurang RM250bil, RM6bil atau 2% bakal diperuntuk untuk BR1M3.0. adakah ini sesuatu yang mampan?

Jumlah pemohon yang berjaya menerima BR1M adalah sebanyak 4.35 juta seisi rumah dan dengan unjuran 10% pertambahan pemohon BR1M2.0 bermakna angka penerima bantuan akan mencecah hampir 5 juta seisi rumah dan individu bujang. Inilah hasil ‘kejayaan’ yang dilaung-laungkan kerajaan. Pada hemat saya, sekiranya jumlah bantuan dan pemohon meningkat, ia bukanlah suatu yang boleh dibanggakan kerana seolah-olah semakin ramai rakyat yang miskin dan bukan bertambah pendapatan mereka. Jadi inikah yang patut dibanggakan kerajaan? Mampukah kerajaan terus membayar bantuan tunai yang semakin berganda saban tahun?




Saya bukanlah menentang usaha kerajaan membabi buta hanya semata-mata saya bukan pro-kerajaan, akan tetapi saya cenderung memikirkan solusi yang lebih sesuai untuk membantu menyelesaikan masalah kemiskinan untuk jangka masa panjang dan berkelangsungan. Bantuan tunai umpama BR1M buaknlah suatu jenis program baru diperkenalkan kerajaan serata dunia, di India dan beberapa buah Negara di benua Afrika juga memperkenalkan bantuan tunai terus kepada rakyat. Akan tetapi bantuan tunai seperti ini mengutamakan objektif membasmi kemiskinan tegar dengan memberi bantuan tunai untuk membantu keluarga miskin yang tidak mampu membiayai kos sara hidup seperti barang dapur, pendidikan anak-anak dan keperluan asas seperti air, elektrik dan gas. Program bantuan tunai ini di Negara luar direkodkan didalam pengkalan data untuk kerajaan memantau kemajuan sesebuah isi rumah dan menambah baik program itu. Program bantuan tunai ini amat bersesuaian untuk disasarkan kepada golongan miskin tegar, warga emas yang tidak berkeupayaan berkerja dan individu yang tidak mampu berkerja atas sebab kecacatan kekal (OKU).



Lain pula di Malaysia, program bantuan tunai seperti BR1M menyasarkan bukan sahaja golongan berpendapatan rendah dan warga pencen malah golongan berpendapatan sederhana juga layak untuk memohon. Selain daripada itu terdapat juga lompang-lompang yang mana ada juga pemohon yang tidak layak tetap juga menerima bantuan. Ini menambahkan kadar ketirisan dari perbendaharaan Negara. Subsidi atau bantuan seperti ini perlulah diaudit dan diagih dengan telus untuk memastikan hanya golongan yang betul-betul memerlukan sahaja menerima bantuan ini.

Meninjau keberkesanan BR1M ini dari segi menambah pendapatan isi rumah ia sebenarnya tidaklah membantu dalam jangka masa panjang. BR1M tidak digazetkan sebagai bantuan tetap tahunan oleh kerajaan, ia hanya akan diberikan sekiranya keadaan kewangan Negara mengizinkan tidak seperti beberapa program bantuan tunai seperti Skim Mesra Usia Emas di Selangor dan Pulau Pinang yang memberi bantuan tunai tetap secara berkala (tahunan/bulanan). Ini bermakna BR1M hanya akan menambah tunai didalam poket seisi keluarga dalam masa jangka pendek dan tiada jaminan bahawa pemberian BR1M seterusnya akan berlaku.

Terbaru PM memberi kenyataan bahawa BR1M sebanyak RM500 mengambil kira kos barangan dapur iaitu beras 10kg dan minyak masak 5kg sebanyak RM41.60 untuk tempoh sebulan. Beritahu saya adakah anda berbelanja sebanyak RM41.60 sebulan untuk barangan dapur dan RM500 untuk setahun? Benarkah PM yang berjiwa rakyat ini benar-benar faham realiti kehidupan sebagai rakyat biasa? Adakah perkiraan mudah PM ini mengambil kira faktor harga barang yang sentiasa meningkat? Kenyataan ini seakan menghina rakyat dengan menganggap RM500 itu boleh menyelesaikan segala jenis bebanan kewangan yang dihadapi rakyat terbanyak. Mungkin inilah maksud ubah gaya hidup yang disarankan menteri-menteri kepada rakyat. Cukuplah sahaja beras 10kg dan minyak masak 5kg setiap bulan. Mungkin juga patut diwajibkan rakyat membeli beras dan minyak masak ini di Kedai Rakyat 1Malaysia.

Apakah yang sebenarnya patut dilaksana kerajaan selain memberi bantuan tunai terus seperti BR1M? Untuk menambah pendapatan seisi rumah bagi jangka masa panjang kerajaan sepatutnya mengurangkan kos sara hidup dengan mengurangkan kadar tol, bil utiliti air dan elektrik dan juga pengurangan cukai (jika perlu).

Cadangan mengurangkan duti eksais kereta import juga bakal mengurangkan beban pinjaman bank untuk membiayai kenderaan seisi keluarga. Ini akan memberi kesan yang lebih berkelangsungan terhadap pendapatan seisi rumah kerana ia menambah nilai pendapatan boleh guna isi rumah. Mengapa jika hampir RM6bil boleh dibelanjakan untuk BR1M dan BR1M2.0 tetapi ia tidak boleh disalurkan kepada program dan bantuan lain yang lebih efektif?


Saya menyeru kawan-kawan menilai dan berfikir tentang apakah yang lebih berkesan untuk menambahbaik taraf hidup rakyat kebanyakan seperti kita. Adakah BR1M ni memberi kesan positif untuk jangka masa panjang atau tidak ia terpulang kepada kebijaksanaan kawan-kawan semua. Fikirkan juga tawaran alternatif pihak lain yang menawarkan penambahan pendapatan seisi rumah melalui pengurangan kos sara hidup seperti pendidikan percuma, pengurangan bil utility air dan elektrik, pengurangan kos memiliki kereta dan banyak lagi. Apa yang baik untuk kita hari ini belum tentu akan dirasai generasi akan datang yakni anak dan cucu kita. Selamat membuat pilihan yang tepat.

Oleh: Norman Masdar : @norman__G

1 comment:

  1. Kupasan yg baik bro.. masalah skrg rakyat dah terdesak dan tak lagi mmpu utk fikirkan long term program..

    ReplyDelete