Kebangkitan rakyat menyuara dan menuntut hak kebelakangan ini semakin memuncak. Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dalam konteks politik dan demokrasi . PRU 12 menjadi bukti dimana parti pembangkang meraih peratusan kerusi tertinggi dalam sejarah pilihanraya negara ini sekaligus memecah dominasi yang dikuasai parti pemerintah.
Aku merasa tidak senang sekali melihatkan satu parti memerintah tanpa ada sebarang bantahan dan persoalan dibangkitkan. Apabila parti memerintah menguasai lebih dari 2/3 kerusi di parlimen, ini menandakan mereka telah dianugerahkan rakyat dengan kuasa yang mutlak dalam menggubal perlembagaan. Kita lihat 20 tahun lalu dan sebelumnya, hampir langsung tiada bantahan terhadap segala tindak tanduk kerajaan memerintah dalam mengurus tadbir negara. Sama situasinya dalam pilihanraya ketika itu. Ini kerana penguasaaan kerusi di parlimen yang dimilki oleh parti pemerintah pada ketika itu.
Bila dan mengapa?
Umum ketahui bahawa DSAI merupakan bapa pencetus reformasi dan kebangkitan rakyat dinegara ini. Ia bermula pada tahun 1998 dimana DSAI dikaitkan dengan satu skandal moral yang tidak perlu aku bukakan semula. Bukan kerana telah semua maklum, tapi kerana aku jijik dengan drama, dialog, watak dan skrip dalam kes tersebut. Tepat pada lingkungan masa yang sama juga, sistem teknologi maklumat juga berkembang pesat dinegara kita.Tidak mahu ketinggalan dalam deras arus pembangunan, masyarakat meneroka, berdiskusi, dan menilai setiap mungkin maklumat yang diperolehi dari sumber baru ini.
Adunan peristiwa dan perkembangan industri itulah yang membuka lembaran baru dalam perspektif masyarakat tentang sistem demokrasi dinegara kita. Arus gelombang itu juga yang menyebabkan masyarakat kita kian fasih bila berbicara mengenai hak, kebebasan, undang-undang hinggalah ke demokrasi, perlembagaan dan ideologi . Dalam sudut yang lebih positif, kita perlu merasakan peristiwa yang berlaku itu sebagai satu rahmat buat rakyat di Malaysia.
Nilai dan kehendak.
Baru baru ini kerajaan telah mengagihkan peruntukkan sebanyak RM 3 billion untuk pemberian BR1M 2.0 kepada rakyat. Benar dan tidak dinafikan, bantuan ini amat amat diperlukan oleh masyarakat terutamanya dari golongan berpendapat rendah tidak kira pada sebarang situasi dan waktu. Namun pada pandangan aku ianya adalah usaha skala besar yang memberi impak minimum. Atau mungkin juga ia hanyalah gula-gula menjelang PRU13. Memahami kehendak sebenar masyarakat masakini amat penting dalam mengukuhkan kedudukan politik sesebuah parti. Apa yang lebih diperlukan ada sesuatu yang bersifat berterusan dalam jangka panjang bagi meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos sara hidup. Sebagai contoh isu-isu asas seperti kemudahan pengangkutan awam dalam dan luar bandar masih lagi belum selesai hinggalah kepada kadar tol lebuhraya yang membebankan. Begitu juga dengan isu berkaitan kos perubatan, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Manakala dari sudut pembangunan sosial, penyediaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah adalah isu utama selain dari menangani masalah kebanjiran buruh asing yang menggugat peluang pekerjaan anak tempatan. Dari aspek yang lebih luas, usaha mengurangkan dan mengawal kos bahanapi dengan diimbangi subsidi serta mengkaji semula segala macam cukai yang dikenakan wajar diberikan perhatian.
Beritahu aku berapa lama RM500 boleh bertahan dalam poket anda?
Cabaran buat pemimpin
Nota : Tulisan ini juga sudah tersiar di The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment