Wednesday, April 3, 2013

Turunkan Harga Kereta: Negara Bakal Bankrap?


Turunkan Harga Kereta: Negara Bakal Bankrap?

Oleh: Norman Masdar

Sumber : FB Rafizi Ramli







Dasar Automotif Nasional seperti yang sedia maklum dirangka atas asas melindungi kepentingan industri automatif tempatan. Di bawah dasar ini kerajaan memberi bantuan penuh kepada Proton, Perodua dengan dana, geran R&D dan mengenakan cukai kepada kereta import. Harga jualan kereta import diatas jalan (OTR) dikenakan cukai jualan, duti import & duti eksais. Manakala kereta tempatan yang dijual dikenakan cukai jualan dan duti eksais yang jauh lebih rendah berbanding kereta import.






Kadar cukai jualan adalah 10%, duti import sebanyak 30-40% dan duti eksais sebanyak 75%-105% bergantung pada kapasiti enjin dan model kenderaan. Anggaran hasil kerajaan melalui duti import kereta pada tahun 2012 adalah RM755 juta manakala duti eksais RM7.143 billion. Angka tersebut boleh disemak di laman web Perbendaharaan Negara Kementerian Kewangan.








Ini bermakna anggaran hasil duti import + duti eksais kereta import kepada kerajaan adalah RM7.8bil bagi tahun 2012. Pakatan Rakyat melalui Manifesto Rakyat mencadangkan penurunan duti eksais kereta import secara berperingkat dlm tempoh masa 5 tahun.
Bermakna anggaran kehilangan hasil daripada pengurangan duti eksais setiap tahun adalah RM1.4 billion dan diganda setiap tahun sehingga duti eksais terhapus sepenuhnya selepas 5 tahun. Dijangka pada tahun 2018 tiada lagi duti eksais akan dikenakan terhadap pembelian kereta tak kira model dan saiz enjin.



RM7 billion hasil tahunan kerajaan bukanlah suatu angka yang perlu dibimbangkan kerana pengurangan duti eksais ini dijalankan secara berperingkat dan RM2bil (anggaran) setiap tahun tidak mencecah 2% hasil pendapatan negara melalui cukai, royalti dan dividen yang dikutip kerajaan setiap tahun. DIsamping itu Pakatan Rakyat juga bercadang melelong Approved Permits (AP) kepada awam dan dijangka meraih RM2 billion setiap tahun hasil daripada bidaan umum tersebut. Selama ini kerajaan memberi AP kepada keluarga menteri, ahli perniagaan yang mesra-UMNO dan sebagainya lalu mengakibatkan kerajaan kehilangan potensi pendapatan dan aliran tunai. 



Saya ada terbaca tentang hujahan mereka daripada UMNO mengatakan harga kereta di Jepun dan SIngapura juga mahal. Hujahan ini adalah dangkal dan cetek kerana perbandingan dengan Jepun dan Singapura adalah tidak berada dalam konteks dan menyimpang. Harga kereta di Jepun mahal kerana mereka menetapkan undang-undang mewajibkan kenderaan diperiksa dua tahun sekali dan mereka juga mengenakan cukai karbon untuk melindungi alam sekitar. Lain pula hal di Singapura, negara itu sudah kita sedia maklum sangat kecil dan tidak mempunyai ruang untuk menampung lambakan kereta di dalam negara mereka, maka kerajaan di sana mengenakan cukai yang tinggi dan polisi ‘scrap car’ selepas 5 tahun sebagai usaha untuk menggalakkan rakyat tidak menggunakan kereta. Tambahan lagi kedua negara itu mempunyai sistem pengangkutan awam yang sangat efisien dan rakyat negara mereka boleh hidup tanpa pengangkutan sendiri. Jadi cukai kenderaan yang tinggi di negara itu sekurang-kurangnya dapat diterjemahkan kepada sistem pengangkutan yang baik dan disegani.  Akhir sekali, pendapatan per kapita rakyat negara-negara ini jauh meninggalkan kita yang dalam masa yang sama mempunyai khazanah bumi yang lebih banyak daripada mereka. Pengkritik tidak pula melihat akan perkara ini bila berhujah dan hanya melihat pada cukai yang tinggi pada kenderaan di sana seolah setuju untuk terus membeli kereta dengan harga yang mahal.


Ada juga pihak yang membangkitkan kerisauan terhadap industri automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua apabila duti eksais dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Untuk pengetahuan semua, sudah hampir 20 tahun industri automotif tempatan dilindungi oleh kerajaan melalui Dasar Automotif Nasional. Melalui dasar perlindungan ini rakyat terpaksa menanggung kos melepas (opportunity cost) dengan terpaksa membayar lebih untuk membeli sebuah kereta yang member nilai optimum atas wang yang dibelanjakan. Sudah tiba masanya Proton berdikari dan berinvovasi dengan sendiri. Malah kini Proton dimiliki oleh DRB Hicom milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary maka kerajaan tidak perlu lagi menyediakan tongkat kepada Proton untuk bersaing di pasaran bebas. Apabila polisi turunkan harga kereta dilaksanakan, saya yakin Proton akan terdidik untuk berdaya saing dan lebih inovatif berbanding di masa mereka menerima perlindungan kerajaan.


Selain daripada itu terdapat juga kerisauan tentang penambahan kadar kesesakan jalanraya apabila polisi turunkan harga kereta iniu dilaksanakan. Hujahannya adalah apabila semakin ramai mampu memiliki kenderaan, ia akan menyumbang kepada kesesakan jalanraya yang sudah sedia membebankan pengguna jalanraya. Kesesakan lalulintas pula bukanlah hanya disebabkan kebanjiran kereta di jalanraya semata-mata. Ia juga disumbang oleh perancangan bandar yang tidak rapi dan sistem pengangkutan awam yang tidak efisyen. Juga satu kenderaan hanyalah boleh dipandu oleh seorang pemandu sahaja. Tidak timbul isu pembelian kereta oleh individu akan menambah jumlah kereta di atas jalanraya.




Pakatan Rakyat juga komited menambahbaik dan meluaskan jaringan pengangkutan awam didalam Bandar. Pengangkutan awam yang efisyen dan sistematik akan mengurangkan kadar kesesakan jalanraya pada jangka masa panjang.












Turunkan harga kereta akan memberi kesan sampingan yang baik (spillover effects) kepada ekonomi seisi rumah & negara. Bebanan kewangan individu bujang & berkeluarga membayar pinjaman kereta dapat dikurangkan lalu menambah pendapatan boleh guna mereka. Pendapatan boleh guna (disposable income) yang bertambah akan dibelanjakan untuk tujuan lain atau disimpan untuk pelaburan masa hadapan. Ini akan merancakkan ekonomi negara secara tidak langsung dengan peningkataan permintaan domestik (domestic demand) lalu menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam kasar negara (GDP).

Turunkan Harga Kereta adalah wajar & tidak akan membawa kesan negatif yang membahayakan ekonomi negara malah memberi faedah berpanjangan kepada ekonomi seisi rumah khususnya dan ekonomi negara umumnya. Pilihan kini ditangan anda, anda mahu sebuah kerajana yang membantu mengurangkan beban rakyat atau sebuah kerajaan yang membantu saudara mara, anak beranak, adik beradik dan kroni-kroni rapat. Fikir-fikirkan.

Sila tonton video penerangan dari Rafizi Ramli ini untuk keterangan lanjut 

Untuk keterangan penuh tentang kos bagi Manifesto Harapan Rakyat, anda boleh rujuk di sini


Artikel ini ditulis oleh Norman Masdar. Anda boleh ikuti beliau di Twitter @Norman__G

Editor:  @oskortos

2 comments:

  1. Macam mana pula mereka yang bandingkan dengan negara Eropah (Norway, England etc.) dalam hal cukai pendapatan yang mana boleh mencecah kepada 46% dan polisi insuran yang mahal disebabkan harga kereta yang murah dan pendidikan percuma?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pertama Norway menyediakan pendidikan percuma dan penjagaan kesihatan menyeluruh untuk semua rakyat. Cukai mereka tinggi dan harga kereta mereka tinggi kerana perkhidmatan awam mereka yang cukup mantap dan pengangkutan awam mereka berkelas dunia.

      Kedua England tiada hasil bumi yang banyak seperti Malaysia yang ada minyak mentah, kelapa sawit, gas, getah dan sebagainya.

      Ketiga. billion-billion khazanah negara dibazirkan, bocor dan tiris sekiranya ditampal, kita tak perlu naikkan cukai pendapatan untuk melaksanakan janji menurunkan harga kereta.

      Delete