Tuesday, February 12, 2013

Barang Naik (BN)

Barang Naik (BN)


Kenaikan harga barang adalah suatu norma yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Terma ekonomi 'kadar inflasi' digunakan sebagai penanda aras rasmi untuk mengukur kadar kenaikan harga barang dan perkhidmatan umum setiap tahun. Sejak tahun 2000, Malaysia mencatatkan kadar inflasi sederhana di antara 0.5 hingga 6 peratus. Bermakna harga barang dan perkhidmatan di Malaysia secara puratanya meningkat sebanyak 0.5 hingga 6 peratus setiap tahun.


Walaubagaimanapun nombor inflasi ini hanyalah satu anggaran kasar dan tidak mencerminkan keadaan sebenar tentang kenaikan harga barang asas dan perkhidmatan asas yang menjadi keperluan harian rakyat Malaysia. RM50 pada tahun 2013 tidak dapat membeli kuantiti barang yang sama pada tahun 2000. 10 tahun yang lepas dengan RM100 seorang suri rumah dapat memenuhkan troli di supermarket dan rak dapur, sekarang dengan RM100 belum tentu bakul dan rak dapur dapat dipenuhkan.

Dulu ada kempen ke arah inflasi sifar, tapi sekarang hasilnya nampak seperti ke arah isi troli sifar





Inflasi atau harga barang naik secara teorinya adalah suatu yang sihat untuk ekonomi jika ianya terkawal. Akan tetapi inflasi adalah suatu yang tidak sihat jika ia sebaliknya (tidak terkawal), menghimpit rakyat dan mengurangkan nilai ringgit didalam tangan. Hakikat kenaikan barang secara mendadak tidak dapat disangkal jika kita bertanya kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Kebanyakan golongan ini menerima kesan langsung kenaikan harga barang asas di pasaran.


Kerajaan sedia ada melaksanakan beberapa langkah untuk mengawal kenaikan harga barang seperti mengenakan peraturan kawalan harga barang (harga siling), mengawal produksi bahan2 mentah (gula, beras, minyak) dan memberi bantuan tunai secara terus kepada rakyat (BR1M, bantuan persekolahan).


Kebanyakan daripada langkah-langkah tersebut hanyalah langkah jangka pendek dan bermusim. Punca sebenar kenaikan harga barang yang tidak terkawal adalah sistem ekonomi yang tempang diamalkan kerajaan BN. Monopoli ke atas perniagaan barangan asas oleh kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan kroni menyumbang kepada kenaikan harga barang ini. Monopoli ini menghalang daripada berlakunya persaingan bebas di pasaran. Apabila tiada persaingan bebas di pasaran, harga-harga barang ini dikawal oleh pengeluar, pembekal dan peniaga yang mesra kerajaan.


Beras, gula, minyak, tepung, elektrik, air dan banyak lagi dikawal oleh kerajaan dan mereka yang mesra kerajaan dan bukan lagi dtentukan oleh kuasa permintaan (demand) dan bekalan (supply) di pasaran bebas. Budaya turun temurun kerajaan BN menganugerahkan lesen, konsesi, kontrak kepada mereka yang mempunyai kepentingan ini mengorbankan nilai pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kos sara hidup meningkat, pendapatan boleh guna susut nilainya dan kualiti hidup keluarga menurun. Inilah realiti yang dihadapi keluarga dan anak-anak muda sekarang.


Langkah yang perlu diambil untuk mengawal kenaikan harga barang adalah dengan membenarkan persaingan bebas berlaku mengikut kehendak pasaran yakni kerajaan perlu menghentikan sistem monopoli atau duopoli yang diamalkan sekarang. Setiap pembekal, pengedar, peniaga perlu yang berkemampuan perlu diberi peluang untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa campurtangan kerajaan yang keterlaluan. Budaya memberi lesen, konsesi dan kontrak kepada wajib dihentikan untuk mengekang kenaikan harga yang dikawal oleh pihak pihak tertentu.

"Are you ready for Beras 1Malaysia?"
Langkah mudah kerajaan, suruh rakyat berjimat tapi bagi kroni monopoli bahan asas.

Yakinkah anda dengan kerajaan sekarang yang memang sejak dulu mengamalkan budaya kronisme, nepotisme dan favoritisme akan melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan perut, poket dan kantung duit mereka? Di PRU13 ni fikirlah masak-masak sebelum mengundi. Mahukah kita semua berada didalam sistem yang sama yang menekan kita berdekad-dekad? Kuasa di tangan kita rakyat biasa yang mahukan kehidupan yang lebih baik sekarang dan untuk masa depan anak cucu kita.

Oleh: Norman Masdar / @Norman__G (ikuti tuit-tuit pencerahan ekonomi beliau di Twitter)

No comments:

Post a Comment