FELDA
& MASA DEPAN
oleh : Norman Masdar
“Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) (bahasa
Inggeris: Federal
Land Development Authority (FELDA))
adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang
miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka.”
Petikan diatas diambil daripada laman Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Lembaga_Kemajuan_Tanah_Persekutuan yang
menerangkan tujuan asal penubuhan FELDA. Umum mengetahui bagaimana FELDA telah
tersasar daripada matlamat penubuhannya dalam meningkatkan taraf ekonomi
penduduk luar Bandar hari ini. Niat murni Perdana Menteri ke-2, Tun Razak
membantu masyarakat luar Bandar diseleweng pemimpin-pemimpin Negara masa kini
yang mempunyai agenda tersembunyi disebalik penyenaraian Felda Global Ventures
Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia akhir bulan Jun 2012.
Penyenaraian FGVH bernilai RM6.08bil yang
dilaung-laungkan sebagai penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas
penyenaraian Facebook di New York Stock Exchange (NYSE) dikatakan membawa FELDA
setapak lebih maju kehadapan di arena perniagaan antarabangsa. Persoalannya
benarkah penyenaraian ini memberi faedah langsung kepada peneroka-peneroka dan
keluarga? Apakah nilai tambah & kemajuan kepada taraf hidup ekonomi
peneroka meningkat selepas penyenaraian FGVH? Kemanakah perginya wang RM6.08bil
yang diraih di pasaran saham setelah FGVH disenaraikan?
Berikut saya senaraikan mengapa penyenaraian FGVH
ini adalah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional:
1. Penyenaraian
dilakukan tanpa rundingan/penerangan kepada stakeholders utama iaitu peneroka
FELDA.
2. Agensi
penganalisis saham antarabangsa telah memberi amaran tentang usia pokok-pokok
kelapa sawit dan kesan ke atas kewangan FELDA disebabkan kos penanaman semula
yang mengambil masa 3-5 tahun untuk matang.
3. Prestasi
FELDA kali ini bukan lagi bergantung semata-mata kepada risiko harga kelapa
sawit, malah bergantung kepada risiko pasaran, makroekonomi & sentimen
pelabur.
Sumber : Bloomberg |
Ditambah dengan harga kelapa sawit yang merudum
jatuh disebabkan penurunan permintaan dari Negara-negara luar akibat kesan
kemelesetan ekonomi global, harga saham FGVH akan terus lemah sejajar dengan
sentimen pasaran. Sejak disenaraikan selain daripada hari pertama dimana harga
saham FGVH memuncak kepada RM5.55, ia terus merudum sehingga mencecah harga dibawah
paras harga penyenaraian. 800 unit saham yang ditawar kepada peneroka melalui
pembiayaan bank komersil tidak membawa keuntungan langsung kepada peneroka lalu
memaksa kerajaan untuk mengambilalih hutang peneroka kepada bank-bank ini.
Bukankah lebih mudah jika kerajaan sahaja yang menawarkan pinjaman tanpa faedah
kepada peneroka-peneroka untuk membeli saham FGHV? Berapakah keuntungan
bank-bank dari segi caj faedah, caj pengurusan urusan belian saham FGVH?
Peneroka rugi, FELDA rugi, kerajaan rugi, bank komersil dapat duit percuma.
Selain daripada harga saham yang semakin merudum,
struktur FELDA selepas FGVH disenaraikan juga berubah. Sebelum penyenaraian
Koperasi Permodalan Felda (KPF) menguasai 51% Felda Holdings Berhad, kini FELDA
Holdings dikuasai 100% oleh FGVH dan KPF hanya memiliki kepentingan dalam FGVH
yang berubah-ubah mengikut harga saham semasa. Pengstrukturan ini merugikan KPF
yang terdiri daripada peneroka-peneroka dan kakiaangan FELDA disebabkan
pemilikan terhadap Felda Holdings Bhd yang semakin berkurang. Sebelum ini KPF
konsisten membayar dividen hampir 15%-20% setiap tahun. Selepas penyenaraian
FGVH sudah pasti bayaran dividen akan mengikut prestasi saham semasa FGVH. Jadi
tidak hairanlah mengapa Isa Samad sebelum ini
beria-ria ingin menjadi pengerusi lembaga pengarah KPF walaupun beliau
tidak pernah menjadi kakitangan felda sehinggakan Menteri yang menjaga urusan
koperasi sanggup meminda akta koperasi demi melantik Isa Samad menjadi
pengerusi lembaga pengarah KPF.
Karya Ronasina. Dapatkan buku beliau, Negaraku yang kini di pasaran. |
Memikir sejenak, benarkah kerajaan benar-benar
ingin membantu peneroka meningkatkan taraf ekonomi mereka? Tahukah anda sejak
kebelakangan ini Felda Plantations Sdn Bhd yang menguruskan urusan jual-beli
kelapa sawit dengan peneroka sering disaman oleh peneroka kerana memanipulasi harga
kelapa sawit iaitu membeli kelapa sawit dengan harga murah daripada peneroka
berbanding harga pasaran. Keringat, jerih perih dan susah payah peneroka
menanam, membaja dan mengutip buah kelapa sawit disia-siakan pihak kerajaan
dengan menipu peneroka yang tidak sedar tentang harga sebenar kelapa sawit di
pasaran luar. Banyak lagi kes-kes penipuan terhadap peneroka baik yang sudah
menang, sedang berlangsung atau akan difailkan kemudian dimahkamah.
Tahun lepas Malaysia digemparkan dengan berita
keluarga menteri diberi pinjaman mudah RM250 juta untuk menjayakan projek
menternak & membekal lembu sebagai perancangan untuk menambah daging lembu
untuk bekalan tempatan seraya mengurangkan kebergantungan terhadap daging
import. Kenapakah kerajaan tidak terfikir untuk memberi projek tersebut kepada
peneroka-peneroka FELDA yang berpengalaman? Kenapakah diberi kepada keluarga
menteri yang jelas tiada pengalaman membela lembu? Hasilnya RM250 juta
digunakan untuk membeli kondominium, kereta mewah, membayar gaji puluhan ribu
kepada bapa, anak-anak menteri dan sebagainya. Bukankah lebih baik jika
pinjaman RM250 juta ditawarkan kepada peneroka-peneroka yang sudah sedia
berpengalaman dan mempunyai tanah yang luas serta berpotensi dijadikan kawasan
ternakan? Siapakah yang diutamakan di sini? Peneroka-peneroka sebagai rakyat
biasa atau menteri dan keluarga selaku kroni kerajaan?
Masyarakat Felda wajib mengubah pandangan dan harapan mereka terhadap Barisan Nasional |
Dalam usaha membeli undi peneroka FELDA yang
sejak dulu menjadi kawasan undi selamat UMNO Barisan Nasional, kerajaan memberi
imbuhan tunai kepada isteri dan anak-anak peneroka, menjanjikan rumah mampu
milik kepada generasi kedua FELDA dan kolej komuniti kepada anak-anak muda
FELDA. 50 tahun memanipulasi peneroka baru sekarang mahu menjaga kepentingan
anak-anak muda FELDA. Kerana apa? Kerana takut kehilangan jumlah besar undi
peneroka kepada parti pembangkang. Percayalah usaha membeli undi ini hanya
dilakukan 5 tahun sekali dan bukanlah kerana betul-betul ingin menjaga
kepentingan peneroka dan keluarga. Bayangkan berapa keuntungan Felda
Plantations Sdn Bhd membeli harga kelapa sawit dengan murah daripada peneroka
selama ini?
Saya menyokong usaha ANAK yang diketuai saudara
Mazlan Aliman untuk menyedarkan warga peneroka FELDA tentang kebobrokan
kerajaan sekarang. Peneroka-peneroka FELDA perlu diselamatkan daripada terus
dimanipulasi oleh orang lain. Hak-hak perlu dikembalikan kepada mereka kerana
mereka berhak ke atas apa yang telah diusahakan oleh mereka sejak
berpuluh-berpuluh tahun.
Semoga di tahun 2013 ini akan ada sinar baru
kepada semua rakyat Malaysia umumnya dan peneroka-peneroka FELDA khususnya.
Cukuplah lebih 50 tahun dipergunakan. Kita berhak untuk menentukan masa depan
yang lebih baik untuk anak-anak dan Negara kita.
Nukilan : Norman (Norman aktif berkicau di twitter. Ikuti beliau di twitter : @Norman_G)
No comments:
Post a Comment