Monday, April 22, 2013

Ikan Ataupun Kail

Oleh : Azhar Mohamed Salleh



Sebagai warga sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tidak kira anda adalah pekerja industri, pegawai kerajaan, ahli korporat, petani, peniaga mahupun surirumah anda mempunyai hak untuk memilih bagaimana dasar kerajaan untuk memimpin negara. Ini dilakukan dengan proses pengundian dalam pilihanraya seterusnya melantik wakil-wakil pemimpin yang bergabung membentuk sebuah kerajaan negeri dan pusat. Pada ketika ini, sedang hangat bahang pilihanraya umum PRU 13 dirasai dengan kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berkempen untuk memenangi hati pengundi di setiap pelusuk kota dan daerah.




Setelah sekian lama rakyat berteori dan berteka teki, akhirnya pembubaran parlimen diumumkan maka bermulalah kempen dengan siri ceramah dan jelajah parti yang bertanding.  Berkempen merupakan mekanisma penting bagi parti dan calon sebelum pilihanraya untuk memastikan agenda, manifesto dan matlamat perjuangan dapat disampaikan kepada pengundi disetiap kawasan. Fitnah, janji manis, penipuan, serangan  peribadi dan konspirasi tidak terkecuali menjadi asam rencah dalam usaha meraih kepercayaan dan undi. Khusus bagi mereka yang masih belum mempunyai pendirian politik inilah masa anda membuat penilaian dengan akal fikrah pemberian tuhan. Turunlah mendengar ceramah kempen, membaca  serta buatlah kajian anda tanpa dipengaruhi oleh orang lain termasuk ahli keluarga sendiri. Harus diingatkan bahawa anda tidak wajib mengundi parti pemerintah terdahulu hanya kerana anda seorang penerima BR1M mahupun sebarang bentuk bantuan, imbuhan, pingat gelaran juga tender dan kontrak kerajaan. Bagi mereka yang bekerja di sektor kerajaan serta yang berkaitan, khidmat yang anda berikan adalah dari pihak kerajaan untuk negara kita. Sekiranya pertukaran kerajaan berlaku sesudah PRU13 ini, tidak ada apa yang perlu anda khuatirkan kerana tugas anda sebagai kakitangan kerajaan masih tetap sama diperlukan. Adalah menjadi asas dalam sistem demokrasi rakyat mampu membezakan antara parti dan tanggungjawab kerajaan kepada negara.



Muat Turun Manifesto PR
di sini 
Muat Turun Manifesto BN
di sini



BN dan PR masing-masing telah mengumumkan manifesto parti untuk pengundi agar diberikan mandat kepada mereka bagi mentadbir negara. Kedua-duanya memberikan janji yang sangat manis didengar dan umumnya penganalisis menilai ianya adalah rasional dan tiada yang mustahil. Masa kan tidak, penurunan harga kereta dengan pengurangan cukai eksais oleh PR yang mulanya di kecam bakal mem'bangkrap'kan juga tersenarai dalam manifesto BN tidak lama kemudian. BN dan PR secara umum bersama menekankan aspek utama rakyat dengan menjanjikan skim gaji minimum untuk pekerja swasta, skim baru perkhidmatan awam, meningkatkan peluang pekerjaan serta penyediaan rumah mampu milik. Meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan, pendidikan, pengangkutan awam serta pembangunan modal insan juga terkandung dalam manifesto kedua-dua parti. Walaupun sekali imbas ia seakan serupa sahaja dimana hasilnya nanti rakyat bakal menikmati atau mendapat keuntungan, namun sebenarnya agak jauh berbeza. 



Manifesto BN dilihat amat prihatin dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung rakyat oleh tekanan ekonomi dengan menawarkan BR1M, baucher buku, bantuan persekolahan serta penambahan kedai dan klinik 1Malaysia sebagai teras utama. Ini memperlihatkan bahawa ianya adalah pemberian kerajaan secara langsung serta meningkatkan kebergantungan rakyat terhadap kerajaan seterusnya menghilangkan keupayaan mereka. Manakala PR menjadikan penurunan harga kereta, penghapusan tol, pemansuhan PTPTN dan penurunan harga minyak serta menstruktur semula cukai pendapatan sebagai komponen utama mereka dalam usaha menangani beban rakyat. 

PR dilihat lebih menggalakkan rakyat untuk menikmati kos sara yang lebih efisyen serta meningkatkan kualiti hidup secara  menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat. Dalam menuju negara maju, rakyat seharusnya berkebolehan untuk mencatur sendiri ekonomi mereka sendiri tanpa perlu mengharap ihsan dengan segala macam bentuk bantuan dari kerajaan. Sekiranya rakyat masih dibiarkan menanti bantuan dari kerajaan,maka jelaslah kita masih lagi berada dalam kelas dunia ketiga serta mengekalkan corak perhambaan dalam bentuk yang baru. 


Dan apa yang amat menyedihkan lagi, anak bangsa melayu khususnya, telah hilang daya upaya saing mereka sesudah negara 55 tahun mencapai kemerdekaan. Sedar atau tidak, jaminan keistimewaan dan bantuan yang tidak putus-putus inilah mencorakkan nilai upaya individu yang tertanam dalam diri bangsa melayu. Tidak sekali perlu kita mempertikaikan keistimewaan yang diberi kepada bangsa melayu, sebaliknya mekanisma yang digunapakai dalam mengimbangi ekonomi ini jelas sama sekali telah gagal.

Pesanan untuk para pengundi nanti agar menilai semula aspek khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi secara menyeluruh sebelum anda memilih. Renungkan bentuk kerajaan mana yang anda inginkan untuk memacu negara, susuk mana yang memimpin negara juga corak ekonomi serta mangambilkira bentuk pengamalan demokrasi yang disemaikan. Anda selayaknya berhak tentukan samaada masih ingin menerima dan mengharap bantuan atau mahukan perkongsian ekonomi jangka panjang seterusnya mencorak ekonomi anda sendiri. Jika rakyat sebagai penerima manafaat, memangkah undi itu bolehlah kita umpamakan sebagai pengemis yang diberi pilihan untuk memilih ikan ataupun kail.


No comments:

Post a Comment