Analisis Pasca PRU13
BN memenangi hampir semua kawasan luar bandar (termasuk Sabah & Sarawak). PR pula memenangi sebilangan besar kawasan semi-urban dan urban. Kenapa? Jawapannya bagi penulis hanya satu. Penguasaan Barisan Nasional dalam Media Massa
Sumber : http://goo.gl/B01Hw |
Akses Media Massa
Mudah. Di kawasan luar bandar, pengundi mereka masih bergantung sepenuhnya kepada media massa. Television dan masih menjadi sumber maklumat mereka yang paling utama. Kurang akses internet untuk menyemak maklumat. Berbanding dengan pengundi bandar yang kadar penembusan internet lebih tinggi. Masyarakat dengan capaian internet ini kebanyakannya akan membuat semakan dengan segera untuk mengesahkan sebarang maklumat yang mereka terima.
Kenapa media massa dipersalahkan? Ini terlalu mudah untuk dijawab. Media massa amat berat sebelah di bawah telunjuk BN. Lihat saja kandungan berita Utusan, Buletin Utama yang saya kira sudah bertahun lamanya sejak 2008 menghentam Pakatan Rakyat tanpa segan silu. Tak perlu dirungkai pasal kejahatan Utusan. Mereka sudah kalah kes saman fitnah sebanyak 7 kali. Malah, boleh dikatakan mereka penyumbang besar dana PRU13 Pakatan Rakyat.
"Akses kepada media massa yang adil juga adalah salah satu dari 8 tuntutan BERSIH yang tidak ditunaikan oleh SPR"
Faktor Media Sosial
Tidak dinafikan media sosial juga memainkan peranan penting dalam PRU13 ini. Facebook dan twitter digunakan secara meluas oleh ahli politik, penyokong dan pemerhati politik dalam mengutarakan pandangan, menerang dan membentangkan manifesto dan sebagainya. Dapat dilihat juga media sosial digunakan oleh pihak Pakatan Rakyat sebagai benteng pertahanan sebaik beberapa isu dimanipulasikan oleh media massa. Akan tetapi sejauh mana ia dapat membantu?
Saya beri contoh, dalam 2-3 hari lagi hari mengundi, TV3 melalui Buletin Utama menayangkan video Saiful Bukhari kononnya mengangkat sumpah di hadapan Kaabah. Video ini saya kira ditonton oleh sejumlah besar penduduk luar bandar yang bergantung dengan TV3 untuk sumber berita. Maka meloponglah mulut pakcik makcik di kampung melihat tayangan video tersebut yang diambil dari blog kaki fitnah nombor satu tanah air, papagomo. Orang yang ada akses internet seperti saya, juga tersentak tetapi oleh kerana ada sifat ingin tahu yang kuat, menonton video itu berkali-kali sebelum mendapati video itu amat jelas dirakamkan menggunakan teknik super impose. Sudah banyak video menerangkan akan perkara ini dan media sosial terutamanya Facebook digunakan untuk menerangkan perkara sebenar akan tetapi sudah terlambat dan penerangan ini terhad kepada mereka yang mahu menyemak maklumat dan yang mempunyai akses internet sahaja. Pengundi luar bandar yang masih di atas pagar sudah pun berjaya diperdayakan oleh Barisan Nasional yang menguasai media massa dan diterjemahkan pada hari pengundian.
Isu kaum bukan Faktor utama
Isu perkauman? Ini tidak wujud langsung. Malah diada-adakan oleh pihak Barisan Nasional dengan diketuai oleh Perdana Menteri dan diikuti secara besar-besaran oleh siapa lagi kalau bukan media massa yang seolah-olah berlumba-lumba untuk menunjukkan kebodohan mereka. Semua ini untuk menutup kegagalan mereka untuk menang besar walaupun berbilion wang dan segala jentera kerajaan dikerahkan untuk memenangkan Rejim Barisan Nasional.
Pakatan Rakyat perlu akur dengan keputusan PRU13
Lupakan isu blackout, orang Bangladesh turun mengundi, dakwat tidak kekal dan segala penipuan lain, penipuan melalui akses media sendiri sudah cukup untuk menidakkan kemenangan PR pada PRU13.
"Dengan penguasaan media secara zalim dan terang-terangan pun Barisan Nasional hilang lagi 7 kerusi Parlimen dan puluhan lagi kerusi Dewan Undangan Negeri, bayangkan jika ruang media diberikan dengan adil?"
Sekarang bukanlah masanya untuk Pakatan Rakyat yang secara amnya menang undi popular tapi kalah dalam sistem pengundian di Malaysia untuk berduka lara. Teruskan usaha untuk menawan hati penyokong sedia ada dan gandakan usaha serta cari jalan untuk memenangi hati penduduk luar bandar.
Nota:
Untuk penerangan terperinci akan pola pengundian penduduk bandar/ luar bandar pada PRU13, sila rujuk laman web politweet ini
No comments:
Post a Comment