Oleh: Brewin Edward
Pertamanya saya ingin nyatakan bahawa saya tiada masalah dengan orang kaya, cuma saya ada masalah bila ada yang kaya tetapi pada masa yang sama masih ada ramai yang masih hidup miskin dan melarat. Dan yang yang kaya dan hidup mewah tersebut kebanyakannya bukanlah golongan pencipta (innovator) seperti Bill Gates atau Henry Ford, mereka tidak ada apa-apa sumbangan pun pada masyarakat tetapi hidup dengan menjadi parasit (rentier) mengharapkan kontrak atau konsensi yang dianugerahkan oleh kerajaan, menggunakan kedudukan dan kuasa diri sebagai pembesar untuk mendapatkan sogokan sebagai balasan kepada kelulusan sesuatu permohonan, menyalahgunakan kuasa dengan melalukan penyelewengan ke atas harta awam, atau rent-seeking.
Keadaan bertambah lebih jijik apabila amalan ini dilakukan atas alasan survival bangsa tertentu ini, amalan anti-kapitalisme yang telah dipraktiskan sejak sekian lama ini telah melahirkan suatu penyakit yang dipanggil ‘kroni kapitalisme’ di negara. Amalan ini sama sekali bukan amalan kapitalisme seperti yang dicanangkan oleh Adam Smith di dalam buku beliau iaitu An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations. Amalan ini harus dibendung kerana ia tidak akan menghasilkan masyarakat yang inovatif tetapi akan melahirkan generasi yang menghidap penyakit ‘entitlement complex’. Bertambah buruk apabila amalan ini dilakukan secara berinstitusi atas alasan ia adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan.
Baru-baru ini saya telah terbaca mengenai tuntutan sebuah NGO yang sering disamakan dengan Ku Klux Klan (KKK) supaya kaum Bumiputera diberikan 60% ekuiti daripada kekayaan negara dan menegaskan bahawa syarikat-syarikat ‘Bumiputera’ harus diberikan keutamaan dalam projek-projek mega kerajaan. Persoalan yang terlintas dalam pemikiran saya betulkah Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak wajib diberikan sejumlah ekuiti dalam perniagaan dan harus diberikan keutamaan dalam pemberian kontrak-kontrak kerajaaan? Benarkah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengatakan sedemikian? Persoalan ini muncul dalam fikiran saya memandangkan saya tidak dapat menjumpai apa-apa ayat atau perkataan pun di dalam Perkara 153 yang menyatakan atau memberi indikasi sedemikian.
Sekadar gambar hiasan |
Setahu saya ‘kedudukan istimewa’ di dalam Perkara 153 hanya merangkumi jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, dan permit atau lesen sahaja dan ia haruslah diberikan dalam kadar yang munasabah, kadar yang dianggap sebagai ‘munasabah’ pada 50 tahun dahulu juga berbeza dengan sekarang kerana keadaan sosio-ekonomi telah berubah. Balik kepada persoalan tadi, dari mana datang keutamaan dalam pemberian kontrak dan ekuiti ini muncul? Jujur saya katakan bahawa saya tidak tahu. Betulkan saya jika pentafisiran saya silap mengenai Perkara 153 ini.
Setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1971 berapa ramaikah orang Bumiputera yang mendapat manfaat daripada sasaran pemilikan ekuiti 30% daripada kekayaan negara? Yang dapat merasa nikmat ini hanyalah beberapa kerat ‘kapitalis Bumiputera’ yang mempunyai hubungan dengan para pembesar. Buktinya, jurang pendapatan diantara kaya dan miskin semakin membesar, walau bagaimanapun seperti yang saya nyatakan tadi saya tiada masalah dengan ketidaksetaraan ini asalkan tiada rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan. Namun malangnya, kemiskinan masih lagi menular terutama di Sabah dan Sarawak.
Memang betul DEB diperkenalkan untuk melahirkan ramai usahawan Bumiputera, namun usahawan yang dilahirkan ini hanyalah golongan rentier capitalists, mereka ini bukan kapitalis yang tulen (genuine capitalists). Golongan ini telah memonopoli perniagaan di Malaysia dari perniagaan pelabuhan, lapangan terbang, kereta, motosikal, elektrik, beras, gula, roti semuanya dimiliki oleh orang yang sama. Kita tidak boleh memandang remeh isu monopoli ini, kerana ia antara penyebab kenaikan harga barang di negara. Harga barang mahal apabila wujud monopoli kerana tidak ada persaingan, ini ilmu ekonomi yang paling asas, seseorang tidak perlu pergi ke Harvard Business School pun untuk mengetahui perkara ini.
Dasar yang mensasarkan pemilikan ekuiti sebegini tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan Bumiputera. Seperti mana yang dicanangkan oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan iaitu Rafizi Ramli, dasar kerajaan seharusnya memberikan perhatian kepada meningkatkan pendapatan isi rumah (household income), jangan asyik dengan pemilikan ekuiti kerana yang mendapat manfaat hanya segelintir. Dan bantuan-bantuan kerajaan juga janganlah diberikan berdasarkan warna kulit tetapi berdasarkan kelas sosial - yang susah harus diutamakan tanpa mengira kaumnya. Jika bantuan diberikan kepada golongan miskin dan terpinggir tanpa mengira kaum yang mendapat manfaat kaum Bumiputera juga, kerana sebahagian besar masyarakat yang masih susah adalah kaum Bumiputera.
Nukilan: Bakal Peguam, Brewin Edward. Ikuti beliau di twitter (@BREWINEDWARD )
No comments:
Post a Comment