Friday, April 26, 2013

Saya Penyokong Sejati Manchester United.

*Kemaskini: Selepas artikel ni ditulis admin UKECOnline telah pun menyiarkan komen saya. Harap mereka akan respon. :)

Walaupun tajuk tulisan saya kali ini agak mengjengkelkan saya mengajak kawan-kawan membaca tulisan ini sehingga penghujung sebelum rasa menyampah. Saya terpanggil untuk memberi maklumbalas terhadap artikel yang dikeluar oleh saudara Adam Reza di UKECOnline: http://www.ukeconline.com/CEKU/isu-harga-minyak-mengapa-malaysia-sebagai-pengeluar-minyak-berbeza-dengan-negara-arab/ berkenaan isu harga minyak mengapa Malaysia sebagai pengeluar minyak berbeza dengan negara Arab. 

Semalam saya ada memberi maklum balas di ruangan komen artikel tersebut tapi sudah hampir 12 jam maklumbalas saya tidak di'approve'kan oleh admin atau saudara Adam Reza sendiri. Oleh yang demikian saya mengambil inisiatif untuk menulis maklumbalas itu sendiri disini. Berikut adalah maklumbalas saya tentang artikel saudara Adam Reza:

1. "hasil keluaran minyak negara kita dengan yang lain. Malaysia mengeluarkan 623,900 barel minyak sehari, manakala Saudi Arabia mengeluarkan 11.1 juta barel sehari. Hampir 17 kali ganda keluaran kita. Setelah menolak pengunaan minyak domestik bagi kedua-dua negara, hasil eksport keseluruhan adalah 18,900 barel untuk Malaysia dan 8,534,260 bagi Saudi Arabia"

Pertama sekali hujahan ini adalah tidak adil kerana perbandingan Malaysia dengan Arab Saudi yang juga antara pengeluar minyak terbesar dunia. Mengapa tidak dibandingkan dengan Mesir ataupun Libya (selepas kejatuhan Gadaffi) yang mengeluarkan minyak lebih rendah dan mengenakan harga rendah di pam minyak berbanding Malaysia? Walaubagaimanapun ia bukanlah hujah sebenar yang hendak diutarakan, saya lebih berminat dengan angka pengeluaran minyak dan angka eksport Malaysia seperti yang ditulis diatas 623,900 tong minyak dikeluarkan sehari dan 18,900 tong minyak dieksport (sehari?). Adakah angka ini benar? Jika 623,900 tong ditolak eksport 18,900 tong bermakna kegunaan domestik negara adalah sebanyak 605,000 tong sehari. Bukankah Malaysia adalah pengeksport bersih (net exporter) minyak? Mari rujuk laporan kewangan tahunan Petronas 2011: 


Lihat angka diatas hasil jualan (termasuk eksport) minyak mentah Petronas RM43bil berbanding hasil belian (import) minyak mentah untuk kegunaan domestik sebanyak RM18.5bil. Jadi bagaimanakah kegunaan domestik Malaysia boleh melebihi angka eksport? Fakta artikel di atas terpesong dan mengelirukan.

2. "Hasil minyak negara kita bukan diguna semata-mata untuk subsidi minyak sahaja.  Perlu diingatkan bahawa hasil untung Petronas telah merangkumi sebanyak 40% jumlah keseluruhan belanjawan negara. Dalam belanjawan negara, peruntukkan diberi kepada pembinaan hospital baru dan maintenance hospital sedia ada, subsidi untuk minyak kenderaan dan minyak masak, gula, sekolah, pembinaan jalan raya dan lain lain."

Sekali lagi angka yang diutarakan diatas adalah tidak benar. Berikut hasil yang disumbangkan Petronas kepada kerajaan: 



Lihat angka yang diambil daripada laporan pendapatan persekutuan 2012. Hasil yang disumbang Petronas merangkumi Cukai Pendapatan Petronas RM26bil, Duti Eksport Minyak Mentah RM2bil, Royalti Petroleum RM5bil dan dividen Petronas RM30bil menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan Petronas kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM63bil. Berbanding perbelanjaan persekutuan sejumlah RM250bil (rujuk teks ucapan bajet 2013), sumbangan Petronas untuk perbelanjaan kerajaan adalah pada kadar 25% bukan 40% seperti yang dinyatakan di artikel di atas. Untuk pengetahuan saudara juga pembinaan jalan dan hospital bukanlah dikira subsidi dibawah perbelanjaan negara, ia termasuk didalam kategori perbelanjaan pembangunan (development expenditure) [rujuk anggaran perbelanjaan persekutuan].

3. "Mungkin ada yang tertanya mengapa dengan untung Petronas yang meningkat dengan mendadak, harga minyak tidak turun? Pertama sekali, sebab untung Petronas meningkat dengan mendadak bermula tahun 2008 adalah disebabkan oleh peningkatan harga pasaran minyak. Peningkatan untung yang mendadak turut dialami syarikat minyak antarabangsa seperti Shell dan Exxon Mobil. " 

Perenggan diatas saya anggap satu perbandingan yang tidak berasas dan tidak berada dalam ruang konteks. Jika artikel diatas cuba menyatakan mengapa Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara Arab mengapa Petronas dibandingkan Exxon Mobil dan Shell. Walaupun ketiga-tiga syarikat minyak ini adalah syarikat multinasional, kita perlu tahu bahawa Petronas adalah 100% hak milik nasional manakala Exxon Mobil dan Shell pula syarikat awam yang tersenarai di New York Stock Exchange & London Stock "Exchange. Exxon Mobil & Shell juga merupakan dua syarikat terbesar dunia dari segi hasil (revenue) tahunan [rujuk Fortune500]. Perbandingan dengan Petronas adalah perbandingan tidak adil. 

4.  "Ini adalah penting supaya kita tidak terjadi seperti Rusia di mana syarikat minyak Gazprom, yang ketika harga minyak tinggi membelanja dengan mewah sampai membeli syarikat media dan sebagainya. Sejurus harga minyak pasaran dunia menjunam, Gazprom mengalami krisis kewangan dan Rusia pula mengalami cabaran ekonomi kerana selama ini bergantung hanya kepada eksport minyak."

Fakta diatas tentang Gazprom syarikat minyak & gas milik Russia adalah tidak tepat. Gazprom tidak pernah mengalami krisis kewangan atas sebab kejatuan harga minyak. Masalah Gazprom berkisar tentang masalah pemilikan renteten penswastaan oleh bekas Presiden Russia Borris Yeltsin dan pemiliknegaraan semula Gazprom apabila Vladimir Putin menjadi Presiden Russia. Masalah ini berpunca daripada perang proksi antara kerajaan dan golongan oligarki di Russia. Benar harga minyak global menurun tetapi keuntungan Gazprom ditampung harga gas asli yang kekal stabil. [Rujuk artikel tentang Gazprom di mana-mana, Google pun boleh]

5. "Sudah tentu bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada hasil minyak sendiri sebagai subsidi. Kalau kita berbelanja diluar kemampuan kita dan Petronas digunakan untuk subsidi minyak supaya setaraf dengan Saudi Arabia, ini akan membawa masalah pada masa depan."

Untuk makluman subsidi petrol dan diesel di negara kita berada paras minimum sejak tahun 2009. Dibawah amalan baru kerajaan segala pemberian subsidi tunai seperti BR1M, BB1M, tepung, gula, minyak dan beras kini diletakkan dibawah perbelanjaan subsidi bahan api seperti yang dinyatakan laporan ekonomi 2012 oleh Perbendaharaan Negara: 
Jadi angka RM20bil setahun yang digembar gembur sebagai angka subsidi petrol & diesel di pam minyak adalah tidak benar sama sekali. Jika termasuk jumlah subsidi tunai BR1M, BB1M, tepung, gula, beras dan minyak sudah tentu subsidi petrol & diesel berada pada kadar yang minimum. 

Sejak akhir 2008 harga minyak dunia menurun dan sekarang berada pada paras purata seperti dibawah: 

Purata harga setong minyak mentah adalah RM300. Ini bermakna kadar subsidi petrol & diesel tidak tinggi berbanding jumlah subsidi tunai dan subsidi barangan asas yang dinyatakan diatas. Angka subsidi petrol, diesel, LPG dan bantuan tunai yang lain boleh dirujuk di anggaran perbelanjaan persekutuan seperti dibawah: 

Pada 2012 RM17bil dibelanja untuk subsidi dibawah kategori sama dan pada 20 dijangka RM20bil akan dibelanjakan, kenaikan RM3bil ini sudah semestinya disebabkan oleh bayaran tunai seperti BR1M dan sebagainya.


BERPOLEMIK SECARA JUJUR

Untuk berpolemik dengan matang kita seharusnya terlebih dahulu jujur dengan angka dan fakta yang dikemukakan untuk mengelak kekeliruan tanpa asas oleh pembaca. Fakta yang menyeleweng dan terpesong sangat berbahaya kerana ia menjadi bahan rujukan dan pemahaman kebanyakan pembaca yang membaca artikel kita. Berpolemik perlu dengan angka dan fakta yang benar dari sumber yang benar agar mesej sebenar dapat disampaikan kepada semua. Marilah berhujah dengan jujur dan ikhlas bukan semata-mata untuk mengaburi mata pembaca dengan niat mematahkan hujah lawan yang lemah. Saya mengakui perbandingan Malaysia dengan negara Arab adalah kerja tidak bijak, tetapi ia perlu diiringi dengan fakta  & angka sebenar.





No comments:

Post a Comment