#KL112 – Menuntut Demokrasi
oleh : Azhar Mohd Salleh
Sabtu ini tanggal 12 Januari 2013 rakyat negara ini akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk melakar sejarah baru dalam era pasca merdeka dan stadium Merdeka menjadi saksi kebangkitan rakyat . Himpunan ini adalah kemuncak merumus kepada semua program tuntutan terdahulu bermula dengan BERSIH, PPSMI, GMI, BERSIH 2.0, BERSIH 3.0 hingga ke Anti-Lynas. Apa yang menariknya, tuntutan tersebut dari pelbagai sudut yang berbeza. Ia merangkumi aspek ketelusan pilihanraya, pemansuhan ISA, pendidikan percuma, bahasa ibunda, alam sekitar serta hak royalti minyak dan penyenaraian FELDA di bursa. Jika dilihat cara pemikiran rakyat kini jauh berbeza 20 tahun yang lalu dimana tidak wujud pertikaian apabila kerajaan melaksanakan sesuatu perkara. Ini bukanlah sesuatu yang negatif sebaliknya adalah proses kematangan pemikiran rakyat. Rakyat berhak menyuarakan hak mereka dalam memilih pentadbiran negara, menuntut pendidikan percuma, menyatakan kebimbangan kesan alam sekitar dan bermacam lagi isu. Biarkan rakyat bebas menyuarakan kerana itulah demokrasi yang dicari. Penjajah telah lama tinggalkan bumi Malaysia, seharusnya dasar ‘pecah dan perintah’ tidak lagi perlu diamalkan.
Kenapa Perlu Berhimpun dan Apa Yang Akan Berlaku?
Angka seramai satu juta rakyat disasarkan kali ini bagi menggambarkan dan meluahkan segala kemarahan rakyat secara aman terhadap regim pemerintah yang tidak melayan segala bentuk tuntutan rakyat selama ini. Angka ini pasti memberikan peringatan tentang api kebangkitan yang sedang marak dihati rakyat. Jelas, perhimpunan ini mamberi amaran akan keupayaan dan kuasa yang dimilki oleh rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan. Kuasa ini ingin menyampaikan mesej dan memberikan peluang terakhir kepada pemerintah agar tuntutan rakyat dipenuhi sebelum pilihanraya ke 13 akan datang. Himpunan ini juga adalah perjumpaan rakyat yang cintakan keamanan negara. Tidak akan ada parti politik akan berkempen, ceramah jenaka dari Azhar Idrus apalagi artis korea separuh bogel datang membuat persembahan K-POP.
Aku tidak pun berhasrat untuk mengajak sesiapapun untuk menyertai himpunan ini kerana setiap individu yang bebas punyai fikrah tersendiri dan mampu menilai erti dan matlamat program. Kenapa perlu bazirkan wang ringgit untuk berjemur dikota yang panas dan sesak, menghabiskan tenaga berlari kesana sini, menghabiskan masa berkualiti hujung minggu kita? Benar, adalah lebih baik berkurung dirumah bersama keluarga, pergi membeli belah di kompleks, menonton wayang, dating bersama kekasih anda maupun berkebun dan membersihkan laman rumah. Itu lebih mendatangkan manafaat pada diri anda. Harus diingati bahawa setiap manusia wajib memenuhi tuntutan rohani. Rohani berasal dari perkataan roh yang mana setiap insan menpunyainya selain jasad yang sangat lemah. Roh sangat berkuasa dalam menentukan tindak tanduk jasad kita seharian. Ia juga perlu dipuaskan dengan menuruti kehendak dan nalurinya. Oleh demikian, andai roh itu benar-benar cinta akan keamanan, kebebasan dan menuntut keadilan, tidak perlu dipaksa, tidak perlu diupah, maupun diberikan t-shirt percuma, pasti jasadnya akan menuruti kehendak roh itu.
Apa kesan dari himpunan ini?
Jujur aku mengharapkan perhimpunan ini berjalan dengan lancar dalam suasana yang aman supaya mesej yang ingin rakyat suarakan diterima oleh pemerintah dengan penuh keterbukaan. Tidak pernah juga penganjur harapkan berlaku perkara buruk seperti pergaduhan, rusuhan jauh sekali menghampiri dataran keramat Tahrir. Justeru aku tidak mahu bicarakan kesan negatifnya disini. Aku amat cintakan keamanan, keadilan, kesaksamaan dan kebebasan yang ada batasan. Sebagai rakyat kerdil, aku hanya mengharapkan rasional tuntutan dari penganjur diterima oleh kerajaan. Selepas lebih 50 tahun merdeka, rakyat telah mengenal dan lebih menghargai demokrasi. Mula membicarakan soal hak, kebebasan dan keterbukaan. Perkara ini sebenarnya adalah asas dalam proses pembangunan masyarakat. Rakyat sedar akan hak yang dimiliki, menyuarakan pendapat, menuntut dan melawan jika perlu. Ini adalah sifat yang dimiliki oleh anak pasca merdeka. Himpunan ini merupakan ledakan dari pemikiran rakyat yang penat dengan kongkongan dan sentiasa dibentuk dalam acuan tinggalan penjajah. Budaya dan gaya pemikiran baru akan terbentuk oleh rakyat dalam menentukan hala tuju negara. Pemerintah bukan lagi badan yang mempunyai kuasa mutlak.
Aku amat senang sekali jika pilihanraya ke 13 akan datang kerajaan memerintah yang sama masih menguasai majoriti kerusi parlimen selepas semua tuntutan dipenuhi. Sebaliknya, aku jua harapkan jika berlaku perubahan parti memerintah, ia berlangsung dalam suasana yang aman dan tenang. Jika ini berlaku, aku setuju dengan pendapat penulis Amin Iskandar yang menganggap Perdana Menteri sekarang layak dianugerahi Nobel Keamanan Dunia.
Perjuangan Menuntut Demokrasi Sebenar.
Perkataan perjuangan disini tidak pula aku maksudkan untuk bertempur dengan pihak polis dan FRU jauh sekali menggulingkan kerajaan dengan rampasan kuasa. Hidup kita ini sendiri merupakan satu perjuangan. Berjuang untuk terus hidup, berjuang untuk memperolehi harta sebanyak mungkin, berjuang untuk kehidupan selepas mati dan ada juga yang berjuang untuk mati dengan penuh bergaya. Jadi, segenap rakyat dari seluruh kota juga segala pelusuk kampung, berhimpun dengan hanya satu matlamat. Berjuang bagi menuntut hak sebagai rakyat dalam satu negara yang mengamalkan demokrasi yang tulen. Tidak sekali penganjur yang terdiri dari parti pembangkang berfikiran bodoh untuk mencetuskan huru hara dikala mana kedudukan mereka dalam keadaan berupaya mengekalkan momentum dari pilihanraya lalu. Dengan itu, izinkanlah penganjur dan peserta meluahkan isi hati dan menyampaikan mesej mereka dengan aman dan harmoni. Bagi kerajaan pemerintah, himpunan ini juga boleh diambil peluang untuk membuktikan demokrasi telah mereka amalkan serta memperbaiki kelemahan pada sisa sisa hari sebelum pilihanraya ke 13 akan datang. Tidak tergambar bagaimana pada himpunan itu, Perdana Menteri turun dengan ikhlas untuk mendengar segala tuntutan rakyat dan berjanji akan melakukan perubahan serta memenuhi tuntutan. Itukan lebih indah dan diplomatik walau aku pasti hampir mustahil ia berlaku.
Nukilan: Azhar Salleh, seorang rakyat marhaen yang cintakan negara. Beliau baru berjinak dalam twitter dan anda boleh ikuti beliau di @azharms933
No comments:
Post a Comment