31 Ogos 1957 Stadium bersejarah ini menjadi saksi Kemerdekaan Negara dari penjajah, 12 Januari 2013 Stadium bersejarah ini jadi saksi Kebangkitan Rakyat melawan pembodohan |
Rakyat Merayakan Demokrasi
oleh: Azhar Mohd Salleh
Sabtu lalu telah berlangsung himpunan rakyat terbesar dalam sejarah negara kita. Setinggi tinggi kalungan syabas diucapkan kepada pihak kerajaan dan PDRM kerana mengizinkan rakyat mengisi ruang demokrasi. Walaupun ratusan ribu peserta menghadiri perhimpunan ini, program berlangsung dengan aman. Tiada tangkapan dibuat keatas penganjur dan peserta, tiada provokasi dan tindakbalas dari FRU serta tiada pula khabar angin senaman punggung akan diadakan dihadapan rumah Mat Sabu.
Memahami Prinsip Rakyat.
Namun, apa yang amat mengecewakan, media arus perdana amat gemar memutar belitkan maklumat untuk dihidangkan kepada umum. Dan yang lebih menghairankan masih ada lagi yang merelakan diri mereka disajikan dengan berita palsu. Bermula perhimpunan Samsidar yang tidak pernah wujud kepada venue sebenar perhimpunan diadakan hinggalah kepada angka sebenar jangkaan peserta. Ini hanya menambahkan lagi kebencian rakyat kepada layanan diberi oleh media tunggangan kerajaan.
Tidak adakah rasa malu mereka ini membaca berita yang penuh dengan penipuan? |
Budaya pemikiran masyarakat masa kini telah berubah. Insan lahir dengan sifat yang suci dan sempurna. Seburuk mana tingkah laku seseorang itu, ia tetap menuntut untuk diberikan hak, dilayan dengan adil serta cintakan keharmonian. Demikian fitrah ciptaan yang Maha Esa yang mendorong bukan hanya pakcik berkopiah, malah mat ‘punk’, mat rempit, awek ranggi dan pelbagai lagi rupa untuk turut serta ke perhimpunan rakyat. Transformasi pemikiran ini jelas sealiran dengan arus pembangunan negara.
Terbaru yang membuatkan ramai tersinggung adalah kisah Bawani KS dihina dan dimalukan hanya kerana ingin mengeluarkan pendapat dan soalan. Mahasiswa ada penjana masa depan negara. Ini adalah fakta. Mengapa perlu mereka dihalang dari berfikir dan berhujah? Atas prinsip demokrasi, jangan kita halalkan gadis kecil itu diperlaku dan diaibkan sedemikian rupa apatah lagi oleh seseorang yang kononnya memperjuangkan hak wanita.
Salut Kepada Mereka.
Mereka berdua ini datang dari Johor dengan duit mereka sendiri |
Peserta yang hadir ke himpunan kebangkitan rakyat datang dengan kudrat mereka tanpa apa apa paksaan dan sogokan. Tiada imbuhan sebanyak RM150 maupun sekampit beras kepada peserta diberi, sebaliknya sumbangan ikhlas dialukan untuk kos menampung kos himpunan tersebut. Aku berasa sangat kagum dan amat kerdil dalam lautan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh generasi dari berbilang bangsa.
Bukan setakat turun dengan wang sendiri, malah mereka ini menyumbangkan hampir RM 300,000.00 tanda sokongan kepada perjuangan |
Kami mahukan Malaysia yang lebih baik. Kami mahukan pemimpin yang bersih dan memahami kehendak rakyat selain bijak mencatur ekonomi. Kami mahukan sistem demokrasi dan perundangan yang telus serta ruang kebebasan. Kami juga mahu pengagihan kekayaan dilimpahkan kepada rakyat untuk kemajuan taraf hidup dan pendidikan.
Dalam masa yang sama turut berlangsung majlis Perdana Menteri atau Bapa Pengumuman bersama rakyat di Semenyih. Aku kurang pasti apa tujuan utama program tersebut, cuma yang pasti hadirin di'sogok' dengan sekampit beras. Maka berebut rebutlah yang hadir mendapatkannya. Ambillah, rezeki jangan ditolak. Tetapi pada pandangan aku, ianya hanya seperti memberi makanan kepada penduduk Somalia. Aku juga merasakan pasti ada cara lain yang lebih baik untuk memenangi hati rakyat. Obama bukanlah idolaku tetap aku tidak fikir Obama melayan rakyatnya sedemikian rupa. Berapa ramai agaknya yang hadir pada di Semenyih ikhlas atas kerelaan mereka tanpa harapkan apa apa balasan?
Berfikir Dan Memilih.
Melayu Perkasa dengan Melayu UMNO bergaduh, Cina sokong PAS Kahkahkah! |
Tidak dinafikan, masih ramai yang berfikiran kolot dengan mengganggap masa depan negara terletak di tangan kerajaan. Seharusnya dalam sistem demokrasi moden masyarakat perlu merenung serta memikirkan tentang hala tuju dan masa hadapan negara. Kerajaan pemerintah hanyalah ketua yang dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi dan pilihanraya. Tidak sewajarnya rakyat memperjudikan masa depan negara tanpa memikirkan bagaimana susuk yang dilantik itu menjalankan kewajipan dan amanah kepada mereka.
Memilih untuk diacu kotak pemikiran atau menggunakan akal dalam menilai sendiri baik buruk sesuatu perkara. Memilih untuk mewarisi budaya malas serta perlu disuap atau menuruti naluri yang inginkan kebenaran dan menuntut hak. Memilih untuk dicorakkan masa depan anak bangsa atau mencorakkan sendiri masa depan ganerasi kita. Anda berhak menentukannya.
Nukilan: Azhar Mohd Salleh / @azharms933
Nota : Terima kasih Siti Aminah dengan gambar dari dalam stadium yang diambil dari Nokia Lumia 920 barunya
Moga-moga perjuangan ini dipermudahkan olehNya, In Sha Allah
ReplyDelete