Tuesday, January 22, 2013

Subsidi: Janji Ditepati atau 5 tahun sekali?



Sedar atau tidak sedar hampir keseluruhan rakyat Malaysia menikmati subsidi. Baik yang kaya, miskin, tua, muda, bujang, berkahwin, individu, syarikat semuanya sekurang-kurangnya pernah merasa “buah tangan” daripada kerajaan ini. Untuk kita sebagai rakyat kebanyakan, subsidi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian; minyak petrol, beras, gula, hospital hampir kesemuanya terkesan dengan peruntukan subsidi kerajaan.
Namun yang demikian, subsidi ini bukanlah suatu anugerah yang datang dengan percuma dari langit. Subsidi ini datang dengan kos yang perlu dimasukkan dalam senarai perbelanjaan kerajaan didalam bil perbelanjaan tahunan atau lebih dikenali sebagai Belanjawan/Bajet. Jumlah bil subsidi yang ditanggung kerajaan mencecah puluhan billion ringgit saban tahun.



Beberapa tahun yang lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala pernah memberi amaran bahawa Negara kita akan muflis sekiranya bil subsidi yang ditanggung kerajaan tidak dikurangkan. Maka berlakulah rasionalisasi subsidi yang menyaksikan pengurangan subsidi minyak melalui penurunan gred minyak petrol, pelarasan subsidi diesel kepada perniagaan, penurunan berkala subsidi bahan runcit dan sebagainya.


Seringkali yang menjadi mangsa korban ialah subsidi kepada rakyat. Contohnya harga minyak, pada tahun 2007 dinaikkan daripada RM1.92 kepada RM2.70 serta merta sehingga memberi kesan negatif kepada jutaan rakyat Malaysia. Kesan daripada kenaikan harga petrol yang terburu-buru itu menggigit realiti kehidupan seharian, bayangkan secara tiba-tiba perbelanjaan petrol harian naik lebih kurang 50%.

Di media massa arus perdana, rakyat diminta berjimat, berkorban dan bersyukur terhadap pemberian kerajaan kepada rakyat selama ini. Ayat yang biasa kedengaran ialah rakyat Malaysia masih menikmati harga minyak, beras, gula dan lain-lain dengan murah berbanding di Negara serantau. Itulah yang dicanang kerajaan setiap kali subsidi dikurangkan/harga dinaikkan. Rakyat sahaja yang diminta berjimat, bersyukur dan berkorban.

NONE
Mana saya tau Abang Salleh berniaga apa?
Saya isteri Solehah tau tak? Tak busy body! 

Terkadang kita lupa, sebahagian besar subsidi kerajaan juga disalurkan kepada peniaga-peniaga mesra kerajaan (baca UMNO). Subsidi gas kepada konsesi pengeluar tenaga bebas, subsidi berbentuk pampasan kepada konsesi tol, juga bermacam-macam lagi jenis subsidi kepada perniagaan samada berbentuk pengecualian cukai seperti LYNAS atau bantuan pinjaman mudah untuk projek seperti keluarga Shahrizat Jalil.





Itu belum termasuk subsidi dalam bentuk pemberian projek secara runding terus kepada kroni-kroni contohnya Lebuhraya KIDEX dianugerahkan kepada Peguam UMNO dan isteri bekas Ketua Hakim Negara, projek landasan berkembar kepada Gamuda, pemberian lesen spectrum LTE/4G secara terus dan macam-macam lagi. Semua ini yang sepatutnya berpotensi menjadi pendapatan kepada kerajaan sekiranya ia diberi kepada syarikat berkelayakan melalui bidaan terbuka menjadi kos atau subsidi yang perlu ditanggung kerajaan. Tiap-tiap tahun projek seperti ini akan dibahagikan secara rundingan terus tanpa ada ketelusan dan keterbukaan untuk menjadi tatapan umum.

Ketidakadilan pemberian subsidi kerajaan ini bukan sahaja dalam bentuk peruntukan malah dalam bentuk layanan dari segi istilah atau nama bantuan itu sendiri. Jika ia diberi kepada rakyat maka ia digelar bantuan, projek mengurangkan beban rakyat, kerajaan prihatin dan sebagainya. Jika subsidi itu diberikan kepada tokey-tokey besar, ia dinamakan insentif, pengecualian cukai, inisiatif kerajaan bersama pihak swasta dan sebagainya. Hakikatnya hasil Negara ini bukanlah dinikmati oleh rakyat terbanyak. Kekayaan Negara masih lagi berlegar-legar di tangan, poket dan dompet mereka yang tertentu di atas sana.


Kerajaan dengan bangga mengumumkan tol di lebuhraya diturunkan, kadar tol lebuhraya tidak akan dinaikkan. Tetapi apa yang kerajaan tidak maklumkan kepada rakyat, kerajaan membayar pampasan ratusan juta kepada pemegang konsesi. Disuruhnya rakyat bersyukur, tokey konsesi lebuhraya tersenyum lebar dan ketawa pergi ke bank. Yang kaya semakin kaya, yang miskin sederhana terus ditakuk lama.



Harap sembelit beliau beransur pulih


Terbaru kerajaan memberi bermacam-macam bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100, rebat telefon pintar, bantuan lesen 1malaysia dan berbagai-bagai lagi jenis subsidi langsung. Saya hampir pasti ada dikalangan rakyat yang sangat bersyukur dan beban mereka juga terkurang dengan bantuan tunai seperti ini. Dalam tidak sedar kerajaan meminta kita bersyukur dan berjanji akan meneruskan pemberian seperti ini sekiranya rakyat mengundi parti Barisan Nasional malah berjanji akan menggandakan jumlah bantuan sekiranya mereka mendapat mandat besar dalam pilihanraya yang akan datang ini.









"I help U, U help me, we are 1Malaysia family"

Kerajaan sering mendabik dada bahawa kerajaan mampu memberi pelbagai jenis bantuan ini kerana kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh oleh sebab urus tadbir ekonomi yang baik dan sebagainya. Majoriti rakyat seperti kita tidak sedar bahawa kerajaan menjadi semakin prihatin apabila musim pilihanraya semakin hampir. Sejak kebelakangan ini Perdana Menteri Najib Razak menjelajah ke seluruh Negara menjanjikan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat SEKIRANYA Barisan Nasional diberi mandat selepas PRU13 nanti. Seolah-olah mereka lupa menjadi tugas kerajaan menyediakan kemudahan dan bantuan kepada rakyat. Mahu diundi baru boleh dibalas budi. Begitulah amalan kerajaan yang seakan “mengugut” rakyat, jika tidak diundi dan tidak mendapat mandat besar, rakyat tidak akan menikmati bantuan yang sememangnya wajar dinikmati oleh setiap rakyat yang berkelayakan tidak kira parti apa yang diundi kerana itulah asas demokrasi.

Kita juga tidak seharusnya leka dengan pelbagai bantuan  yang diberikan kerana semakin banyak bentuk bantuan diberikan, semakin tinggi bil atau kos subsidi yang perlu ditanggung perbendaharaan Negara. Yakinlah sekiranya BN menang, kerajaan akan terpaksa menambah hasil di kantung kewangan kerajaan. Cukai GST akan dilaksanakan, beberapa bantuan mungkin akan dikurangkan jika tidak dihapuskan.

Subsidi jangka pendek tidak akan memberikan kebaikan kepada ekonomi Negara kita mahupun ekonomi rakyat dalam jangka masa panjang. Mungkin hari ini kita bergembira menikmati bantuan tunai, rebat dan sebagainya. Tapi benarkah kerajaan mampu memberikan bantuan ini secara berterusan?

Pengstrukturan semula subsidi adalah perlu demi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi Negara dan demi membantu rakyat menaiktaraf ekonomi rumahtangga mereka. Subsidi perlulah diberi kepada golongan sasar dan untuk mereka yang memerlukan. Subsidi yang akan memberi kesan jangka panjang yang baik adalah subsidi seperti pendidikan percuma yang sebenarnya akan menajdi satu bentuk pelaburan oleh kerajaan untuk menghasilkan tenaga buruh mahir di Negara kita. Amalan monopoli sektor-sektor penting dan tertentu perlu dipecahkan dan diberikan ruang untuk persaingan sihat dan terbuka kepada para peniaga. Saya yakin harga beras, gula, tepung dan sebagainya akan menjadi lebih kompetitif sekiranya ia tidak menjadi sektor monopoli peniaga-peniaga besar yang mesra kerajaan. Amalan pemberian projek, tender dan kontrak secara rundingan terus juga perlu dihapuskan dan kerajaan perlu memperkenalkan bidaan projek secara terbuka. Bukan sahaja kerajaan dapat menjimatkan kos sesuatu projek yang dibida secara umum, malah kerajaan dapat memastikan tiada unsur-unsur rasuah dan favoritisme didalam pemberian projek-projek berkepentingan awam.

Kita bersorak gembira menerima bantuan daripada kerajaan tetapi kita tidak sedar dalam masa yang sama kita membayar eksais duti kereta yang tinggi, harga barangan yang naik walaupun ia dikawal kerajaan dan berbillion-billion hasil Negara tiris dan dibazirkan kerajaan. Semak sahaja laporan audit Negara saban tahun berbillion-billion dibazirkan kerana urustadbir yang lalai, cuai dan menyeleweng.






Kita selaku rakyat terbanyak, wajib membuka mata dan berfikir tentang kepincangan sistem sedia ada. Pentadbiran kerajaan perlu diberi nafas segar dan malangnya ia tidak ada didalam parti pemerintah sekarang. Urustadbir dan tatakelola kerajaan bukan hanya terletak pada subsidi sahaja malah merangkumi segala aspek kehidupan kita. Ya kita perlu bersyukur dengan segala keamanan dan “kemakmuran” yang dinikmati sekarang tetapi ia bukanlah alasan untuk kita terus bersetuju dan berdiam diri dengan salahlaku, pembaziran dan penyelewengan yang berlaku secara terang-terangan di sekeliling kita.


Kehidupan ini bukan hanya berkisar kepada apa yang kita nikmati dan hadapi sekarang. Kehidupan juga berkenaan apa yang disediakan untuk anak cucu kita di masa hadapan. Marilah kita ubah, ini kalilah!


Nukilan: Norman Masdar / @Norman__G

No comments:

Post a Comment