Wednesday, April 24, 2013

Kenapa Melayu-Islam Perlu Undi Pakatan Rakyat Dalam PRU13?

Oleh : Juwaini Abdul Rahman


Salah satu kerisauan terbesar bangsa Melayu (yang secara perlembagaan juga adalah Muslim) di Malaysia dalam pilihanraya adalah bila mereka dimomokkan dengan idea bahawa kuasa Melayu di negara ini akan terhakis.

Dalam pilihanraya kali ini, di peringkat parlimen, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 133 orang calon berbangsa Melayu (termasuklah Jawa, Mamak, Mendeling dan sebagainya). Pakatan Rakyat (PR) pula mempertaruhkan 145 orang calon berbangsa Melayu.


Data diambil sepenuhnya dari laman SPR. Sila rujuk jika mahu buat semakan http://www.spr.gov.my/


Dari segi angka, mana lebih besar? 133 atau 145? Sudah pastilah 145. Atas logik angka tersebut, kita dapat membuat rumusan bahawa kuasa Melayu akan lebih kuat kalau kita menyokong Pakatan Rakyat. Tulisan ini sudah tamat.

Sekian.

Kenapa anda masih membaca? Artikel ini sudah tamat.

Ada yang kata, analisa sedemikian begitu simplistik.

Baiklah, kalau analisa angka sebegini dianggap simplistik, mengapa ada orang Melayu yang begitu mudah untuk bersetuju bila akhbar dan TV membuat rumusan simplistik dengan menyatakan bahawa kuasa Melayu akan terhakis bila PR memegang tampuk kuasa?

Dalam kempen PRU13 ini, banyak jenis kempen berbau perkauman yang dapat kita perhatikan. Macam macam dongeng dan karut marut timbul dari kepala otak manusia yang sentiasa mahu mengapi-apikan bara perkauman.

Ada yang kata bila PR menang, agama rasmi akan ditukar kepada agama Islam. Mahu tipu siapa? Penganut Kristian di Malaysia tidak sampai 12% mengikut angka terakhir yang saya baca. Bagaimana mungkin agama rasmi Malaysia ini akan bertukar kepada penganut yang tidak sampai 12% dari penduduk Malaysia?

Kalau ada yang boleh percaya dengan hujah simplistik 12% penganut boleh tukar Kristian jadi agama rasmi Malaysia, kenapa ada yang tidak percaya bila saya kata 142 calon Melayu bakal memastikan kuasa Melayu di Malaysia menjadi bertambah kuat?

Ada banyak lagi dongeng tentang PR yang disebarkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan kepada PR sekaligus menjauhkan undi dari mereka. Untuk huraian yang lebih baik tentang isu ini, anda boleh baca tulisan pengamal undang-undang, Encik Syahredzan Johan di Sinar Harian di sini.

Saya tidak suka berhujah dari sudut pandang perkauman kerana perkauman adalah satu hujah yang dangkal dan mudah dipatahkan. Namun saya juga memahami situasi real-politik di Malaysia yang mana komposisi kaum masih lagi relevan. Memahami kerisauan Melayu-Muslim Malaysia tentang isu inilah maka saya menjawab ketakutan tersebut dengan rasional angka.



Tujuan saya menulis hanyalah untuk menolak fundamental dan asas hujahan BN yang mengatakan bahawa kuasa Melayu dan nilai nilai Islam akan terhakis jika PR memegang tampuk kekuasaan.

Kalau ada yang berhujah sebegini di depan mata anda, cukup sekadar anda tanyakan, antara 145 dengan 133, mana yang lebih banyak?


Akhir kata, mengundilah dengan bijak. Jika anda mahu kuasa Melayu lebih kuat dan terjamin di Malaysia, undilah pihak yang menawarkan lebih banyak calon Melayu, iaitu PR.

Statistik lain yang tidak kurang pentingnya seperti di bawah. Kredit kepada  yang bertungkus-lumus menyediakan statistik ini




p/s: Antara 133 dengan 145, mana lebih banyak?


Artikel ditulis oleh Juwaini atau lebih dikenali sebagai  di dunia kicauan twitter.

No comments:

Post a Comment