Thursday, January 23, 2014

Isu: Pengstrukturan Industri Air di Selangor

Isu air kembali hangat di Selangor apabila baru-baru ini Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan melakukan u-turn dengan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji air Langat 2. Bekas EXCO dan juga ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang dikatakan mengelirukan rakyat Selangor apabila secara tiba-tiba tunduk kepada desakan kerajaan persekutuan untuk akur kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Water Services Industry Act 2006) yang membenarkan kerajaan persekutuan mengambil-alih aset industri air di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan mengstruktur semula industri air di Malaysia. 

Pertama sekali untuk membincangkan berkenaan industri air di Selangor eloklah sekiranya kita ketepikan politik dalaman parti tertentu, pertembungan peribadi antara ahli politik dan hal-hal tidak berkaitan yang lain. Isu air ini melibatkan kepentingan rakyat Selangor bukannya kepentingan individu-individu tertentu yang sibuk menggunakan isu air sebagai modal politik untuk menjatuhkan musuh politik mereka. 

1. Struktur industri air di Selangor

Industri air di Selangor sememangnya agak kompleks apabila ia melibatkan pemegang aset air, konsesi-konsesi air melibatkan syarikat swasta dan juga kerajaan persekutuan. Pertama mari kita melihat lebih mendalam pemegang konsesi air dan pemilik atau pemegang saham syarikat konsesi air ini:

a) Konsesi yang merawat air mentah dan menguruskan loji rawatan air:

i) Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB)
  • Pemegang 2 konsesi yang bertanggungjawab mengurus 29 loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kapasiti pengeluaran air sebanyak 1,909 juta liter air setiap hari.
  • Dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (syarikat tersenarai di Bursa Saham) yang pemiliknya adalah Tan Sri Rozali Ismail [melalui syarikat persendirian Central Plus Sdn Bhd dan Corporate Line Sdn Bhd] (41.25%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6.19%) dan Lembaga Tabung Haji (5.74%).
ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH)
  • Diberi konsesi 30 tahun oleh kerajaan negeri Selangor pada Januari 2009 untuk membina, mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3.
  • Dimiliki oleh Gamuda Bhd (40%), The Sweet Water Alliance Sdn Bhd [syarikat milik Tan Sri Wan Azmi Hamzah] (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd [61% milik kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad] (30%)
iii) Konsortium ABASS Sdn Bhd
  • Dianugerah konsesi 30 tahun oleh kerajaan negeri Selangor pada 2001 untuk mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Semenyih
  • Dimiliki 100% oleh Titisan Modal Sdn Bhd [55% milik Kumpulan Perangsang Selangor Bhd yang juga milik kerajaan negeri Selangor melalui KDEB].

b) Pengedar air terawat:

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)
  • Pengedar/pengagih air terawat tunggal bagi seluruh kawasan Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • Mengurus dan menyelenggara pam air, takungan air dan stesen pam.
  • Dianugerah 30 tahun konsesi mengedar air oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor pada tahun 2005.
  • Dimiliki oleh Tan Sri Rozali yang juga pengerusi eksekutif sebanyak 70% melalui Puncak Niaga Sdn Bhd, dan kerajaan negeri Selangor memiliki 30% SYABAS melalui KDEB (15%) dan Kumpulan Perangsang (15%). Kerajaan persekutuan memiliki satu golden share. 

2. Cadangan pengambilalihan konsesi air di Selangor oleh kerajaan negeri:

Sejak 2009 kerajaan negeri Selangor telah membuat bidaan rasmi untuk mengambil alih seluruh aset dan ekuiti pemegang konsesi. Tujuan pengambilalihan ini adalah untuk :

  • Menggabungkan industri air Selangor di bawah kerajaan negeri melalui KDEB bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor daripada beban kenaikan tarif yang tinggi.
  • Menyusun semula industri air bagi mewujudkan perkhidmatan air yang holistik di Selangor.
  • Memastikan kecekapan pengurusan rawatan dan pembekalan air seperti menurunkan kadar non-revenue water (NRW) iaitu air yang hilang melalui ketidakcekapan pengedar air (SYABAS) akibat daripada kebocoran paip.
Kerajaan negeri Selangor demi melindungi kepentingan rakyat Selangor telah menghalang kenaikan tarif air yang sepatutnya dinaikkan oleh SYABAS sebanyak 37% pada 2009 dan 25% pada 2012. Kerajaan negeri berpendapat SYABAS telah gagal  mengoptimakan bekalan air kepada pengguna air dimana 34 loji rawatan air mempunyai kapasiti merawat 4,807 juta liter air sehari tetapi SYABAS hanya berupaya mengedar 4,411 juta liter air sehari. Pada masa yang sama SYABAS memberi alasan pembekuan Capital Expenditure (CAPEX) atau perbelanjaan modal untuk menyelenggara pam lama dan sebagainya sebagai halangan untuk mengedar air secara optima. 

Sejak 2009 sehingga hujung 2013 kerajaan negeri Selangor telah membuat tawaran sebanyak 5 kali untuk mengambilalih aset dan ekuiti konsesi air Selangor. Berikut adalah cadangan pengambilalihan aset dan ekuiti konsesi air di Selangor dan maklumbalas terhadap tawaran oleh pemegang konsesi air: 



Semua tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor kepada empat pemegang konsesi air dibuat berdasarkan beberapa perkara iaitu: 

  1. Jumlah pelaburan yang telah dibuat pemegang konsesi air.
  2. Tempoh pelaburan yang dibuat oleh pemegang konsesi semenjak penswastaan sektor air di Selangor.
  3. Jumlah hutang yang ditanggung (bon dan pinjaman bank) pemegang konsesi air.
  4. Tawaran yang dibuat entiti kerajaan persekutuan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
  5. Pulangan ke atas pelaburan (Return on Investment) sebanyak 12%.
Walaupun tawaran ke atas pemegang konsesi dianggap sebagai berpatutan namun tawaran yang dibuat kerajaan negeri tetap ditolak atas alasan harga yang tidak berpatutan, pemegang konsesi mahukan ROI sebanyak 15% dan bukan 12%, penilaian ke atas aset yang dikatakan kurang daripada nilai sebenar (undervalued) dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum syarikat swasta berperanan menjana keuntungan maksima dan kepentingan rakyat selaku pengguna air bukanlah menjadi objektif utama oleh semua pemegang konsesi.

3. Akta Industri Perkhidmatan Air (2006)

Pada tahun 2005 parlimen telah meluluskan pindaan perlembagaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara-perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak). Pindaan diwartakan pada 10 Februari 2005 dan ia dikuatkuasakan pada 21 Mac 2005. Ini bermakna air yang sebelum 2005 adalah dalam senarai bidang kuasa negeri dipinda kepada senarai bidang bersama yang bermaksud selepas pindaan perlembagaan tersebut hal berkaitan air kini berada dalam senarai bersama di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. (Sumber: Parlimen ke-11, penggal ke-2, mesyuarat pertama 17 Januari - 18 Januari 2005)

Dengan pindaan perlembagaan itu Kerajaan Persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri pula akan mengekalkan kuasanya terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan lembangan sungai. Pada Pertengahan 2006, Parlimen Malaysia meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 (WSIA) menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna.

Seksyen 114 akta ini memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengambilalih aset konsesi-konsesi air Selangor. Setelah 5 tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri Selangor kepada syarikat-syarikat konsesi ditolak, kerajaan negeri Selangor gagal mengambilalih konsesi sebelum tarikh 31 Disember 2013 yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan. Maka dengan itu kerajaan persekutuan hampir pasti akan mengambilalih aset konsesi air di Selangor seperti yang tertera: 




4. Loji Rawatan Air Langat 2

Projek Langat 2 merupakan projek membina Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025 Projek yang dicadang kerajaan persekutuan seawal tahun 2007 ini adalah bertujuan untuk menampung permintaan bekalan air terawat dari Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang semakin meningkat saban tahun. Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada tahun 2012 tertangguh kerana kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan Langat 2 dibina selagi pengstrukturan industri air tidak diselesaikan. Kerisauan kerajaan negeri Selangor juga jelas untuk melidungi kepentingan rakyat Selangor daripada beban kenaikan tarif air sekiranya Langat 2 diteruskan. 


Pada awal bulan ini rakyat Selangor dikejutkan dengan berita Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju agar Projek Langat 2 diteruskan sedangkan sebelum ini MB menafikan Langat 2 itu satu keperluan dengan alasan air mentah di Selangor mencukupi untuk menampung permintaan pengguna. Secara jelas MB sudah menerangkan bahawa Langat 2 boleh diteruskan hanya selepas pengstrukturan industri air di Selangor selesai. Status terkini Langat 2 juga masih berada dalam proses rundingan dan belum dimuktamadkan dan juga bersyarat. Syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan persekutuan untuk persetujuan meneruskan projek Langat 2 adalah:

  1. Aset loji Langat 2 mestilah diserap ke dalam program pengstrukturan air Selangor.
  2. Kerajaan negeri akan terlibat dalam semua urusan tender Langat 2.
  3. Kerajaan negeri berhak mendapatkan harga terbaik bagi sebarang struktur binaan Langat 2.
  4. Harga/tarif air akan ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor.
  5. Operasi seluruh industri air akan disatu dan diuruskan oleh sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang akan ditubukan oleh kerajaan negeri.
  6. Perlantikan dua pentadbir yang dicadangkan oleh kerajaan negeri untuk mentadbir industri air Selangor.
Kerajaan negeri Selangor juga telah memberi jaminan bahawa program air percuma di bawah skim merakyatkan ekonomi Selangor akan kekal walaupun Langat 2 dibina. 

Untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri Selangor dalam usaha menyelesai program pengstrukturan industri air, kerajaan negeri telah membatalkan lesen air mentah yang sebelum ini diberi kepada Puncak Niaga Holdings Berhad dan lesen air mentah diserahkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor juga akan memulakan projek 'Hybrid Off River Augmentation System' (HORAS) yang akan membekalkan air terawat antara 600 juta hingga 700 juta liter sehari kepada pengguna air sementara menunggu kerajaan persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA. Projek HORAS ini juga akan mengurangkan kebergantungan Selangor kepada Langat 2 untuk mendapatkan bekalan air terawat. 

Rumusan

Tidak adil sekiranya kita menuduh MB Selangor u-turn ataupun tunduk kepada tekanan kerajaan persekutuan kerana kerajaan negeri Selangor telahpun menawarkan RM9.65bil kepada empat konsesi air Selangor dan tawaran itu ditolak dengan alasan penilaian aset air yang tidak memuaskan sedangkan kerajaan Selangor telah mengambilkira pelbagai jenis faktor seperti pulangan keatas pelaburan (ROI), liabiliti konsesi dan sebagainya. Kita sudah sediamaklum syarikat swasta dan persendirian akan mengutamakan keuntungan tanpa mengambilkira kepentingan rakyat terbanyak. MB Selangor juga masih tegas dan berkeras untuk tidak tunduk kepada kerajaan persekutuan dalam urusan mengstruktur semula industri air di Selangor. Kebajikan rakyat Selangor tetap akan dijaga dengan penetapan tarif air yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri dan program air percuma yang tetap akan diteruskan walaupun kerajaan persekutuan akan mengambilalih aset menggunakan Seksyen 114 WSIA.

Isu air di Selangor ini tidaklah patut dipolitikkan dan dijadikan modal untuk menyerang individu tertentu. Kerjasama dengan kerajaan persekutuan diperlukan kerana perlembagaan persekutuan telah pun dipinda dan meletakkan kuasa ke atas air dibawah senarai bersama. Seperti yang dilaungkan sesetengah pemimpin parti berkenaan, kita perlu mencari titik temu bersama kerajaan persekutuan (Barisan Nasional) asalkan ia demi untuk menjaga kepentingan rakyat. Jangan hanya kerana permusuhan politik dalaman, isu air ini tidak selesai dan berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran mengstruktur industri air Selangor. 

Dikemaskini: Kerajaan Selangor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan pengstrukturan industri air Selangor dengan kerajaan persekutuan pada 26 Februari 2014 yang lalu. Kandungan MoU boleh didapati di: http://www.malaysia-today.net/the-selangor-federal-water-mou/

Sumber:




No comments:

Post a Comment