Friday, April 12, 2013

Pendidikan Percuma: Pelaburan atau Bebanan?


Sebagai salah satu jalan mengurangkan bebanan seluruh lapisan masyarakat termasuk anak muda di Malaysia, Pakatan Rakyat berjanji memberikan pendidikan percuma kepada rakyat. Pakatan Rakyat menganggap pendidikan adalah hak rakyat dan tanggungjawab kerajaan. Janji ini pada luarannya nampak amat populis dan saya sendiri pada mulanya sangat skeptik dan tidak yakin ia mampu dilaksanakan sekiranya Pakatan menang pilihanraya umum yang akan datang. Saya akui janji di manifesto harapan rakyat nampak mudah & ringkas jadi saya mengambil inisiatif sendiri menyemak perbelanjaan IPTA yang boleh didapati di laman web perbendaharaan negara. Saya menemui beberapa angka menarik yang saya rasa saya patut kongsi kepada kawan-kawan supaya kita sama-sama boleh menilai adakah janji memberi pendidikan percuma ini janji yang tidak realistik atau sebenarnya ia memang mampu dilaksanakan?

Melihat video saudara Rafizi Ramli menerangkan bagaimana kerajaan akan menampung kos melaksanakan pendidikan percuma ini, saya akan cuba terjemahkannya dalam bentuk angka yang juga mengambil kira perbelanjaan mengurus IPTA di seluruh negara termasuk perbelanjaan mengurus politeknik dan kolej komuniti. Semua angka-angka ini diambil daripada laman web perbendaharaan negara di http://www.treasury.gov.my dan bukannya angka-angka rekaan saya.

Untuk melaksanakan pendidikan percuma ini, ada 4 komponen utama yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat iaitu:

1. Menghapuskan hutang PTPTN.
2. Menanggung yuran semester di IPT.
3. Memberi wang sara hidup RM5,000 setiap tahun.
4. Mewujudkan tabung pinjaman untuk pelajar di IPTS.

Berikutnya saya akan menghuraikan semudah yang mungkin bagaimana komponen-komponen janji pendidikan percuma ini dapat dilaksanakan.

1. MENGHAPUSKAN PTPTN

Pertamanya apabila Pakatan berjanji menghapuskan PTPTN bermacam-macam reaksi negatif diterima terutamanya di pihak kerajaan & pro-kerajaan. Kebanyakannya menentang membuta tuli mengatakan janji ini tidak realistik, pelajar tidak akan dapat menampung kos belajar, hutang kerajaan akan meningkat dan sebagainya. Malah kementerian pengajian tinggi melalui PTPTN pernah membeku pinjaman PTPTN kepada pelajar di UNISEL hanya kerana ingin membuktikan tanpa PTPTN sebuah universiti tidak akan dapat beroperasi, pelajar tidak dapat membayar yuran dan janji Pakatan ini janji yang tidak munasabah. Mereka lupa bahawa pendidikan ini jatuh dibawah tanggungjawab kerajaan pusat bukan kerajaan negeri. Tapi benarkah meghapuskan PTPTN ini tidak realistik dan membebankan kewangan kerajaan? Mari kita lihat:


Tahukan anda semua selama ini PTPTN memang telah menjadi beban kewangan kerajaan kerana PTPTN berhutang kepada bank komersil & KWSP untuk menampung permintaan pinjaman pelajar. Hutang PTPTN ini dijamin oleh kerajaan sepertimana ditunjukkan diatas di dalam laporan ketua audit negara. Amalan menjamin hutang agensi kerajaan seperti PTPTN, Felda dan Mara adalah amalan biasa. Ini bermakna jika PTPTN tidak mampu membayar kembali hutang kepada bank, kerajaan terpaksa membayar jumlah hutang PTPTN itu sendiri. Mari lihat berapa hutang PTPTN yang dijamin oleh kerajaan pada tahun 2010 dan 2011: 


Pada tahun 2010 kerajaan menjamin jumlah hutang PTPTN sebanyak RM17bil dan meningkat sebanyak RM3.3bil kepada RM20.35bil pada tahun 2011. Jumlah ini dinyatakan didalam laporan audit negara dan dianggap sebagai liabiliti (beban) kepada kewangan kerajaan. Anda juga perlu tahu hutang PTPTN adalah hutang tertinggi diantara agensi kerajaan yang ditanggung: 
Rujuk kotak biru diatas berbanding agensi kerajaan lain hutang PTPTN adalah yang terbesar dan sentiasa meningkat setiap tahun manakala hutang agensi lain ada yang menurun & mendatar. Bukankah ini sememangnya membebankan kerajaan?  

Tahukah anda daripada RM30bil hutang PTPTN tidak sampai 10% pun bayarqan balik diterima oleh PTPTN? Sampai bilakah PTPTN mahu memberi pinjaman tanpa menerima bayaran balik dan mampukah PTPTN menanggung pertumbuhan kadar hutang yang meningkat saban tahun? Jadi apakah solusinya dalam keadaan puluhan billion terpaksa ditanggung kerajaan? 

Dengan itu Pakatan Rakyat mahu menghapuskan hutang PTPTN ini secara BERPERINGKAT-PERINGKAT dan bukan secara sekaligus. Hutang kepada bank komersil dan KWSP akan dikurangkan secara berperingkat mengikut perjanjian bersama institusi kewangan terlibat dalam tempoh jangka masa 15-20 tahun. Dianggar perbelanjaan membayar balik hutang ini termasuk kadar faedah hanya memerlukan RM2bil setiap tahun. RM 2bil untuk diambil daripada kantung kewangan negara bukanlah beban besar malah ia langkah baik untuk mengurangkan beban jaminan kerajaan terhadap hutang PTPTN ini. 

JUMLAH BELANJA TAMBAHAN TAHUNAN: RM2bil


2. MENANGGUNG YURAN SEMESTER DI IPT

Komponen kedua bagi melaksanakan pendidikan percuma adalah menghapuskan yuran semester pelajar di IPT. Menurut statistik bilangan pelajar yang menuntut di IPTA ada sejumlah hampir 500,000 pelajar semuanya (dibundar kepada 500,000 sbg angka maksimum). Mengambil kira yuran semester puratanya RM2,000 setiap tahun (ada semurah RM400 Uitm dan semahal RM1,500). Belanja menanggung yuran semester:

500,000 pelajar X RM2,000 yuran semester setahun = RM1bil/tahun.

Jadi RM1bil tambahan setiap tahun diperlukan untuk menanggung yuran semester pelajar. Apakah ini angka yang besar dan membebankan kewangan kerajaan? Mari kita semak perbelanjaan asal mengurus IPTA yang saya ambil daripada laman wen perbendaharaan negara: 


Rujuk kotak biru diatas perbelanjaan mengurus IPTA pada tahun 2011 adalah RM8.3bil dan anggaran pada tahun 2012 adalah RM7.5bil. Rujuk juga angka dibawah: 



Perbelanjaan mengurus IPTA secara puratanya tidak mengalami kenaikan mendadak setiap tahun. (Angka RM10bil adalah dicampur dgn belanja mengurus Malaysian Qualifications Agency sebanyak RM2.5bil). Belanja mengurus ini dibahagi kepada beberapa pecahan seperti emolumen(gaji pensyarah &staf univ), bayaran bekalan & perkhidmatan, belian aset dan lain-lain seperti ditunjukkan dibawah: 


Jika belanja mengurus IPTA adalah sebanyak RM7.5bil setiap tahun, tambahan RM1bil untuk menanggung yuran semester adalah tidak banyak dan tidak akan membebankan kerajaan. Ia tidak melebihi 10% daripada belanja asal mengurus IPTA seluruh negara.

JUMLAH BELANJA TAMBAHAN TAHUNAN: RM1bil


3. MEMBERI BANTUAN WANG SARA HIDUP RM5,000 SETIAP TAHUN.

Selama ini pelajar di IPT bergantung kepada PTPTN untuk menampung kos sara hidup belajar di IPT seperti membayar sewa rumah, pengangkutan ke fakulti, buku, fotostat dan sebagainya. Megambilkira pinjaman PTPTN sebanyak RM5,000 setahun kepada pelajar yang akan dihapuskan, kerajaan akan memberikan elaun sara hidup RM5,000 (RM2,500 tiap semester). Mengambilkira jumlah pelajar IPTA seramai 500,000 dan 150,000 di IPTS:

650,000 pelajar IPTA & IPTS X RM5,000 = RM3.25bil.

Juga angka RM3.25bil ini jika dibandingkan dengan perbelanjaan besar negara adalah angka yang kecil dan tidak signifikan berbanding RM250bil bajet tahunan kerajaan. Ia juga lebih baik kerana membantu pelajar mengurangkan beban dan tidak bergantung kepada PTPTN yang sedia membebankan pelajar dan juga kewangan kerajaan.

JUMLAH BELANJA TAMBAHAN TAHUNAN: RM3.25bil


4. MEWUJUDKAN TABUNG PINJAMAN UNTUK PELAJAR KE IPTS.

Untuk mengelakkan ada pelajar IPTS tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Pakatan Rakyat bercadang menubuhkan satu tabung pinjaman berjumlah RM450 juta setiap tahun untuk membantu pelajar di IPTS menampung yuran perbelanjaan mereka. Pada masa yang sama kerajaan akan terus berusaha menyediakan tempat-tempat di IPTA yang cukup untuk semua anak muda yang berkelayakan dan ingin melanjutkan pelajaran.

Selama ini kerajaan meluluskan permohonan membuka IPTS sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kualiti kursus yang ditawarkan. Kebanyakan pengusaha IPTS ini mengaut keuntungan daripada wang pinjaman PTPTN pelajar. Mari lihat berapa IPTS diluluskan kerajaan kebelakangan ini: 


Pada tahun 2010 kerajaan meluluskan 350 permohonan menubuhkan IPTS, 400 dan 450 kelulusan pada tahun 2011 dan 2012 masing-masing. Bagaimanakah IPTS ini boleh beroperasi? PTPTN adalah jawapannya. Tanpa PTPTN, kolej-kolej swasta ini tidak akan dapat hidup. Pendidikan didagangkan oleh mereka yang tamak dan ingin mengambil kesempatan lompang dasar pegajian tinggi di negara kita. Saya tidak menafikan ada IPTS yang bagus seperti MMU, Uniten, UTP dan lain-lain akan tetapi kita tidak boleh menafikan terlalu banyak IPTS ditubuhkan dan ada banyak berita kita dengar bahawa kebanyakan kolej ini tidak mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Kursus yang ditawarkan samada tidak sesuai menjadikan sijil/ijazah pelajar IPTS itu tidak laku di luar sana.

Dengan itu Pakatan berjanji menyediakan tempat secukupnya untuk menampung kemasukan pelajar-pelajar ke IPTA seraya mengurangkan kebergantungan kepada IPTS lalu mengekang kewujudan IPTS secara tak terkawal.

JUMLAH TAMBAHAN BELANJA TAHUNAN: RM450juta

Berapakah jumlah tambahan yang diperlukan untuk menampung polisi pendidikan percuma ini? 

Hapuskan PTPTN RM2bil, Tanggung Yuran Semester RM1bil, Elaun Sara Hidup RM3.25bil, Tabung IPTS: RM0.45bil.

RM2bil+RM1bil+RM3.25bil+RM0.45bil=RM6.7bil/tahun.

Berbanding bajet keseluruhan kepada Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM12bil, tambahan RM6.7bil ini bukanlah berganda dan tidak akan membebankan kewangan kerajaan. Perbelanjaan untuk pendidikan percuma adalah suatu pelaburan penting dan strategik untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam negara kita. Siapa kita untuk menafikan akses kepada pendidikan tinggi kepada mana-mana golongan rakyat?

Bukan semua rakyat dinegara kita bernasib baik. Ada yang miskin dan tidak mampu melanjutkan pelajaran kerana terpaksa membantu keluarga untuk hidup. Ada ibu-bapa yang jual-gadai tanah semata-mata untuk memastikan anak mereka berjaya di menara gading. Tambahan belanja ini akan dapat mengurangkan beban kewangan kepada ibu bapa pelajar dan dapat mengelakkan pelajar daripada memikir bebanan hutang berlebihan setelah tamat belajar nanti.

Ada juga saya terbaca di Twitter bagaimana mereka yang tidak bersetuju dengan pendidikan percuma ini adalah kerana polisi ini akan menyebabkan pelajar menjadi semakin malas dan tidak menghargai pendidikan setelah ia dipercumakan. Benarkah fakta ini? Bolehkah mereka menunjukkan kajian atau fakta empirik tentang pendidikan percuma tidak akan dihargai pelajar? Kalau ada saya pun mahu lihat. Kalau tak ada saya anggap ia hanya tanggapan umum ataupun mereka itu sendiri akan jadi malas apabila diberi sesuatu yang percuma.

Kita mahu beri peluang pendidikan supaya taraf hidup keluarga dan masyarakat dapat diangkat. Pendidikan memainkan peranan penting dalam sosio-ekonomi sesebuah negara. Mitos negara bakal bankrap jika pendidikan percuma dilaksanakan adalah bohong belaka dan tidak bersandarkan kepada angka sebenar berbanding perbelanjaan negara. Jika ada yang bertanya "Kenapa Pendidikan Percuma?" Jawablah "Kenapa Tidak?". 


Saksikan video Rafizi Ramli dibawah:



Perhatian: 
1. Angka saya dan Rafizi mungkin sedikit berbeza kerana saya membundarkan angka-angka tersebut kepada angka maksimum, mungkin angka sebenar akan jadi lebih rendah.
2. Segala angka dan gambar diatas adalah diambil daripada laman web http://www.treasury.gov.my dan juga  http://www.audit.gov.my.

Kemaskini:
Ramai yang bertanya apakah nasib kepada yang sudah membayar penuh PTPTN? Baca jawapannya di sini

No comments:

Post a Comment