Saturday, April 6, 2013

MENGUNDILAH

MENGUNDILAH



Oleh : Juwaini Abd Rahman

Hari ini saya mahu bercerita tentang pengalaman saya pada pagi 8 Mac 2008.

Kenapa 8 Mac 2008? Kerana tarikh tersebut adalah tarikh pilihanraya ke 12 dan kali pertama saya berpeluang mengundi. Tempat mengundi tidak jauh dari rumah ibu bapa saya. Sekadar beberapa minit perjalanan dengan menaiki kereta. Tanpa mandi, sekadar mencuci muka, saya dan ahli keluarga lain yang boleh mengundi terus bergegas ke pusat pengundian. Pusat mengundi saya di Sekolah Kebangsaan Tepus kalau tidak salah di ingatan saya.

Parlimen saya mengundi adalah di Parit, DUN pula di Belanja.
Ketika kami sampai, orang masih tidak berapa ramai. Pondok panas PAS kelihatan lengang. Hanya ada seorang dua petugas. Beberapa puluh meter dari pondok panas PAS, ada pondok panas Barisan Nasional. Pondok panas mereka lebih meriah. Ada kelihatan nasi bungkus dan air kotak. Yang ada di pondok panas PAS hanyalah botol air mineral bersaiz kecil. Kurang bajet barangkali. Jam ketika itu barangkali pukul 9 lebih. Matahari masih belum meninggi dan cuaca masih redup.

Tibanya kami di tempat mengundi, ada seorang nenek tua berkerusi roda yang ditolak barangkali oleh anak atau cucunya. Nenek tersebut meminta bantuan dari petugas pusat mengundi untuk membantu beliau mengundi. Buta huruf barangkali.
Seperti dijangka, nenek tersebut meminta petugas pilihanraya tersebut tolong memangkah parti kapal layar. Parti kapal layar merupakan simbol Barisan Nasional ketika masih bernama Perikatan. 

"Makcik nak pangkah kapal layar. Kapal layar baik. Zaman Tun Razak dulu deme (mereka) bagi macam-macam barang ke rumah..." 

demikianlah secara ringkas dialog nenek tersebut. Apa yang saya cuba sampaikan di sini?

MENGUNDILAH

Ketika satu Malaysia sedang kecoh tentang pilihanraya umum ke 13 (PRU 13), ada sesetengah golongan yang mengambil keputusan untuk tidak mengundi. Mereka memberikan 1001 alasan untuk tidak mahu mengundi. Kononnya kedua-dua belah pihak sama teruk. Kononnya mereka tidak rasa satu undi mereka akan mengubah apa-apa dan macam-macam lagi alasan lain.

Saya tidak mahu berdebat tentang benar atau salahnya hujah mereka ini kerana ini adalah keputusan mereka. Cuma saya fikir, mereka harus mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak mengundi.

Undilah Barisan Nasional, kalau anda rasa mereka lebih baik dari lawan mereka. 

Undilah Pakatan Rakyat, kalau anda rasa mereka kurang jahat berbanding lawan mereka.

Buatlah undi rosak kalau anda rasa kedua-dua pihak sama jahanam.
Yang penting, jangan sia-siakan nilai satu suara yang diberikan kepada anda.
Kaum wanita berjuang beratus-ratus tahun sebelum diberi hak mengundi. Begitu juga dengan golongan minoriti kulit hitam di serata dunia. Kita yang sebaik umur 21 tahun mendapat peluang menentukan halatuju negara, dengan mudah melepaskan peluang tersebut atas 1001 alasan yang dangkal dan tidak munasabah.

Fikirkan kebarangkalian bahawa kuasa satu undi yang kita ada itu mungkin akan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memenangkan parti mereka. Daripada satu undi itu disalahgunakan, lebih baik kalau ianya dirosakkan, bukan?

gambar hiasan. Sumber : flickr

Kalau semua hujah di atas masih belum meyakinkan anda untuk turun mengundi, anda bandingkan diri anda dengan nenek dalam cerita di atas. Anda sihat tubuh badan, nenek tersebut terpaksa bergerak guna kerusi sihat. Anda masih muda dan kuat, nenek tersebut sudah tua dan terpaksa dibantu. Anda berpendidikan tinggi, nenek tersebut membaca pun tidak pandai. Kalau nenek tua tahu menggunakan haknya untuk memilih kerajaan "kapal layar" yang dia percaya, apa alasan kita untuk tidak proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab?


MENGUNDILAH

Artikel ini ditulis oleh Juwaini atau dikenali sebagai @abamjoni di dunia kicauan twitter.

No comments:

Post a Comment