Media Cetus Penolakan.
Oleh: Azhar Mohammed Salleh
Teringat pada
usia kecil aku dulu, menonton berita di kaca tv merupakan aktiviti wajib bagi
seisi keluarga dan sebarang program tv lain adalah diharamkan. Di pagi hari, akhbar
harian dari tulisan rumi kadangkala jawi merupakan santapan wajib dicerna bersama hidangan
sarapan.
Begitu dulu masyarakat kita
menyanjung tinggi dan menghargai maklumat yang diterima atau mungkin itu saja
sumber mudah serta murah yang ada. Keadaan sebaliknya kini berlaku dimana
masyarakat tidak hanya boleh menerima maklumat dari berita perdana malah dari
pelbagai sumber alternatif dari internet seperti akhbar elektronik, blog, facebook,
twitter, youtube dan bermacam lagi media sosial lain.
Apa yang membezakan sumber
maklumat sebenarnya adalah kecepatan maklumat disampaikan dan yang paling
penting adalah kesahihan maklumat yang disampaikan itu sendiri. Kita boleh
membanding bandingkan maklumat yang diterima dari pelbagai sumber itu dan
kemudiannya menilai sendiri bagi
memperolehi kebenaran.
Percaya atau
tidak, hakikat media arus perdana kita telah jauh tersimpang dari landasan
matlamat sebenar dalam menyampaikan maklumat. Amat menyedihkan lagi apabila
media menjadi pentas merosakkan pemikiran dengan menabur fitnah atau ‘spin’ khususnya kepada pihak
pembangkang dengan mengambil sedikit kata-kata pemimpin tersebut yang mengolah
persepsi para pendengar dan pembaca. Sebagai bukti nyata, akhbar utama kita
sering kali disaman atas tuduhan menfitnah serta diperintah membayar denda
jutaan ringgit.
Masyarakat ingin perolehi adalah
maklumat yang cepat dan tepat, bukan setengah jam atau dua ringgit dibazirkan
untuk menonton juga membaca akhbar yang semua kenyataannya hanya berbaur
hasutan dan memburukkan pihak lain. Tahap ketelusan maklumat yang disampaikan oleh
media arus perdana serta kebolehpercayaan terhadap masyarakat kini semakin pudar
dan sukar diterima.
Kesan apabila
terdapat percambahan sumber pada ketika ini, sering kali wujud kekeliruan
dikalangan masyarakat kita dalam menerima maklumat. Apa yang dikhuatirkan
adalah sifat malas yang diwarisi masih menebal dikalangan anak bangsa khususnya
melayu menyebabkan mereka gagal memperolehi maklumat yang betul. Kadangkala aku
berfikir bahawa adakah benar sebahagian dari kita gagal dalam membuat
penilaian, atau sebenarnya sedar hakikat yang benar namun membiarkan saja diri
diperbodohkan.
Apakah amalan yang dilakukan oleh
media perdana bertujuan baik bagi mengelakkan masyarakat bimbang dengan status semasa
keadaan pembangunan, ekonomi, dan sosial. Masyarakat perlu diberi pendedahan
yang jelas tentang keadaan ekonomi semasa yang kian meruncing bukan hanya memainkan
isu sensitif seperti agama dan berunsur perkauman demi mencapai matlamat
politik.
Kelmarin aku terbaca
surah amanat menjelang PRU 13 dari saudara Anwar Ibrahim, sungguh jelas apa
yang hendak beliau sampaikan. Segala mesej dan luahan beliau itu dikupas satu
persatu tentang kes yang mengaibkan beliau serta mengaitkan bagaimana beliau
tidak diberi ruang untuk memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut di media
rasmi. Beliau juga mengulas dengan terperinci tentang kes berprofil tinggi
melibatkan pemimpin utama dalam kerajaan, dimana pembaca tidak memerlukan tahap
pemikiran yang tinggi untuk menilai sendiri pengolahan fakta pada kes tersebut.
Terkini pula adalah putarbelit
media yang berbaur politik berkenaan komen Tuan Guru Nik Aziz terhadap
pemberian BR1M kepada rakyat oleh kerajaan. Aku melihatkan bahawa tindakan ‘spin’ akhbar perdana terhadap komen
yang dibuat oleh seorang ulama itu amat provokatif dan hanya akan menambahkan
kebencian masyarakat terhadap media perdana. Begitu juga kisah sebelum ini
bagaimana Tuan Guru Hadi Awang tidak diberikan ruang menjelaskan pada media
televisyen tentang ‘Amanat Hadi’
sebaliknya dihentam habis habisan pula.
Saban hari kita
perhatikan penolakan masyarakat terhadap pimpinan kerajaan semakin ketara dari
segenap lapisan usia dan kaum serta dari semenanjung hinggalah ke Sabah dan
Sarawak. Tidak dinafikan malah telah dizahirkan oleh masyarakat secara terang
terangan dengan beberapa insiden yang berlaku baru baru ini seperti pada
sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang dan Kajang (Dong Zhong). Sebenarnya
penolakan ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kegagalan media perdana dalam
menyampaikan maklumat dan berita yang sahih dan adil kepada umum. Penolakan ini
juga adalah hasil pencerahan masyarakat dalam menerima maklumat dan menimba
ilmu seterusnya mencetus kepada kebangkitan rakyat.
Jujur aku katakan yang aku amat
bimbangkan keadaan semasa dengan penolakan dikalangan masyarakat terhadap media
perdana dan kerajaan. Mengkaji apa yang berlaku di timur tengah, telah berlaku
revolusi dengan bermulanya apabila berlaku penolakan ketara terhadap kerajaan
mereka. Revolusi yang berlaku itu adalah berpunca dari penyalahgunaan kuasa
oleh kerajaan, budaya rasuah, perlanggaran hak asasi manusia, ketidakstabilan
ekonomi dan inflasi serta masalah pengangguran. Merenungkan faktor diatas,
persis keadaan berlaku kini boleh diumpamakan seperti minyak menanti sedikit
percikan api sahaja untuk ianya dibakar. PRU 13 nanti pasti bakal menjadi titik
penentu penerimaan masyarakat terhadap pentadbiran sekarang atau mungkin
penolakan secara total akan berlaku.
.
No comments:
Post a Comment